malaysiakini logo
story-image
ADS

Pelik juga apabila Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan Melayu), Abd Aziz Sheikh Fadzir, tempoh hari berpesan kepada warga syarikat untuk "bangkit dengan sikap baru" yang selari dengan perkembangan semasa.

Dalam wawancara yang disiarkan Mingguan Malaysia pada 25 Ogos, Aziz juga memberitahu warga Utusan Melayu supaya "rasailah denyut nadi rakyat bagi menjadikan kita terus relevan sampai bila-bila".

Tapi seperti kita maklum, dasar sesebuah syarikat ditetapkan oleh pengurusan, bukan kakitangannya. Peranan kakitangan ialah sekadar melaksanakan dasar yang disediakan pengurusan. Ini amalan biasa di mana-mana syarikat pun.

Begitu juga di Utusan Melayu. Hakikatnya warga Utusan Melayu selama ini hanya menjalankan tugas mengikut dasar yang ditetapkan pengurusan. Dasar, arah tuju, objektif - semuanya diatur pihak pengurusan.

Ada warga atau kakitangan Utusan Melayu yang menyokong penuh dasar syarikat dengan sepenuh hati. Ada yang mungkin tidak setuju secara peribadi.

Namun mereka semua melaksanakan tugas berpandukan dasar syarikat – akur kepada perintah dan arahan pengurusan.

Oleh itu untuk Utusan Melayu “berubah” atau menurut kata Aziz “bangkit dengan sikap baru selari dengan perkembangan semasa" ia memerlukan dasar baru untuk digubal dan dikuatkuasakan oleh pengurusan, bukan kakitangan.

Cara Aziz mengeluarkan hujahnya menggambarkan seolah olah kakitangan Utusan Melayu boleh atau mempunyai kuasa mencorakkan dasar syarikat. Pada hal, realiti adalah sebaliknya. Itu sebab saya melihat kenyataan beliau pelik.

Agenda Utusan agenda Umno

"Rasai denyut nadi rakyat" seperti disaran Aziz pada hemat saya tentu boleh dilakukan kakitangan Utusan Melayu. Namun “untuk menjadi terus relevan sampai bila bila” yang diperkatakan Aziz - pada pandangan saya - memerlukan sesuatu yang besar dan drastik, yang hanya boleh dilakukan pihak pengurusan.

Sekali lagi ditegaskan: bukan kakitangan.

Bukan kerana merka tidak tahu, tetapi - saya ulangi - kuasa untuk berbuat demikian bukan milik kakitangan.

Lantas terpulanglah kepada pengurusan Utusan Melayu untuk merangka dasar baru yang boleh menjadikan mereka relavan “untuk selamanya”.

Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia itu juga Aziz turut memohon agar semua rakyat Malaysia “memaafkan kesalahan kami dahulu” dan “berikanlah kami peluang untuk meneruskan agenda Utusan”.

Abd Aziz Sheikh Fadzir

Apakah “agenda Utusan” itu? Aziz tidak memperincikannya tetapi berikrar “akan terus menjadi akhbar yang memperjuangkan bahasa Melayu, hak hak orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya yang berlandaskan perlembagaan bagi terus menjadikan Malaysia negara maju”.

Mungkin itu “agenda Utusan” dari kaca mata Aziz. Namun secara umum ramai dalam kalangan rakyat negara ini berpendapat “agenda Utusan“ ialah agenda Umno kerana parti itu memiliki Utusan Melayu.

Lalu apabila Aziz memohon rakyat Malaysia memaafkan Utusan Melayu atas “kesalahan” dahulu, ia boleh dilihat sebagai “pengakuan” bahawa dasar pro-Umno yang keterlauan dulu memang menyalahi atau menyakiti sebilangan besar rakyat Malaysia.

Lantas beliau memohon maaf?

Berdasarkan itu adakah dasar baru akan muncul? Bagaimanapun imbas kembali ikrar Aziz bagi pihak Utusan Melayu. Kata kuncinya ialah: "kami akan terus".

Di lihat dari sudut ini adakah dasar memperjuangkan agenda Umno akan diteruskan?

Kerugian terus meningkat

Ada laporan menyebut Februari lalu Umno melepaskan 31.6 peratus sahamnya dalam Utusan Melayu. Berikutan itu ada pendapat bahawa Umno sudah tidak ada kepentingan dalam akhbar tersebut.

Pun begitu Aziz ialah pemegang saham terbesar dalam Utusan. Beliau pernah menjadi anggota parlimen Kulim Bandar Baharu mewakli Umno, dan kini kekal sebagai ahli parti berkenaan.

Maka beliau tetap dilihat beberapa pihak sebagi proksi Umno dalam Utusan Melayu. Pegangan 30 peratus beliau dalam syarikat itu dibuat menerusi syarikatnya, Opulence Asia Sdn Bhd.

Dan Umno pula - mengikut laporan - masih mempunyai kepentingan 18.16 peratus dalam syarikat itu.

Baru baru ini Umno menyuntik RM1.6 juta untuk membayar pendahuluan gaji kakitangan Utusan Melayu yang tertunggak, dengan jumlah maksimum yang diterima mereka ialah RM2,000.

Terpulang kepada pembaca membuat kesimpulan.

Itu mengenai dasar editorial Utusan. Bagaimana pula perancangan perniagaannya? Utusan Melayu dalam kerugian sejak tahun kewangan berakhir Dis 2012 apabila ia mencatat kerugian bersih RM15.75 juta. Ia meningkat kepada RM184.09 juta menjelang tahun kewangan 2018.

Setakat ini belum ada berita mengenai rancangan menyelamatkan Utusan Melayu selain menaikkan harga naskhah Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Seorang bekas kakitangan Utusan Melayu menceritakan - menerusi hantaran di Facebook - bagaimana beliau mendapati longgokan akhbar Kosmo! yang tidak terjual di sebuah stesen minyak di Lembah Kelang beberapa hari lalu - setelah harga akhbar itu dinaikkan.

Seorang pemerhati industri dipetik akhbar The Edge Malaysia Weekly sebagai berkata: Utusan memerlukan “a white knight” atau satria putih untuk datang menyelamtakannya jika ia mahu terus hidup.

Kata pemerhati itu lagi, beliau “tidak fikir Utusan boleh survive hanya dengan menaikkan harga kerana circulation (pengedaran) akan menurun”.

Aziz dilaporkan berkata Kumpulan Utusan sedang meninjau beberapa model perniagaan dan juga pelabur berpotensi untuk mewujudkan “penggabungan”.

Lebih setahun lalu Utusan Melayu diklasifikasikan sebagai "practice Note 17 company,” iaitu satu terma untuk syarikat yang mengalami kesulitan kewangan.

Sehingga aritkel ini ditulis Utusan Melayu belum mengemukakan apa-apa pelan pemulihan kepada Bursa Malaysia. Jika begini keadaannya, esok (28 Ogos 2019) dgangan saham Utusan Melayu dijangka akan digantung.


Baca Pyanhabib: Kamu sedih Najib? Kah kah kah!


Penyahsenaraian (delisting) pada 30 Ogos ini akan berlaku, iaitu penyenaraian Utusan Melayu di Bursa Malaysia akan ditarik atau dibatalkan.

Menurut The Edge Malaysia Weekly, sehingga kini, kemungkinan penyenarian Utusan Melayu ditarik menjelang atau pada 30 Ogos “agak tinggi". Apatah lagi Lembaga Pengarah Utusan Melayu memberitahu ia belum dapat pelabur untuk menolong memulihkan kumpulan berkenaan khususnya kerana liabiliti yang besar.

Saya akhiri artikel ini dengan catatan Facebook kawan lama yang juga wartawan veteran, Zin Mahmud. Zin dulu bertugas di beberapa media, malah pernah menjadi pengarang Harakah dan Utusan Malaysia.

Catatannya berbunyi begini: "Ada sebuah syarikat yang rapat dengan parti kerajaan dahulu. Buat kerja tidak ikut peraturan, tidak ada masalah baginya. Bila timbul masalah ia pun guna kabel ahli politik.

"Buat bangunan tak ada CF pun boleh duduk. Buat ubah suai bangunan pun tanpa kebenaran kerajaan tempatan, tiada dikenakan sebarang tindakan.

"Terbit bahan cetak dulu, kemudian baru mohon permit penerbitan. Bila pegawai kementerian berkenaan marah, mereka menyelesaikan masalah dengan guna jasa baik ahli politik.

"Apabila kerajaan berubah, syarikat ini bermasalah. Hendak jual bangunan, tidak boleh sebab tiada CF. Ada bangunan lain yang hendak dijual pun tidak boleh, sebab ia buat penyambungan dulu tanpa kebenaran kerajaan tempatan.

"Hendak guna kabel ahli politik sudah tidak boleh. Sebab ahli politik yang ia rapat sudah tidak menjadi kerajaan”.

Zin tidak pula menyebut nama syarikat yang dimaksudkannya itu.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen