malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
Dari ‘Islam Kelantan’ ke dangdut Kelantan
ADS

Kebangkitan "Islam Kelantan" seperti yang telah saya bincangkan dalam siri artikel sebelumnya menjejaskan sebahagian besar rakyat Kelantan yang sememangnya sudah hidup melarat. Kumpulan yang paling terhempuk seperti kaum wanita yang tertindas terpaksa berhijrah ke luar. Manakala kaum lelaki yang terperuk oleh hambatan sistem cukai banci dan serah yang amat mencengkam juga melarikan diri dari negeri ini. Dua gejala ini mengakibatkan cara hidup, cara fikir dan juga masalah yang asalnya hanya terhad di Kelantan dijangkitkan ke wilayah lain.

Seperti yang telah saya sentuh dalam artikel sebelumnya, “Bagaimana mulanya Bangsa Kelantan sengsara” penghijrahan besar-besaran rakyat Kelantan ekoran kekejaman penguasa itu menyebabkan "Islam Kelantan" yang jumud, rigid, pekak dan tidak peka, berbumbukan kasih sayang kepada feudalisme telah ikut sama tersebar ke luar Kelantan.

Dalam artikel “Bangsa Kelantan” saya juga telah menghujahkan betapa keadaan ekonomi yang amat menekan telah menolak ramai penduduk Kelantan untuk mencari pekerjaan di luar. Haryati Hasan dalam “Hubungan Pelacuran-Penghijrahan: ‘Tarikan’ Atau ‘Tolakan’?” menyatakan antara tempoh 1957 sehingga 1970 kira-kira, paling kurang 55,700 orang meninggalkan Kelantan untuk berhijrah.

Menurut Nor Ermawati Hussain, Norehan Abdullah, dan Hussin Abdullah dalam “Hubungan Migrasi Dalaman dengan Faktor-Faktor Penarik: Kajian Kes di Malaysia” salah satu faktor migrasi atau penghijrahan adalah untuk membaiki taraf hidup, maka tidaklah aneh rakyat Kelantan memilih untuk hidup di luar.

Sekali pandang, penghijrahan keluar rakyat Kelantan dapat dianggap satu perkara biasa kerana adalah lumrah untuk berlakunya “peningkatan pendudukan di kawasan bandar” memandangkan “perkembangan pembangunan negara”. Apatah lagi “paras urbanisasi bagi setiap negeri di Malaysia, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan paras urbanisasi 100% manakala Kelantan mencatatkan paras urbanisasi paling rendah iaitu sebanyak 42.4 peratus”.

Kota Bharu, gambar hiasan

Akan tetapi selain faktor penolak dan penarik berteras sosioekonomi, penghijrahan rakyat Kelantan, khusus dalam kalangan wanita lebih banyak berlaku kerana penguatkuasaan undang-undang (baca: kesan ketidakpedulian agamawan dan istana terhadap mereka) sehingga disebutkan oleh laporan “Penyata Jawatankuasa Terpileh Bagi Mengawal Akhlak” yang penguatkuasaan ini mendorong penghijrahan keluar pelacur Kelantan pada tahun 1950-an.

Haryati Hasan dalam artikel akademik “Hubungan Pelacuran-Penghijrahan: ‘Tarikan’ Atau ‘Tolakan’?” itu turut menyatakan “penghijrahan keluar pelacur Kelantan dikesan mempunyai hubung kait atau kerana kesan akibat daripada penguatkuasaan undang-undang yang ketat, selain faktor tarikan di tempat baru”.

Seterusnya sejarawan ini mengetengahkan dalam kajian beliau berdasarkan laporan Minutes of the Contingent Anti-Crime Committee Meeting penghijrahan keluar pelacur Kelantan ini adalah “kerana penguatkuasaan uindang-undang agama Islam yang tegas”. Kajian Haryati yang ikut menyorot laporan pejabat Polis Kelantan meletakkan pada tahun 1973, sebanyak 99 peratus pelacur di Kelantan adalah berbangsa Melayu.

Kesenyapan ulama

Saya juga telah menyatakan dalam siri artikel sebelum, undang-undang Islam ini sahaja tidak dapat dipersalahkan, tetapi kesenyapan ulama yang sama sekali tidak mempunyai apa-apa pelan untuk menyelamatkan kaum wanita ini lebih mendorong kekecewaan yang berterusan.

Harus dinyatakan, dalam hal “Islam Kelantan” penghijrahan ini bukan sekadar migrasi keluar, tetapi juga migrasi masuk. Nor Ermawati Hussain dan rakan-rakannya mendapati “sebanyak 11.2 orang per 1000 penduduk direkodkan pergerakan kadar migrasi masuk ke negeri Kelantan bagi tahun 2012”. Ini bermakna penyebaran “Islam Kelantan” yang tidak responsif terhadap masalah masyarakat, bersifat diam pada penindasan itu kini tersebar keluar ke luar Kelantan dengan cara migrasi keluar dan masuk.

Saya telah pun menghujahkan “Islam Kelantan” ini adalah satu jalur Islam yang berbeza dari Islam yang pernah digagaskan dan diperjuangkan oleh Nabi Muhammad SAW, yang mana mementingkan keadilan, cinta, dan hak asasi manusia.

Tersebarnya “Islam Kelantan” ini menjadi bergaya apabila Parti Islam Semalaysia berjaya menguasai negeri Kelantan pada tahun 1990 dan meletakkan pengaruh menteri besarnya, almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam liga tersendiri. Kedudukan beliau yang disifatkan sebagai pemain politik berpengaruh, dan agamawan suci yang mencapai makam wali membolehkan “Islam Kelantan” yang asalnya bercitra negatif itu diberi sarung yang positif.

Harus diingatkan lanjut, almarhum Nik Abdul Aziz datang dan tumbuh dari tradisi “Islam Kelantan” yang sangat bertali-temali dengan institusi pondok dan istana. Pondok pengajian yang memang secara tradisinya rata-rata kurang mempedulikan nasib kaum wanita dan realiti semasa ini diperkukuhkan oleh keakraban dan kekeramatan hubungan dengan istana. Sejak pondok pertama dipercayai dibuka di Kelantan dalam tahun 1820 di Pulai Chondong, institusi ini kurang ada program yang jelas dan konkrit untuk membawa keluar Kelantan dari cengkaman feudalisme (ketika istana menekan rakyat) dan masalah sosial (seperti pelacuran).

Gaya sederhana almarhum Nik Aziz dengan parang yang disiarkan akhbar Cina pada 2004, gambar hiasan

Meskipun dihormati sebagai tokoh politik dan agama yang berwibawa, Nik Abdul Aziz boleh dihujahkan tidak memberi apa-apa pendekatan kreatif untuk membantu masyarakat wanita yang tertindas itu. Pendekatan penguatkuasaan undang-undang yang telah gagal masih dirujuk dan masih terpakai sehingga timbul tanda-tanya mengapakah Islam Muhammadi yang memperjuangkan hak asasi manusia, selain menjuarai wanita tidak dipugar untuk membantu kaum lemah.

Dalam tahun 2011 misalnya Nik Abdul Aziz menyebutkan pelacuran masih berleluasa di Kelantan kerana “kurangnya penguatkuasaan kerajaan tempatan” yang menjadi petunjuk kerangka “Islam Kelantan” masih dijadikan sandaran. Ini bermaksud formula denda, hukum dan penguatkuasaan masih digunakan sebagai medium mencapai masyarakat Islami. Ia dialaskan dengan hujah undang-undang juga adalah satu instrumen pendidikan.

Logik Pak Pandir

Bukan sahaja beliau menggunakan kerangka lapuk yang ternyata gagal teruk itu, malah almarhum turut menggunakan logik Pak Pandir (anak orang pun mati Andeh) apabila menjawab kritikan betapa kegiatan pelacuran di Kelantan masih dan terus memburuk. Almarhum menjawab; “Sama-samalah kita berusaha. Hakikatnya, jika hanya petak sawah kita sahaja dijaga daripada ular dan tikus sedangkan petak sawah di sebelah berkubang dengan anasir perosak, lama kelamaan petak sawah kita juga akan mengalami nasib yang sama”.’

Hakikat bahawa pelacuran sebagai satu gejala yang sudah mengakar sejak kurun sebelumnya tidak pernah menjadi perhatian. Bahkan faktor pelacuran yang banyak dikaitkan dengan gejala perkahwinan bawah umur turut tidak begitu dibanteras. Malahan institusi pondok kelihatan kekal membisu terhadap fenomena ini. Dalam erti kata lain, “Islam Kelantan” tidak menyediakan apa-apa solusi untuk masalah masyarakat, melainkan kembali menyalahkan masyarakat.

Pun, kewibawaan almarhum Nik Aziz tersebut membalikkan “Islam Kelantan” sebagai sesuatu yang berkilauan. Perlahan-lahan “Islam Kelantan” yang ikut tersebar dengan penghijrahan merebak ke seluruh negara dan membentuk sebagai satu cultura franca. Ia adalah satu kebudayaan yang menjadi penghubung atau perantara aneka kebudayaan yang ada. Dalam hal ini “Islam Kelantan” menjadi produk budaya yang diterima secara sihat, dominan dan nilai-nilai jalur "Islam Kelantan" ini yang antara lain berbumbukan penguatkuasaan, pengkeramatan istana, penafian hak minoriti dan kebisuan agamawan terserap atau diserap ke dalam budaya Islam terdahulu.

Cultura franca juga menjadikan "Islam Kelantan" suatu budaya dominan yang menelan kepercayaan atau Islam lain dan akhirnya diterima sebagai budaya (atau kepercayaan) pengantar yang dirujuk sebagai contoh. Perlahan-lahan Islam Muhammadi, dan Islam yang lebih lokal sifatnya dipandang alien dan asing sebaliknya "Islam Kelantan" yang asalnya negatif itu dilihat sesuatu yang bermakna. Malah penolakan terhadap "Islam Kelantan" mulai disinonimkan dengan penolakan terhadap Islam itu sendiri.

Bahagian paling menggerunkan dari normalisasi "Islam Kelantan" ini adalah kelahiran “masyarakat yang bipolar” yang mana di satu bahagian kelihatan “beragama” manakala di hujung lain menyajikan wajah lain.

Ini menjelaskan kepada kita misalnya, mengapa di tengah pengajian kitab agama pondok-pondok Kelantan terdapat pula industri muzik Kelantan (atau dangdut Kelantan) yang liriknya lucah. Dangdut Kelantan ini tumbuh marak seiring dengan kemajuan "Islam Kelantan" yang diterima ramai setelah kemenangan PAS di Kelantan.

Misalnya pada tahun 2002 industri muzik Kelantan mulai diresapi dangdut Kelantan yang kelihatannya menjadi satu mania di tengah kemurungan produk "Islam Kelantan" seperti Enakmen Kawalan Hiburan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Penggiat industri muzik Kelantan, Yie Arjunasukma atau nama sebenarnya, Mohd Sulhie Yusuf menyatakan; “Sekitar tahun 2002, industri muzik Kelantan mula diserikan dengan kehadiran ramai penyanyi wanita. Selain mengubah dikir barat menjadi lebih ‘panas’, mereka turut mempopularkan lagu daerah berentak dangdut, disko dan pop. Golongan itu yang terdiri daripada gadis dikatakan dieksploitasi oleh penerbit sebagai pelaris. Imej seksi mereka dijadikan penghias muka depan album selain dijemput sebagai penyanyi duet atau penari latar dalam klip video.’

‘Suk suk tubik masuk’

Antara produk Dangdut Kelantan yang menjadi kebalikan kepada Islam Kelantan adalah lagu “Tubik Masuk” yang liriknya dwimaksud; antara lain kandungannya adalah “Suk suk tubik masuk. Masuk lagi aarrghhhh!!! tubik lagi. Jak jak jak memey sedap. Lamo lamo ah ah ah kohok sedap, dipegey-pegey disedut-sedut.”

Meskipun lagu tersebut merujuk perihal kenikmatan merokok ia dapat juga dihubungkan dengan aksi persetubuhan.

 Enakmen Kawalan Hiburan Tempat-tempat Hiburan 1998 dinyatakan, digubal “bagi menyelamatkan masyarakat Islam di negeri Kelantan khasnya dan umat Islam di seluruh Malaysia amnya, dari terlibat dengan amalan yang mengandungi khurafat dan syirik”, justeru “kerajaan Kelantan menggubal Dasar Kesenian Kelantan supaya selari dengan kehendak syarak”. Namun demikian sekali lagi, seperti contoh penguatkuasaan antipelacuran yang gagal, kekangan hiburan ini hanya memburukkan keadaan. Jauh sekali dari membaiki masyarakat.

Tentulah aneh, di tengah dakwaan kejayaan "Islam Kelantan" di Pulau Melaka untuk membanteras hiburan yang diasosiasikan dengan maksiat, dalam masa yang sama maksiat tersebar dengan meriahnya menerusi corong lagu di pasar malam Wakaf Che Yeh. Inilah salah satu contoh dwisisi "Islam Kelantan" yang asalnya tidak peduli, dan sehingga kini masih tidak peduli terhadap realiti masyarakat, selain tidak kreatif dalam menyelesaikan masalah. Ia hanya menawarkan solusi sementara dan tidak menyorot kemelut masyarakat secara mendalam.

Sesungguhnya "Islam Kelantan" adalah satu sentuhan Islam secara kosmetik, dan tidak menggali masalah masyarakat ke dasarnya. Lebih membimbangkan ia menghasilkan masyarakat yang murung dan bipolar seperti terlihat dalam contoh-contoh kes yang dibincangkan iaitu antara lain pelacuran, dan sisi gelap industri muzik Kelantan.

"Islam Kelantan" adalah satu varian dari kepelbagaian Islam yang ada di negara ini. Ada pihak yang memandang ia positif kerana ia berteras penguatkuasaan (nahi mungkar), kemanjaan dengan istana, dan ulama yang enggan campur masalah masyarakat dan sibuk mengaji. Di sisi lain ada pihak yang memandang "Islam Kelantan" ini menjengkelkan lantaran gagal merenung masalah secara kreatif, mengakibatkan lahirnya masyarakat bipolar, menyubur feudalisme dan meletakkan agamawan nyanyuk sejarah dan alpa ilmu sosiologi sebagai pemimpin.

Terlepas dari semua itu, siri artikel mengenai Kelantan ini diharap dapat membuka minat generasi muda untuk membaca semula sejarah secara kritis, dan merenung semula keberadaan Islam dengan cara yang matang.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen