Pengiklanan

    Petunjuknya, ada pada Zuraida

    (Dikemaskini )

    Saya pertama kali terserempak nama Zuraida Kamaruddin sekitar tahun 2009 apabila bertatih menghimpun bahan untuk menulis novelet saya Bagaimana Anyss Naik ke Langit, yang kemudian diterbitkan oleh Dubook Press pada tahun 2014.

    Zuraida, saya harus katakan; adalah antara beberapa suara yang berani, bulat, tegas, gempita gegaknya – ingat ini masih tahun 2009 – yang memperjuangkan nasib wanita Orang Asal, Penan yang diperkosa secara sistematik di hutan dalam Sarawak, dengan terkait isu atau masalah pembalakan haram.

    Zuraida bahkan kemudiannya dilarang masuk Sarawak; yang mana meskipun saya sudah lama menghimpun bahan tentang Penan (antara lain tentang Bruno Manser), saya masih belum cukup terdorong untuk menulis mengenai nasib mereka.

    Saya akhirnya menemukan dorongan tersebut pada Zuraida. Kelantangan beliau dalam isu ini sungguh menginspirasikan. Jujur dari nubari yang persih, sejak mengekori jejak Zuraida menyuarakan nasib wanita Penan, akhirnya, wanita ini membuka jerit batin saya untuk menggubah dan menjelmakan watak Profesor Anyss, pejuang hak wanita Penan yang akhirnya syahid terkorban di Beijing. Ia adalah karya saya yang sukar dibaca memandangkan saya memilih genre ‘sastera dokumentari’ ala-ala penerima Hadiah Nobel dari Belarus, Svetlana Alexievich.

    YB Zuraida Kamaruddin, puteri Tanjong Katong Singapura ini, hari ini, adalah peneraju Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Benar, kita boleh menjejerkan seberapa banyak ketulenan beliau. Antara lain selaku kapten Pasukan Bola Lisut atau juara Pertandingan Bahas Sekolah anjuran Radio & Televisyen Singapura (RTS). Atau boleh pula kita menghadirkan pengalaman beliau yang penuh kemilau atau pahit gusar tatkala berada di Frank Small & Associates, atau Chuo Senko Advertising. Juga, kalau kita ingin memilih untuk menyelak takdir jatuh bangkit, dinista dan dipuji saat beliau berada di American International Assurance (AIA), Saatchi & Saatchi Advertising, AVON (M) Berhad dan Flaireborne (M) Sdn Bhd.

    Akan tetapi menurut saya kekuatan Zuraida adalah pada keaslian beliau memberikan payungan buat kaum wanita tertindas di kala mengasaskan Women’s Initative For Research, Development and Advancement (Wirda) yang mempunyai anggota di dalam dan luar negara. Wirda mensasarkan pelindungan buat ibu tunggal, musafir, mualaf dan remaja.

    Pokoknya, Zuraida menarik perhatian paling tidak orang Ampang, kerana dia memilih menjadi pertiwi golongan tertindas. Sebagai ahli parlimen Ampang, tumpuan YB Zuraida adalah pemberdayaan komuniti khusus keluarga berpendapatan rendah (B40).

    Suara solo

    Tidak ramai yang tahu bahawa YB Zuraida adalah satu ketika dahulu – suara solo – ya, benar suara solo; yang memperkenalkan kuota 30 peratus wanita dalam perwakilan politik dan pembuat keputusan. Kalau tidak kerana kesungguhan suara serak beliau, kita tidak melihat hari ini, betapa suara solo itu kini sudah menjadi dengung korus yang membiak merdu. YB Zuraida tekad menyuarakan kehendak wanita ketika menghadiri acara The Role of Global and Regional Actors to Advance Gender Equality and Political Empowerment of Women, yang dianjurkan oleh Community of Democracy (program khas untuk persidangan utama Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu).

    Suara solo beliau kini adalah simbol menyerlah. Malaysia baharu kini mengecapi keramat sakti suara perempuan. Saya beri contoh; Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang dilantik sebagai ketua hakim negara (beliau mengangkat pengharaman empat buah buku saya sebelum PRU14); Latheefa Bibi Koya ketua pesuruhjaya SPRM keempat belas (saya yakin ramai, termasuk di menara gading, yang berdebar dan terketar mendengar nama beliau kini); dan Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai gabenor Bank Negara Malaysia.

    Dalam hal wanita secara keseluruhan, saya hitung dan kira-kira; seperti mana timbulnya ribut kecil mengenai kes perkahwinan bawah umur tahun lalu; beliau mendahului wanita lain dalam pentadbiran untuk mendesak kerajaan agar tidak berkompromi dalam isu tersebut. Zuraida dalam satu kenyataan media secara tegas menyatakan; “Kanak-kanak di Malaysia perlu diberi pembelaan sewajarnya. Mereka adalah masa hadapan negara ini. Amalan perkahwinan bawah umur ini mesti dihentikan segera.”

    Demikian juga dalam hal nasib Orang Kurang Upaya, beliau membuka pintu seluasnya. Kumpulan aktivis Orang Kurang Upaya (OKU) pada 3 Jun lalu disambut oleh Zuraida Kamaruddin di pejabatnya, empat hari selepas kumpulan ini menuduh Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Hannah Yeoh tidak mempedulikan mereka. Bukan itu sahaja, Zuraida mengumumkan pada hari yang sama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menilai semula tahap pematuhan terhadap penyediaan keperluan infrastruktur bagi orang kurang upaya (OKU) yang diwajibkan dalam pembinaan bangunan di negara ini. Kita semua sedar kesulitan yang menimpa golongan OKU. 

    Meskipun dasar yang meminta penyediaan keperluan itu sudah ada, namun pelaksanaannya masih belum meluas. Zuraida menjemput kumpulan OKU dari Badan Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia (ILTC) dan Persatuan Terapi Bantuan Haiwan Untuk Warga Kurang Upaya dan Warga Emas (Petpositive) dan menjanjikan agar satu jawatankuasa dibentuk demi memberi input kepada KPKT untuk menjaga keperluan OKU dalam masa enam bulan.

    Zuraida juga terlihat meraikan Roisah Abdullah, pelajar cemerlang tanpa dokumen kelahiran dan pengenalan. Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kapar Indah, Klang itu membuat permohonan kewarganegaraan pada tahun 2013 namun tidak diluluskan. Hanya setelah campur tangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Lawyers For Liberty barulah Roisah beroleh sijil kelulusan kewarganegaraan di Putrajaya. Tatkala meraikan Roisah,

    Lagi kejutan?

    Zuraida menyatakan; “Saya tahu potensinya dalam bidang pelajaran kerana dia mempunyai keputusan SPM dan STPM yang cemerlang namun, dinafikan hak ekoran masalah yang dialaminya sejak bertahun lamanya. Diharap dengan pemilikan status kewarganegaraan ini mampu menyuntik semangat kepadanya agar lebih maju pada masa depan.”

    Tidaklah mengkagetkan YB Zuraida Kamaruddin dipilih mewakili Malaysia dalam persidangan Women Political Leaders Summit (WPL) 2017, dalam membawa topik kesaksamaan gender dan keterbukaan perwakilan politik di Malaysia. Inilah orangnya, YB Zuraida yang memimpin Selangor demi membawa suara ke peringkat persekutuan dengan kempen “More Women Better Nation”.

    Ternyata memang keteladanan wanita lebih baik untuk nusa. Dalam kes menyayat hati apabila enam anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) lemas di lombong, Taman Putra Perdana tahun lalu, dituruti kejadian yang menimpa allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim kita melihat Zuraida melampaui isu-isu wanita dan ternyata menyerlah sebagai pemimpin; bahkan sebagai negarawan. Zuraida menunjukkan kebolehan menjadi ketua di saat krisis melanda. Sebagai wanita di hari-hari rusuhan, Zuraida menonjolkan sisi yang kita; anak-anak semua perlukan; ibu yang mendodoi, mendamai, dan kadang-kala menggurui.

    Saya kira bukan kebetulan jika begitu tatkala Perdana Menteri Tun Dr Mahathir memilih YB Zuraida tahun lalu, untuk mewakili beliau menerima anugerah Nation-Building Lifetime Achievement Award (Public Sector) oleh Thailand’s Nation-Building Institute (NBI), suatu inisiatif mantan perdana menteri Thailand Anand Panyarachun. Ia adalah satu petunjuk yang bijak.

    Saya maksudkan ia – barangkali – satu petunjuk yang tidak boleh dialpakan. Oleh sebab itu langkah-langkah besar Zuraida elok diperhatikan. Tun Mahathir pernah melakukan kejutan dengan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Latheefa Bibi Koya dan Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus. Tidak mustahil ada kejutan lain.

    Saya benar-benar memaksudkan, wanita kini ada petunjuk yang tidak boleh dipungkiri.


    FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

    Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih