malaysiakini logo
story-image
ADS

Hari ini saya membaca berita sekumpulan rakyat Malaysia yang menamakan gabungan mereka sebagai Sekat yang mengugut untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana membantah pembelajaran Jawi.

Saya sukar memahami mengapa mereka dan sebahagian lagi yang lain - kebanyakannya terdiri daripada orang Cina dan India - serta sejumlah pemimpin parti politik dan NGO berasaskan kaum, kelihatan sangat sukar untuk menerima pengajaran tiga halaman tulisan jawi dalam subjek Bahasa Malaysia di semua sekolah rendah termasuk sekolah vernakular.

Saya ingin menyumbang sedikit pandangan dalam isu jawi ini dan diharap pihak berkenaan dapat mempertimbangkannya.

Bahasa Malaysia (BM) sebagai satu pakej - Jawi adalah sebahagian daripada subjek Bahasa Malaysia dan tindakan membantahnya sama seperti mengganggu pakej subjek itu dan mencacatkan pembelajaran yang komprehensif.

Tidak manis jika kaum bukan Melayu tiba-tiba membantah pengajaran bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan sedangkan mereka bukanlah pakar dalam bidang bahasa terbabit.

Bayangkan jika wujud orang Melayu membantah pengajaran bahasa Cina atau Tamil dalam tulisan tertentu yang termasuk dalam salah satu versi bahasa terbabit. Pastinya orang Cina dan India akan marah dan bertindak balas.

Keunikan cara tulis - Perlu difahami antara keunikan bahasa Melayu adalah ia boleh ditulis dalam huruf rumi dan huruf jawi. Atas sebab itulah wujudnya khat atau jawi dalam sukatan mata pelajaran BM.

Bukan soal sekolah tapi keperluan bahasa dan pengiktirafan - Jawi memang wajar dimasukkan dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Malaysia tanpa mengira sama ada di sekolah kebangsaan, swasta dan vernakular. Ini kerana ia adalah sebahagian dari bahasa kebangsaan.

Persoalannya bukan kenapa ia diajar di sekolah vernakular atau tidak, tetapi setiap institusi pendidkan yang ingin diiktiraf kerajaan perlu menyertakan pembelajaran bahasa kebangsaan yang di dalamnya terkandung sedikit asas tulisan jawi yang diguna pakai dalam bahasa Melayu.

Aspek Klasik - Jawi boleh dianggap sebagai satu aspek klasik dalam pembelajaran dan penguasaan bahasa Melayu, seperti mana pantun dan syair, bagi mempertajamkan penguasaan bahasanya.

Malah cukup banyak khazanah sejarah negara sejak beratus tahun dahulu yang menunjukkan bahasa Melayu yang ditulis dengan tulisan ini, seperti Hukum Kanun Melaka, Batu bersurat Terengganu dan Undang-undang Tubuh kerajaan Johor.

Jawi dan Islamisasi - Hujah menolak jawi kerana ia merupakan proses Islamisasi adalah tidak tepat kerana ia hanyalah medium komunikasi dan digunakan untuk menyampaikan mesej. Ia bersifat neutral dari aspek keagamaan. Malah semua jenis bahasa boleh membawa mesej keagamaan kerana ia bergantung kepada kandungan atau mesej yang dibawa melaluinya.

Justeru, mengapa perlu takut dengan hanya tiga halaman jawi sehingga mengatakan ia kempen Islamisasi?

Bahasa melayu menerusi tulisan jawi sama seperti bahasa lain, boleh digunakan sebagai medium pengajaran sains, politik, matematik, kimia, biologi dan banyak lagi termasuklah agama. Malah kalau benar ingin diterapkan Islamisasi, melakukannya melalui tulisan Mandarin dan Tamil adalah lebih tepat agar lebih mesra pelajar, bukan dengan membawa masuk melalui tulisan yang sangat asing buat mereka.

Campur tangan tak kena tempat - Sejumlah orang Cina dan India sangat tidak patut membantah pengenalan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Malaysia kerana ia boleh dianggap sebagai campur tangan dalam urusan ilmu bahasa melayu yang juga bahasa kebangsaan di Malaysia.

Sesebuah kerajaan memang perlu mengajar rakyatnya, tanpa mengira kaum, berkenaan bahasa kebangsaannya sendiri, termasuklah penulisan klasik bahasa itu.

Lihat bagaimana semangat patriotik yang ditunjukkan rakyat Jepun dan Jerman terhadap bahasa mereka, sehingga enggan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris - walaupun mereka boleh bertutur dalam bahasa itu - ketika di negara sendiri. Ini pengalaman saya ketika berada di dua negara itu beberapa tahun lalu.

Saya juga pernah melawat kedai-kedai buku di Republik Checz dan mendapati hampir semua buku dalam bahasa asing termasuk buku perubatan, sukan, biografi dan malah novel antarabangsa telah diterjemah ke bahasa mereka sendiri. Ini penting bagi mengekalkan jati diri rakyat dengan bahasa kebangsaan.

Mengapa pula apabila satu komponen klasik bahasa kebangsaan Malaysia mahu diperkenalkan dalam pengajaran, tiba-tiba ia dibantah?

Bagaimana tiga halaman boleh ubah pegangan - Sukar untuk difahami tiga halaman tulisan jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia boleh menggugat kepercayaan agama pelajar Cina dan India, sehingga boleh terpesong menjadi Melayu atau Islam?

Maka kenapa takut dan terlalu kuat membantahnya? Apatah lagi tiga halaman jawi itu tidak membawa sebarang mesej keagamaan sama sekali.

Hentikan perdebatan tak perlu

Dengan logik dan rasional yang saya kongsikan di atas, sepatutnya semua pihak - termasuk masyarakat Cina dan India - tidak menjadikan tiga halaman tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Malaysia sebagai isu besar, kecuali mereka memang ada niat kurang baik dan sengaja mahu memainkan isu perkauman dan 'mencucuk-cucuk' perasaan orang Melayu yang merupakan majoriti di negara ini.

Cukuplah dan jangan membuang masa, tenaga dan perasaan dalam melayan isu-isu perkauman ini. Marilah kita hidup dengan lebih toleransi serta bekerjasama membangun negara ini tanpa menghilangkan jati diri dan identiti tanah air yang dikasihi.

Hormati setiap bahasa yang digunakan oleh rakyat negara ini dan mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara. Sebaiknya semua kaum mengurangkan sentimen dan perdebatan yang tidak perlu.

Usaha membantah tulisan jawi dalam pengajian Bahasa Malaysia ini bagi saya sangat jelas satu isu yang tidak perlu diperbesarkan malah tidak baik bagi keharmonian sesama kaum dalam negara tercinta ini. Salam hormat buat semua kaum dan warga Malaysia semua, selamat Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-62.


DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN ialah presiden Multaqa Asatizah dan Duat (Murshid), ilmuan syariah dan kewangan Islam serta pemikir dan ahli perniagaan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen