malaysiakini logo
story-image
ADS

Setelah berada di rumah dan berulang-alik ke hospital untuk rehab (pemulihan) dan terapi, sembilan bulan yang mencabar, menyesakkan dan merimaskan, saya mengambil keputusan untuk mengelilingi tanah air. Melihat tempat orang setelah 18 tahun di perantauan.

Sembilan bulan tanpa apa-apa kerja lain cukup menyesakkan. Penyakit strok adalah sesuatu yang terjadi disebabkan jantung. Saya tiada penyakit dan sihat sepenuhnya. Mungkin tekanan menjaga ibu yang sakit selama dua minggu meninggalkan kesan.

Saya kehilangan ingatan sepenuhnya. Badan kanan tidak mampu bergerak. Suara menjadi keliru. Setelah dua bulan, mampu untuk bergerak dan perlahan boleh berjalan, empat bulan kemudian tanpa tongkat. Masih jalan jengkit-jengkit.

Saya mendapat kad OKU dari Jabatan Masyarakat. Dengan sedikit kelonggaran diberikan. Menjadi seorang yang cacat ada faedahnya. Saya gunakan sepenuhnya.

Lapan belas tahun di Dubai adalah jangka masa yang lama dan panjang. Seorang anak membesar dari kecil telah mencapai usia remaja. Anak-anak saya telah melebihi usia dan duduk berasingan. Kembali berdua untuk saya dan isteri. Saya pandang isteri, isteri pandang saya.

Melihat perkembangan semasa, saya tertarik untuk mengikuti perubahan dan perkembangan dibawa oleh Pakatan Harapan. Parti PKR, DAP, Amanah dan Bersatu berjaya menjadi kerajaan. Satu yang diluar jangkaan dan saya berada di Dubai ketika itu.

Setelah sakit sembilan bulan sakit strok, mendengar cerita dan gosip politik, sudah sampai masanya saya lebih aktif dan meneroka tanah air. Biar 70 peratus baru baik dan sembuh. Tidak mengapa asalkan umur memberikan kesempatan.

Pertama kali berjalan jauh. Ekspektasi terus bermain. Bermacam soalan yang timbul.

Apakah selepas PRU14 sudah berubah atau sama sahaja ketiga-tiga negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan? Soalan yang benar-benar hinggap di fikiran. Melihat sendiri dan menyaksikan segalanya.

Paling menarik Pahang di bawah Umno, Terengganu dan Kelantan di bawah PAS. Diluar jangkaan selain Perlis untuk pembangkang berkuasa. Umno dan PAS telah bersatu.

Saya mengambil satu inisiatif tersendiri. Dengan menyewa Perodua Myvi dan mengambil kesempatan dari cuti anak sulung, Saifullah yang baru pulang dari Kanada. Berjalan selama seminggu ke tiga negeri, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Selepas kawan-kawan bekas penghuni Dubai mengadakan pertemuan di Wetland, Putrajaya, saya meneruskan perjalanan. Pertemuan ini bersejarah, begitu ramai, dalam 40 famili bertemu dan bearmah mesra. Hari Ahad 30 Jun selama 4 jam dari pukul 9.

Mat Sabu panggil ‘suami Rosmah’

Kami bergelak ketawa seperti suatu masa dahulu. Hiruk pikuk. Ada yang masih muda dan ada yang sudah berusia. Bila bertemu sekali-sekala tidak mengherankan. Kami mesra dan rapat walaupun hanya saya dan beberapa orang lagi duduk lama di Dubai.

Rumah saya di Dubai menjadi fokus sejak 2000 hingga 2009. Sentiasa ada aktiviti. Malah setiap minggu menjadi tumpuan ramai dengan eventnya.

Anwar Ibrahim pernah tiga kali mengunjungi rumah saya di Al Twar 3, Dubai. Pernah sekali, ratusan yang hadir mendengar ucapan Anwar, Khalid Ibrahim dan Datuk Husam Musa.

Kunjungan Anwar di rumah penulis di Dubai.

Majlis berlangsung meriah suasana. Sejak awal petang hingga larut malam. Ada penjaga lalu lintas. Kami saling menjaga dan mengawasi. Rumah saya terletak di kawasan rumah orang tempatan, perlu berhati-hati.

Rumah saya sentiasa dikunjungi pemimpin PKR, DAP dan PAS. Seorang demi seorang datang. Mohamad Sabu datang beberapa kali. Dia memanggil saya “suami Rosmah” dan pernah sekali memasak kambing guling. Mohamad Sabu pandai memasak.

Oleh kerana pemimpin pembangkang tidak diterima oleh pejabat kerajaan di Dubai masa itu, rumah sayalah tempat bertemu. Boleh dikatakan rakyat Malaysia sokong pembangkang buat masa itu di Dubai.

Saya meneruskan perjalanan melalui Kuala Pilah dan Bahau. Anak saya mengikuti Google Map kerana kali pertama dia memandu ke kampung. Banyak jalan yang saya sendiri tidak pernah mengikutinya.

Di Muadzam Shah kami berhenti makan dan meneruskan perjalanan. Tiada perubahan di Muadzam Shah yang signifikan. Bermalam di Rompin Beach Resort.

Saya melihat Kuala Rompin dengan kesedihan kerana adik-beradik semua sudah berpindah. Hanya saudara-mara yang tinggal, itu pun tidak ramai.

Bandar agak berubah tetapi hari Ahad masih sepi. Saya sempat menjamu selera dengan roti canai yang terkenal.

Apabila Isnin pagi, selepas makan dan bertemu keluarga, kami memandu ke Pekan, bandar di raja. DYMM Agung pun dari Pekan. Murtabak Mengkasser belum siap jadi kami meneruskan perjalanan.

Saya mempunyai ramai saudara mara di Pekan. Dulu-dulu dikatakan separuh orang Pekan itu keluarga. Sebelah arwah ayah saya, datuk nenek berasal dari Pekan. Orang Bugis.

Pekan juga tempat Najib Razak.

Muka iras Najib

Saya dikatakan serupa dengan wajah beliau. Hasmah Ali sewaktu ke New Zealand dalam tahun 1983 pernah bertanya kepada saya.

You adik beradik Najib ke? Macam Johari!”

Saya ketawa.

“Tidak!”

Dia terus berkata, “Johari macam muka kamu!”

Ramai orang salah sangka. Bukan sahaja Mohamad Sabu yang memanggil saya “suami Rosmah” tiap kali bertemu. Ramai pramugari MAS salah sangka dengan bertanya siapa saya yang sebenarnya. Diberi layanan istimewa kerana serupa Najib. Bergambar.

Begitu juga pelancong dari Indonesia, Filipina dan Thailand. Bergambar dan berposing. Sebagai “Najib” sewaktu menjadi perdana menteri.

Saya tidak kenal Najib, walau pernah bertemu sewaktu Yusuf Islam atau Cat Stevens menjadi tetamu beliau di Sri Perdana dalam tahun 2010. Saya bertugas sebagai pengurus besar Yusuf Islam dalam tahun 2001-2003 dan 2010-2012.

Begitulah sedikit kisah saya. Bersambung minggu depan.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen