malaysiakini logo
story-image
ADS

Sedikit demi sedikit kita dapati sikap mementingkan kaum sendiri mula meresap jauh ke dalam jiwa kebanyakan kita.

Semua orang hanya mementingkan kemakmuran hidup bangsa sendiri kerana menurut firasat mereka, "bangsa lain" akan sentiasa menunggu masa mahu mengambil hak yang sepatutnya menjadi milik masing-masing.

Cinakah, Melayukah, atau apa pun bangsa yang mengaku sebagai rakyat hari ini dengan terbuka memaki-hamun sesama sendiri atas kepentingan peribadi.

Mahu disalahkan kerajaan yang lalu kerana giat memainkan isu ketuanan bangsa pun tidak boleh juga kerana pada waktu itu, hanya itulah senjata paling ampuh yang mereka ada untuk memastikan kelangsungan politik.

Berapa ramai antara kita yang terbuai oleh sentimen yang berpuluh tahun disemai?

Kita pun berasa diri sebagai tuan tanah yang patut mendapat bahagian lebih banyak daripada mereka yang kita anggap menumpang.

Segalanya adalah mengenai "kita". Segalanya adalah milik "kita". Mengaku bernegara, namun segala sesuatu hanya lebih berteraskan kepada bangsa.

Kerajaan hari ini pula seperti lesu dalam usaha untuk lebih menyatukan semua warga. Masa yang ada pula lebih banyak digunakan untuk saling bercakaran dan berebut kuasa.

Mereka guling-menguling sesama sendiri sedang negara sedikit demi sedikit tenggelam dalam perkelahian.

Benar agaknya kata pujangga - apabila tuan sibuk bertelingkahan, hamba rakyat mabuk berbunuhan.

Kita yang selama ini diajar supaya sentiasa curiga menjadi lebih berprasangka apabila diterajui oleh orang yang kerjanya hanyalah saling salah-menyalahi.

Kita menyangka bahawa tidak akan pernah ada orang yang lebih benar selain diri kita sendiri. Lalu apa saja masalah yang melanda negara ini cuma disebabkan oleh mereka yang terdahulu.

Bosan adalah perkatan yang paling sopan yang boleh kami fikir untuk dipilih bagi menjelaskan perbuatan bodoh mengulang-ulang dan menyalahkan orang terdahulu bagi masalah dihadapi hari ini.

Tidak ada lagi toleransi dalam kehidupan. Kereta dilanggar orang, biar ada yang mati. Tidak ada lagi kasih sayang. Tidak ada lagi belas semasa insan.

Kita sentiasa rajin mencari sebab untuk bertelagah.

Orang perkenalkan Jawi, kita tuduh mereka sengaja mahu menghapuskan budaya kita, walhal berpuluh tahun sudah kita dapati ramai budak Melayu yang bersekolah Cina, pandai bertutur bahasa Cina, pandai menulis kaligrafi Cina.

Selepas tamat sekolah, mereka tetap jadi orang Melayu juga. Masih malas, masih mengharapkan subsidi juga.

Lalu apakah apabila anak Cina diminta meniru dua baris dari khat Jawi maka matilah semua budaya mereka yang telah melalui pelbagai rintangan beribu tahun lamanya itu?

Mengapa kita sentiasa mahukan negara ini untuk bangsa kita sahaja?

Tidak cukup baikkah negara ini kepada kita? Bukankah semua bangsa yang tinggal dalam negara ini hidup dengan penuh istimewa?

Belum pernah kita temui sesiapa pun yang mati kebulur. Kita juga tidak pernah bertemu dengan mereka yang terlalu melarat dan tidak dipedulikan sesiapa.

Lihat saja betapa kita segera membantu apabila ada saja yang meminta, dan ada masanya kita langsung tidak peduli apa bangsa mereka semasa menghulurkan derma.

Mungkin tamak adalah perkataan paling sesuai diberikan kepada orang yang mementingkan bangsa sendiri semata-mata.

Di luar batas politik - yang pelakunya melakukan apa saja untuk menang - ketamakan adalah sebab utama kita semua menjadi semakin rasis.

Kita mahu untuk diri sendiri, dan jika ada baki, selebihnya kita bahagi-bahagikan sesama bangsa kita.

Kita berazam untuk memiliki semuanya dan jika berjaya maka ianya memberikan ruang yang luas kepada kita untuk membenamkan bangsa yang kita musuhi ke lembah kepapaan.

Kita sudah sampai kepada satu tahap yang amat genting apabila hari ini kita berasa amat bebas untuk tuduh-menuduh. Jika kita semua tidak segera berhenti di sini, maka suatu cetusan tidak disangka akan menjadi sebab untuk kita nanti benar-benar berparang.

Semua gambar yang mengiringi tulisan kali ini adalah dari pameran Serpents In The Sun oleh pelukis Marvin Chan.

Pameran ini berlangsung di Galeri Suma Orientalis, Pertaling Jaya , Kuala Lumpur.


ABDULLAHJONES adalah penulis pelukis penyair dan perasan pemikir.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen