Pengiklanan

    Tentang Zakir Naik

    (Dikemaskini )

    Membantu dan memberikan perlindungan kepada Dr Zakir Naik - selaku pendakwah Islam yang terdedah kepada bahaya di negaranya - adalah maslahat dalam agama Islam.

    Menjaga keharmonian kaum dan kestabilan politik setempat adalah juga suatu maslahat.

    Jika boleh kita ingin menjaga kedua-duanya sekali gus.

    Pun begitu, masalahat awam sentiasa lebih diutamakan dalam banyak keadaan.

    Saya difahamkan, Zakir - selaku pemegang status pemastautin tetap (PR) - mempunyai hak yang berbeza berbanding seseorang warganegara.

    Ia berdasarkan kepada Bahagian Kedua Perkara 10 Perlembagaan Malaysia yang memperincikan hal mengenai hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan yang berbeza antara warganegara dengang pemegang status PR.

    Justeru memang ada sekatan atas kebebasan bersuara terhadap seseorang yang berstatus PR di negara ini. Zakir perlu dimaklumkan akan hal ini, selain "spin" media yang sudah menjadi lumrah.

    Hujah bahawa "petikan luar konteks" untuk ucapan beliau sukar untuk meredakan keadaan yang telah dihangatkan.

    Oleh itu, untuk kebaikan bersama adalah lebih baik beliau berdiam saja daripada memberi sebarang ucapan yang boleh mencetuskan provokasi atau menyindir mana-mana pihak yang tidak suka kepadanya di Malaysia ini.

    Giat latih kader dakwah

    Ucapan terbabit - jika dipolitikkan atau dipakaikan dengan 'pakaian perkauman' pula - akan lebih menyukarkan keadaan untuk kerajaan memberikan perlindungan kepadanya nanti.

    Pimpinan kerajaan Malaysia ini masih mahu membantu Zakir namun jika dirinya sendiri tidak membantu kerajaan serta tetap dengan gaya dan caranya sendiri, maka tatkala itu, tiada siapa yang patut dipersalah kecuali dirinya sendiri.

    Pada hemat saya, mungkin lebih baik dakwah perbandingan agama seperti dibawa Zakir di Malaysia diteruskan oleh anak-anak muridnya yang lebih memahami situasi negara ini dan kurang mencetus kontroversi yang tidak perlu.

    Zakir pula hanya melaksanakan kelas-kelas secara tertutup tanpa liputan media atau live streaming untuk melatih kader dakwah dalam bidang kepakarannya.

    Apapun, Zakir sudah meminta maaf. Apa yang kini kita mahukan adalah pemimpin politik termasuk menteri (khususnya menteri perpaduan yang jelas tidak perform dalam tugasnya) turut pernah mengeluarkan kenyataan perkauman lebih teruk lagi untuk meminta maaf.

    Isu perkauman memang 'sedap' dan pasti mendapat sambutan jika dimainkan. Ia ibarat kudis yang lazat digaru pada awalnya, tapi berbisa dan sakit kemudian hari. Ia boleh merebak dan berpanjangan selepas itu.

    Kerana itu, saya secara peribadi menasihati diri sendiri dan yang lain-lain - termasuk parti politik - agar mengelak daripada memperbesarkan sebarang isu yang boleh melebarkan keretakan perkauman di dalam negara.

    Baginda Nabi Muhammad SAW pernah menegur sokongan pergaduhan atas dasar perkauman tanpa adil dengan dalam hadis baginda (bermaksud): "Tinggalkannya, sesungguhnya ia adalah keji."

    Sebarang isu hasil daripada kepelbagaian kaum dalam negara mesti ditangani tanpa publisiti besar, dengan penuh cermat dan penuh semangat untuk bekerjasama.

    Ada pihak dan kaum yang pastinya kena "lose some and win some for the larger benefits". Jika hanya ingin "win all", ia pasti akan menjadi suatu formula yang gagal.


    Baca Bertemu Allah sebagai pencuri


    Rasulullah pun - dalam hal politik - bersedia menerima sedikit kerugian demi manfaat yang lebih besar.

    Kemenangan dan keuntungan politik berdasarkan isu ini hanya menghasilkan masalah lebih besar pada kemudian hari.

    Pada masa sama kerajaan setakat ini dilihat masih gagal mengawal dan mengendalikan provokasi perkauman daripada pelbagai pihak (parti politik pembangkang dan juga dari dalam kerajaan) dengan baik.

    Selaku rakyat, kita mendesak kerajaan segera mengendalikan dengan bijaksana isu ini, sama ada dengan rahmah dan diplomasi, atau dengan rahmah secara undang-undang yang tegas.

    Sebagai contoh, jika perlu sekat saja laman media sosial buat seketika di Malaysia agar provokasi, perdebatan atas dasar benci tanpa rasional akan tertutup sementara waktu agar pembinaan negara dilakukan secara lebih tersusun.


    DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN ialah presiden Multaqa Asatizah dan Duat (Murshid), ilmuan syariah dan kewangan Islam serta pemikir dan ahli perniagaan.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih