malaysiakini logo
story-image
ADS

Minggu lalu saya menghitamputih dan mengarisbawahkan tentang sokongan politik terhadap keberahian Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri. Saya menerangkan bahawa pada ketika saya menggarap tulisan ini Anwar Ibrahim tidak lagi memiliki sokongan yang kukuh lagi ampuh untuk membolehkan dirinya menjadi perdana menteri Malaysia.

Saya juga menerangkan bahawa dalam PKR Anwar Ibrahim tidak mendapat sokongan padu. Walaupun Anwar Ibrahim adalah presiden PKR – dia tidak mendapat sokongan penuh ahli-ahli parlimen PKR. Malah ramai kepimpinan yang bukan YB dan ahli-ahli biasa tidak lagi menyokong Anwar Ibrahim. Ini fakta bukan lebong kosong. Ini berasaskan laporan media cetak dan portal Internet.

Anwar terpaksa bersandiwara dengan meminta para pemimpin cabang PKR menandatangani sokongan terhadap keberahianya. Sandiwara dan komedi tandatangani ini diketahui umum. Semua yang menandatangani sokongan terhadap keberahian Anwar itu adalah sosok dan benggolan yang telah dilantik oleh Anwar sendiri. Kah, kah, kah.

Sayugia diingati apa yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim ini bukan taktik dan budaya baru. Di Eropah langkah sedemikian telah dikomedikan ratusan tahun dahulu sebagai the pope elect the cardinal and the cardinal elect the pope. Terjemahan: Pope melantik sang paderi dan sang paderi melantik Pope.

Dalam konteks politik moden Malaysia ini boleh disamakan seperti Anwar melantik Nurul dan Nurul melantik Anwar. Atau Mahathir melantik Mukhriz dan Mukhriz melantik Mahathir. Dua kali lima dan lima kali dua. Amin.

Parti Islam PAS secara terbuka dan jelas telah menolak kepimpinan Anwar. Dari laporan portal berita parti Islam ini telah bersetia kepada Mahathir dan meminta Mahathir meneruskan pimpinan. Orang ramai juga dapat membaca penolakan parti Islam terhadap Anwar walaupun satu ketika dahulu disejarahkan bahawa Anwar dan Hadi intim dalam kabilah Abim.

Saman Takiyuddin Hassan setiausaha agong PAS terhadap pencalonan Anwar dalam pilihan raya kecil Port Dickson pada 13 Oktober 2018 membuktikan dengan jelas bahawa parti Islam ini tidak dapat menerima Anwar Ibrahim yang telah diampunkan oleh agong kerana disabitkan meliwat Saiful Bukhari.

Garis merah parti Islam

Parti Islam menganggap pemimpin yang mempunyai masalah terutama masalah seksual pasti membawa bahaya dan mudarat kepada keselamatan negara.

Parti Islam konservatif tidak dapat menerima hubungan cinta kasih sayang dan hubungan seksual antara lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan. Ini garis merah yang tidak akan dilintasi oleh mana-mana parti politik yang berkiblatkan Islam. Amin.

Parti DAP dan Amanah belum menunjukkan garis yang jelas. Apa yang jelas ialah tidak semua YB dalam dua parti ini akan menyokong Anwar seratus peratus.

Parti Bersatu pula secara rasmi telah meminta agar Mahathir meneruskan tugas sebagai perdana menteri. Marilah kita terima hakikat bahawa pemberi oksigen kepada parti Bersatu ialah Mahathir. Justeru masuk akal apabila Bersatu menuntut Mahathir untuk terus menjadi perdana menteri agar oksigen terus disalurkan kepada parti.

Dalam parti United Malays National Organisation sokongan terhadap Anwar untuk menjadi pengganti Mahathir berpecah.

Ada kumpulan menyokong Anwar. Penyokong pertama ini adalah mereka yang sedang nazak berhadapan dengan pelbagai tuduhan. Sosok seperti Najib, Zahid, Ku Nan, Azeez dan mereka yang sewaktu dengan kes-kes mahkamah dan berhadapan dengan pelbagai tuduhan. Semua mereka ini dikatakan menyokong Anwar untuk menggantikan Mahathir.

Mereka menyimpan harapan. Bila Anwar naik panggung maka besar kemungkinan mereka akan terlepas dari masuk penjara. Najib dan Zahid mungkin membaca bahawa mereka ditangkap dan dibicarakan bukan kerana kesalahan menyamun, merompak atau rasuah. Mereka merasakan diri mereka putih, suci, jujur, beriman dan warak.

Dalam kepala Najib dan Zahid mereka ditahan kerana Mahathir berdendam. Buktinya cukup jelas. Najib meraung-raung menyeru ahli-ahli gerombolan United Malays National Organisation agar datang memberi sokongan kepada dirinya. Najib melaung-laung kepada dunia bahawa dirinya sedang dizalimi.

Najib dizalimi oleh Pakatan bukan lawak seram. Ini adalah tajuk berita di portal Malaysia Insight pada 18 Ogos 2019 yang lalu.

Bersetia dengan Mahathir

Kumpulan kedua lebih besar. Mereka telah dikatakan bersetia dengan Mahathir Muhamad. Mereka terus melihat Mahathir sebagai pemimpin mereka walaupun Mahathir mahu mentalkinkan United Malays National Organisation. Mereka ini mungkin bersih mungkin kotor tapi mereka tidak melanun seperti Najib.

Jika diberi peluang dengan serta merta mereka akan menjadi ahli Bersatu. Justeru Zahid mengertak dan memberi amaran kepada kumpulan ini. Sesiapa yang meninggalkan parti Ketuanan Melayu ini akan disaman. Siapa mereka ini hanya uhan yang mengetahui. Tapi apa yang jelas sampai kiamat kumpulan ini tidak akan menyokong Anwar untuk menjadi pengganti Mahathir. Khalas.

Ada lagi satu kumpulan kecil dalam United Malays National Organisation. Kumpulan kecil ini, mungkin tak lebih dari seorang. Kumpulan ini diwakili oleh Khairy Jamaluddin. Sosok ini dilihat merancang awal untuk memasang jerangkap politik. Sosok ini sanggup memeluk badak walaupun berahi dihati ialah kuda ranggi yang slim kurus bergetah. Tapi apakan daya kerana berahi nak menjadi perdana menteri, memeluk badak pun badaklah. Kumpulan ini akan sokong mana yang dilihat menang. Apakah keberahian sosok ini sama seperti Anwar. Walahualam bisawab.

Parti dari Sabah dan Sarawak tidak pernah menyimpan hati dengan Anwar. Malah mereka menganggap Anwar ini kaki putar. Di siang hari bercakap sebagai seorang imam tapi dalam gelap menjual langkau masam.

Malah untuk membuktikan keislaman dirinya, Anwar telah menyusahkan gaya hidup warga Sabah dan Sarawak. Kini gaya hidup Sabahan dan Sarawakian yang bebas telah diganggu gugat oleh Islam jenis Anwar.

Ini realpolitik yang dihadapi oleh Anwar. Sebagai jawapan politik, Anwar Ibrahim semenjak 9 Mei 2018 tanpa henti-henti telah membuat dua perkara.

Pertama, dia bertempek ke hulu ke hilir dengan ayat: “I got the number, I got the number” (Saya memiliki jumlah angka).

Ayat ini bermakna Anwar mendapat sokongan majoriti ahli parlimen. Jika dilakukan undi tak percaya terhadap Mahathir esok atau lusa maka Mahathir akan jatuh.

‘Tun kata beres’

Kedua, Anwar mengatakan proses ambil alih ini “tidak berubah”. Dia sudah berbincang dengan Dr Mahathir.

“Tun kata semua beres.” Siang malam inilah yang diratipkan oleh Anwar.

Laungan dan ratipan dari Anwar ini boleh memastikan dia terus mendapat sokongan. Juga untuk memastikan sokongan kepada dirinya akan terus kekal. Dan paling penting para tauke dan para pelabur politik mungkin akan melabur dan memberi dana.

Pasti ada yang bertanya, apakah dengan ratipan gaya Anwar Ibrahim ini akan berjaya memerangkap jerung politik dan pelabur politik?

Membaca realpolitik memperlihatkan kepada umum bahawa semakin kuat Anwar beratip semakin menyampah orang ramai melihat perangainya. Justeru YB Saifuddin Nasution memberi arahan kepada ahli parti akan jangan sibuk dengan hal peralihan.

Paling akhir dari laporan portal FMT pada 19 Ogos 2019 Anwar sendiri mengingtakan agar jangan sibuk dan bising tentang agenda peralihan kuasa. Ini mungkin khusus untuk para pembodek yang baru nak tumpang semangkok.

Anwar Ibrahim sendiri tahu. Anwar sendiri sedar. Dia tidak perlu kajian dari Merdeka Center atau dari IDE untuk menyedari bahawa hari demi hari kopiah dan jubah Islam yang dipakainya semakin luntur.

Pada awalnya hanya sosok-sosok yang rapat dengan dirinnya tahu siapa Anwar Ibrahim sebenarnya. Kawan-kawan dari Abim, setiausaha politik dan setiausaha sulit saperti Azmin dan Ezam, setiausaha akhbar Pak Khalid, aktivis rapat dalam PKR, penyokong dalam parti - kini semua sosok ini menjauh dari Anwar. Mereka sudah mengenali siapa sebenarnya Anwar Ibrahim.

Realpolitik hari ini, tahun 2019, ini hakikatnya kopiah dan jubah Anwar telah koyak rabak di mata anak semua bangsa dan bangsa semua agama. Orang ramai berbondong-bondong mula menjauhkan diri dari Anwar Ibrahim.

Kini kita memasuki tahun 2019. Kita telah lama meninggalkan tahun 1998 ketika Anwar disingkir dari kerajaan oleh Mahathir. Pada tahun 1998 rakyat turun ke jalan raya menyokong Anwar dan membantai Mahathir.

Zaman video Haziq

Zaman itu telah berakhir. Kita telah memasuki zaman video Haziq. Dan video Haziq ini adalah paku terakhir untuk keranda politik Anwar. Inilah noktah pemberian orang ramai kepada keberahian Anwar Ibrahim.

Tanpa fikrah yang jelas Anwar dilihat menerima video Haziq ini sebagai bahan bukti bahawa musuh politik yang bernama Azmin Ali wajib berundur dan meletak jawatan.

Sama ada video Haziq ini sahih atau tidak bukan persoalan di sini. Yang menjadi persoalan kenapa Anwar menyediakan paku untuk keranda politiknya. Hanya tukul belum sampai.

Anak semua bangsa dan bangsa semua agama, rakyat Malaysia, dengan cepat berhujah dan menolak Anwar Ibrahim dengan menggunakan hujah Anwar sendiri. Pelik memang pelik apabila ini berlaku.

Malah kes Anwar lebih berat lagi. Anwar telah dibuktikan bersalah, dipenjara dan telah diampunkan atas tuduhan meliwat Saiful manakala kes Azmin dengan Haziq sedang berjalan. Amin.

Jika inilah keadaan realpolitik kita sekarang maka muncul pertanyaan: Anwar bukan pengganti Mahathir. Jadi siapa pengganti Mahathir?

Sekali lagi saya nyatakan di sini, kita semua - anak semua bangsa dan bangsa semua agama - jangan terperangkap dan dibajak oleh keberahian Anwar. Jangan kita hina diri kita sendiri, jangan kita hina 200 orang para YB di parlimen. Jangan kita hina 30 juta warga Malaysia seolah-olah tidak ada satu pun sosok yang berwibawa untuk bangun memimpin menggantikan Mahathir.

Krisis akan melahirkan kepimpinan. Dalam masa yang sama krisis akan juga menguji pemimpin. Dalam zaman selesa pemimpin boleh beretorik. Boleh kelentong dan boleh berlabun tentang itu dan ini.

Hakikatnya pemimpin yang cekap adalah sosok yang cekap dan bijak menghadapi cabaran. Bukan mencium pipi Micheal Camdessus, pengarah IMF, apabila ringgit Malaysia jatuh diserang George Soros. Atau lari ke Kanada apabila jerebu mengamuk di Kuching.

Seminggu yang panjang

Pada saat Anwar dinyahkan dari kerusi perdana menteri apakah akan terjadi. Pada 11 November 2018 portal Malaysiakini telah melaporkan bagaimana Zahid Hamidi meramalkan Anwar akan seperti hantu raya jika dia tak dapat menjadi perdana menteri.

Masa masih panjang. Mahathir masih lagi perdana menteri. Untuk bab ini sila rujuk politik United Kingdom. Sila baca tentang Harold Wilson yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali. Pertama 1964-70 kedua 1974-76. Wilson bertanggungjawab dengan kata-kata: “A week is a long time in politics”.

Terjemahan: Satu minggu adalah masa yang amat panjang dalam politik.

Sama ada Anwar sempat menjadi hantu raya, hantu kum kum atau toyol bukan tugas saya untuk membuat ramalan. Tapi saya tahu realpolitik ini akan selesai. Ada sosok yang wajib muncul dan mara ke hadapan untuk membawa jalan penyelesaian. Siapa sosok ini? Azmin? Tian Chua? Muhyiddin? S Husin? Zuraidah? Dr Zul? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen