Pengiklanan

    Isu Zakir Naik – mencari penyelesaian

    (Dikemaskini )

    Lima bulan lalu saya menulis satu artikel untuk The Edge Malaysia Weekly mengenai penceramah Dr Zakir Naik. Pada hemat saya ia masih relevan walaupun lima bulan sudah berlalu.

    Artikel asal saya mulakan dengan menghuraikan sebilangan (mungkin bilangan besar?) orang Melayu Muslim di negara ini menghormati Zakir Naik. Malah menyanyanginya.

    Oleh itu, jika kerajaan membelakangi Zakir atau menghantarnya pulang ke India, ramai orang Melalu akan melihat itu sebagai satu tindakan oleh kerajaan Malaysia pimpinan Melayu Muslim dengan sedar menyerahkan seorang agamawan Muslim kepada satu kerajaan pimpinan nasionalis Hindu untuk didakwa atau terus dihukum.

    Umum tahu kerajaan India yang diketuai Narendra Modi diterajui parti BJP – parti nasionalis Hindu.

    Bagi golongan yang bersimpati dengan Zakir, beliau dilihat sebagai pendakwah yang berjaya membawa ramai orang bukan Islam khususnya Hindu memeluk agama Islam. Bagi mereka ini lah sebabnya pihak berkuasa India “berdendam” dan mahu menghukum Zakir. Lalu mereka mahu Zahir dilindungi Malaysia.

    Bagi orang bukan Muslim pula Zakir ialah seorang yang “memecah belahkan” masyarakat dan seorang yang “menganjurkan kebencian” kerana dilihat kerap meremah atau merendah-rendahkan agama lain.

    Mereka berpendirian Zakir yang dikehendaki di India mesti dihantar pulang. Mereka tidak mahu kerajaan Malaysia mempunyai apa apa hubungan dengan Zakir. Mereka juga tidak senang Zakir diberi status pemastautin tetap di Malaysia. Perlu diingat status PR diberi oleh kerajaan BN dulu. Pun begitu sehingga artikel ini ditulis kerajaan PH sekarang masih mengekalkan status itu .

    Jelas kerajaan dihimpit di tengah-tengah tengah polemik jika itu perkataan yang sesuai digunakan) sedemikian. Bak kata Inggeris, caught between a rock and a hard place.

    Saya minta pandangan pakar politik Islam Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid untuk mengetahui apa yang harus dilakukan ? Fauzi mengambil isu penulis Turki Mustafa Akyol untuk diperbandingkan. Akyol dilarang kerajaan dulu daripada berucap di di khalayak ramai di Malaysia mengenai Islam. Ini berlaku beberapa tahun lalu.

    Alasan utama larangan itu dikenakan ialah “kelayakan Islam” Akyol. Dalam erti kata lain kelayakan penulis Turki itu mengenai Islam “disangsi”. Kata Fauzi, jika “kelayakan” mengenai Islam digunakan ke atas Akyol perkara yang sama mesti digunakan ke atas Zakir.

    Persoalan kata Fauzi adakah pihak berkuasa sudah bertanya Zakir akan “kelayakannya”? Atau adakah Zakir sudah pun membuktikan “kelayakannya”?.

    Beralih pula kepada kebimbangan orang Melayu Zahir akan “dianiya” jika dihantar pulang ke India.

    Kebimbangan itu kata Fauzi itu mesti ditangani. Situasi hak asasi manusia di India kata beliau mesti diambil kira, apalagi ketika keganasan terhadap Muslim di India dan tindakan kumpulan yang “mempertahankan lembu “ atau “cow vigilantes” memburukkan keadaan.

    Badan siasatan khas

    Menurut penghayatan Fauzi, bukan umat Islam sahaja yang menjadi mangsa kegananasan.Masyarakat Kristian di India turut menjadi mangsa. Keganasan kata beliau dilakukan oleh nasionalis Hindu dan bukannya penganut Hindu secara umum.

    Mengenai Zakir, beliau berpendapat kerajaan perlu menubuhkan satu badan khas atau special task force untuk menyiasat dan menyelidik.

    Kata beliau badan khas itu mesti ditubuh pada peringkat tinggi atau high level committee dan dianggotai ahli akademik, pihak berkuasa yang berkaitan serta wakil agensi undang undang dan penguatkuasaan.

    Ia mesti meninjau setiap aspek setiap sudut dan ”tidak ada yang terlalu kecil untuk diketepikan”,kata Fauzi.

    Badan itu kata Fauzi lagi mesti mengkaji sama ada cara Zakir berdakwah sesuai di negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Lebih penting kata beliau, task force berkenaan mesti menyiasat setiap dakwaan yang dikaitkan dengan Zakir.

    “Kita mesti tahu benar atau tidak semua perkara yang dikaitkan dengan beliau – seperti tuduhan beliau ada hubungan dengan pengganasan atau terrorism dan dikatakan pro-Osama bin Ladin,” kata Fauzi .

    Bagi Fauzi hanya dengan mendapat jawapan kepada semua persoalan itu barulah kerajaan akan dapat merancang langkah seterusnya yang boleh memulihkan hubungan antara agama di negara ini.

    Saya setuju bila semua jawapan itu terjawab isu Zakir Naik yang merenggangkan Muslim dan bukan Muslim di Malaysia dapat diatasi – sesedikit sebanyak. Itu langkah pertama di antara pelbagai langkah. Diakui banyak lagi langkah yang mesti diambil untuk memulihkan hubungan antara agama.

    Kini kontroversi Zakir masih membara. Malah semakin panas. Tidak perlu dihuraikan. Semua sudah maklum. Lihat saja media sosial. Yang sayang Zakir masih dengan pendiriannya dan yang benci dengan pendiriannya.

    Saya menghubungi Fauzi sekali lagi. Beliau memberitahu beliau masih berpegang dengan pendapat atau cadangan yang diutarakan lima bulan lalu.

    Mungkin jika cadangan beliau diberi perhatian pihak berwajib tempoh hari kita tidak berdepan dengan apa yang dihadapi sekarang. Wallahualam.

    Namun rasanya masih belum terlewat untuk melakukan sesuatu demi kesejahteraan semua.


    MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

    Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.  

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih