malaysiakini logo
story-image
ADS

Pekan, Pahang adalah tempat yang selalu dijadikan transit dari Rompin ke Kuantan. Terletak di tengah-tengah. Tidak banyak yang boleh diketahui. Selalunya bandar diraja membangun begitu sahaja, tidak perlu pemimpin yang besar.

Bandar ini mempunyai wakil rakyat atau MP yang terkenal. Antaranya Tun Abdul Razak, perdana menteri kedua. Kemudian perdana menteri keenam, anaknya Najib Razak. Begitupun, bandar diraja tetap bandar diraja. Tidak membangun seperti diharapkan.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad selalu dekat di hati kerana pandai menambat hati rakyat. Kini dia diganti oleh anaknya.

Pada tahun 2001 saya berkesempatan menemui DYMM sultan Pahang di majlis sambutan tahun baru Cina anjuran seorang ahli perniagaan Cina. Petang kenduri di premisnya.

Baginda lambat sampai sedangkan perut semakin lapar. Dua jam rasanya. Saya geram kerana perut sudah berbunyi. Saya merancang untuk melakukan sesuatu.

Baginda tiba dengan kesesakan jalan raya yang menjadi punca mengapa dia lewat. Saya tidak percaya, Dubai bukan Kuala Lumpur yang sentiasa kesesakan.

Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah

Saya menunggu kedatangan baginda agak lama. Makanan sudah sejuk. Ramai terpaksa menunggu dan menahan perut.

Saya mahu mengajar baginda.

Baginda datang dengan sultanah.

Cepat dibawa ke tempat makan. Baginda mengambil makanan, dibantu sultanah. Saya cepat memotong.

Saya hulurkan pinggan kepada baginda.

Sultan Pahang terkejut. Mukanya berubah dan agak kelu.

"Sudikanlah hidangkan untuk saya!" 

Masa itu Duta tidak tahu nak buat apa. Sultan lagi pula. Senyap sunyi jadinya. Masing-masing memandang baginda dan saya.

"Awak ni siapa?" tanya sultan.

Orang ramai diam. Penampar Sultan sudah siap. Cepat mahu kena di muka.

Saya tersenyum. Hati berdebar-debar. Saya melakukannya kerana ingin mencuba.

"Saya dari Rompin. Rakyat Tuanku!"

"Oh! Orang Rompin, mari sini!"

Baginda hidangkan makanan

Baginda terus menghidangkan makanan untuk saya. Orang ramai ketawa. Lega juga di hati. Kalau tidak mahu penampar sudah hinggap.

Saya makan dengan sultan Pahang dan sultanah. Berbual panjang. Baginda kenal baik keluarga diraja Dubai dan saya bekerja dengan Dubai Internet City. Waktu itu jadi setiausaha kepada Encik Hamid Kazem, CEO.

Setiausaha yang dipinjamkan selama empat bulan walaupun bekerja sebagai pengurus IT dan telekom. Saya sempat mengenali pelbagai CEO dan VIP Dubai yang ingin bertemu Encik Hamid Kazem, orang penting dan penasihat diraja Dubai.

Itulah kenangan manis dengan Sultan Pahang di Dubai sekitar 2001. Baginda baik dan bertimbang rasa. Hendak beri pingat kebesaran, saya menolak dengan sebaiknya. Pingat waktu itu dijaga oleh bapa saudara sepupu.

 Tetapi saya pernah sebulan menetap di Pekan. Untuk sementara.

Waktu itu di tingkatan empat selepas SRP. Saya dinobatkan pelajar SRP terbaik daerah Rompin. Satu kejayaan yang besar dan berharga buat saya. Berangan-angan untuk masuk ke sekolah berasrama penuh di mana sahaja.

Seminggu saya di Sekolah Ahmad Pekan dilantik sebagai pengawas asrama yang baru dibuka. Kemudian dilantik ketua pengawas kerana pelajar tingkatan lima tidak ramai.

Saya ingat berjalan kaki ke sekolah kerana asrama terletak agak jauh. Balik jalan kaki merentas kawasan perumahan. Agak memualkan. Terpaksa gosok baju sendiri dan berkemas. Sering saya termenung kerana ingin ke sekolah asrama penuh.

Cikgu asrama baik dengan saya. Selalu ajak makan di luar dengan dia yang masih belum beristeri. Tiada pelajar yang disukainya. Kebetulan dia kenal ayah saya sebagai tok guru, maka dia semakin baik. Menjaga saya dan mengambil berat.

Saya masih ingat anak Sarimah bintang filem, dua orang belajar sekali dan salah seorang satu batch. Satu lelaki dan satu perempuan. Sudah tidak ingat, tetapi populariti mereka rasanya cepat sampai kepada saya.

Saya masih menanti mana-mana panggilan ke asrama penuh. Sudahlah tingkatan satu saya gagal dan terpaksa belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Rompin. Saya menghadapi dan terus belajar.

Sekolah Ahmad agak besar. Kelas yang saya belajar sedikit demi sedikit anak muridnya ke asrama penuh. Saya masih ketinggalan. Akhirnya saya ditawarkan Sekolah Menengah Teknik Kuantan. Saya terima walau separuh hati.

Tidak banyak yang saya ingat tentang Pekan.

‘Perdana menteri tegur saya’

Allahyarham Tun Razak pernah saya temui sewaktu di Rompin darjah empat. Sewaktu saya sendiri di jeti Rompin yang selalu menjadi tempat permainan. Dengan basikal selepas sembahyang di masjid. Petang pukul dua.

Tiba-tiba datang VVIP dengan sebuah kereta untuk menaiki bot menuju perairan Rompin.

Saya ditegur Tun Abdul Razak dengan tidak semena-mena.

Saya ingat teguran Tun Abdul Razak dan teruja. Perdana menteri Malaysia menegur saya. Arwah dengan arwah Ghazali Shafie. Hanya saya waktu itu dan mereka di tepi jeti Rompin.

Tun Razak

Saya menunggu Tun Abdul Razak pulang. Masih tidak percaya seorang perdana menteri menegur saya. Setengah jam kemudian mereka pulang. Arwah sempat bertanya kepada saya sesuatu yang saya tidak ingat. Mereka berlalu.

Saya tergamam. Seorang perdana menteri menegur saya. Tiada siapa menyaksikannya. Hanya Tun Abdul Razak dan Tan Sri Ghazali Shafie. Saya tidak tahu tujuan mereka ke jeti itu. Rompin waktu itu masih dalam daerah Pekan.

Saya ingat Tun Abdul Razak gelak ketawa. Ceria sekali.

Di tahun yang sama, sewaktu darjah empat dan menjadi ketua murid petang, Tun Abdul Razak melawat Rompin. Ada lalu di kawasan sebelah sekolah. Saya teringin untuk pergi.

Saya mencuri keluar dan menyusup untuk melihat Tun Abdul Razak. Sayangnya saya ditangkap oleh guru besar sendiri, ditampar kerana degil.

Saya ingat peristiwa itu.

Bersambung...


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Bahagian 1: Kembara seorang OKU

Lihat Komen