Pengiklanan

    Anwar kena pau?

    (Dikemaskini )

    “Saya bagi polis habis siasat, sebab dia (penulis) ugut kalau tak bayar RM400,000...’’

    Ini potongan kata-kata Anwar Ibrahim yang dilaporkan oleh portal Suara Keadilan pada 24 Jun 2019.

    Kata kunci di sini ialah ugut.

    Johari: Penulis ugut Anwar bayar lebih tinggi”. Ini ialah tajuk berita Malaysiakini pada 19 Jun 2019.

    Kata kunci di sini ialah ugut.

    Anwar leaves it to cops to probe author for blackmail”. Ini adalah tajuk berita Star Online pada 20 Jun 2019.

    Blackmail dalam Bahasa Inggeris bukan bermakna surat hitam. Blackmail maknanya ialah ugut.

    Kata kunci di sini masih lagi ugut aka blackmail.

    Ugut bermakna memberi seseorang tekanan, memaksa dengan ancaman untuk membocorkan atau mengumumkan sesuatu maklumat, rahsia, kejadian atau babak yang benar atau tidak benar kepada umum, kepada anggota keluarga, kepada sahabat handai sehingga apa yang diminta diberikan kepada tukang ugut.

    Dalam bahasa cool anak muda, ugut ialah pau. Kena ugut ialah kena pau. Anwar Ibrahim telah diugut oleh Yahaya Ismail dalam loghat anak muda ialah Anwar Ibrahim kena pau oleh Yahaya Ismail.


    Baca: Penulis: Saya tawar Anwar beli hak cipta manuskrip, bukan ugut


    Dakwaan kes ugut Anwar Ibrahim muncul minggu lalu. Ini diumumkan oleh Johari Abdul dalam satu sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat. Mengikut laporan media, seorang penulis bernama Yahaya Ismail didakwa telah mengugut Anwar Ibrahim untuk mendapat RM400,000.

    Yahaya Ismail. Dia menafikan cuba mengugut Anwar tetapi hanya menawarkan hak ciptanya untuk dijual.

    Cara ugutan ini dijalankan agak senang. Yahaya Ismail menulis tentang Anwar. Apa yang ditulis oleh Yahaya Ismail pada tahap ini hanya Guru Nanak sahaja yang mengetahui. Yahaya dikatakan menghantar manuskrip ini kepada Johari Abdul. Apa yang ditulis dalam manuskrip buku ini didakwa sedang dijadikan peluru ugutan oleh Yahaya Ismail untuk mendapatkan RM400,000 dari Anwar Ibrahim.

    Apa yang sahih ialah pada ketika ini orang ramai tidak tahu apa yang ditulis oleh Yahaya Ismail. Tapi Yahaya Ismail khabarnya yakin apa yang ditulis dan dipaparkan dalam manuskrip ini pastilah sesuatu yang Anwar Ibrahim tidak mahu orang ramai rakyat Malaysia mengetahui.

    Yahaya didakwa mengugut jika dia tidak dapat RM400,000 maka manuskrip ini akan dicetak dan dijadikan buku. Melalui buku orang ramai akan tahu apa isi buku ini. Jika Anwar Ibrahim atau Johari tidak mahu orang ramai rakyat Malaysia, anak semua bangsa dan bangsa semua agama tahu siapa sebenarnya Anwar Ibrahim – sila bayar RM400,000.

    Ugutan ini hanya akan berjaya jika apa yang ditulis adalah sesuatu yang Anwar dan Johari tidak mahu umum mengetahui. Apa pekara itu? Jeng jeng jeng.

    Johari Abdul dan buku "Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM'"

    Hakikatnya sesiapa yang memiliki rahsia gelap berkemungkinan diugut. Salah. Ini ayat yang salah. Kerana kita semua memiliki rahsia gelap. Tidak ada sesiapa yang tidak memiliki rahsia gelap.

    Saya sendiri ada rahsia gelap. Pada cuti sekolah tahun 1960, ketika dalam darjah tiga saya pernah terberak dalam kepuk padi milik jiran kerana tak tahan sakit perut. Sampai sekarang babak ini menjadi rahsia gelap saya.

    Justeru ayat yang betul dan tepat ialah sesiapa yang memiliki rahsia hitam dan tidak mahu maklumat hitam ini diketahui orang ramai berpotensi diugut. Betul.

    Kata kunci ialah - tidak mahu rahsia hitam diketahui umum. Kes saya terberak dalam kepuk padi boleh diketahui ramai. Pada tahun 2019 apabila saya buka cerita ini ia hanya menjadi bahan lawak. Kah kah kah.

    Sabar dulu. Sabar. Apabila saya ulang baca saya dapati ayat tentang potensi diugut ini juga belum sahih seratus peratus.

    Untuk menjadi tepat dan betul, makna konsep ugut ini perlu tambahan. Yang tepat dan betul jika maklumat hitam ini diketahui umum maka sosok yang diugut akan… akan apa?

    Jeng jeng jeng.

    Mamat yang kena ugut jika ada kuasa akan hilang kuasa. Jika ada duit maka akan hilang duit. Jika ada kedudukan maka akan hilang kedudukan. Jika dihormati maka akan dilihat hampeh. Jika dipercayai maka sosok ini akan tidak lagi dipercayai.

    Mat Kati Kenaboi bukan sahaja tidak berduit malah namanya tidak diketahui umum. Di kampung sendiri pun tak ramai orang mengenali siapa Mat Kati. Mat Kati tidak ada kuasa, tidak ada nama dan bukan calon untuk menggantikan Datuk Undang Jelebu. Jika Yahaya Ismail cuba mengugut Mat Kati saya rasa saya kentut masam dari Mat Kati pun tidak akan dapat dihidu.

    Jadi Mat Kati dengan Anwar Ibrahim ini jauh bezanya. Mat Kati tidak memasang apa-apa rancangan untuk menjadi Datuk Undang malah tak pernah bermimpi untuk menjadi ketua kampung. Tetapi Anwar bin Ibrahim ini bukan sahaja merancang malah memasang strategi untuk menjadi perdana menteri Malaysia. Kah, kah, kah.

    Merancang untuk menjadi perdana menteri inilah yang memunculkan ugutan. Niat, mimpi dan keberahian si Anwar ini untuk menjadi PM sedang diugut.

    Maknanya, ada sesuatu tentang Anwar Ibrahim yang anak semua bangsa rakyat Malaysia tidak tahu. Jika rakyat Malaysia tahu perkara yang penulis tahun tahu maka rakyat Malaya akan menolak Anwar Ibrahim dari dipilih untuk menjadi perdana menteri.

    Dalam bahasa sempoi, jika cerita dibuka maka Pak Sheikh akan kantoi. Kah, kah, kah.

    Apa rahsia hitam Anwar Ibrahim yang hanya Yahaya Ismail tahu? Apa rahsia hitam Pak Sheikh yang kita semua tidak tahu? Perkara yang hanya seorang sahaja yang tahu ini menjadikan ugut itu bahaya.

    Untuk memahami bahaya ugut mari kita lihat apa yang berlaku pada tahun 1961 – setahun sesudah saya terberak dalam kepuk padi. Kes ini berlaku di United Kingdom. Babak kisah ini saya ikuti dalam Utusan Melayu yang menggunakan huruf jawi. Ketika itu pemahaman saya tentang dunia luar amat-amat kurang jauh sekali memahami apa itu politik. Tetapi ingatan saya tidak pernah menggagalkan saya hingga ke hari ini. Ingatan saya ini dibantu pula oleh Internet.

    Christine Keller, foto Wikipedia

    Seorang Minah cun 19 tahun yang bekerja sebagai model di Soho bernama Christine Keller telah menjalin persahabatan dengan Stephen Ward, seorang doktor. Melalui Dr Stephen, Christie telah dapat menerobos masuk ke dalam kelas elit kota London. Nak memecah masuk kelas elit British bukan senang anak. Bayangkan sultan Melayu yang dikatakan berkahwin dengan minah salih itu hanya dapat berkahwin dengan anak tukang kebun. Bila pulang ke Malaya baru dihebohkan kepada orang kampung – “Rajo kito kawin orang putih”. Kah kah kah.

    Musim panas Julai 1961 Christine telah dipertemukan oleh Dr Stephen dengan John Profumo, anak seorang baron. John Profumo ialah secretary for state of war – setiausaha perang. Tugas Profumo bertaraf menteri ini diwujudkan kerana 60-an adalah era Perang Dingin. Ketika itu kapitalis Eropah dan Amerika sedang bermusuh dengan sosialis Soviet Union.

    Soiree musim panas ini diadakan di kediaman Viscount Astor. Ini juga rumah kerabat. Disurahkan pada petang itu Profumo telah mengentot Chrstine Keller. Malah dari Utusan Melayu (jawi) saya mendapat tahu bagaimana si Christine ini telah berbogel mandi dalam kolam renang Viscount Astor. Bayangkan berahi saya ketika itu. Tapi berahi saya tak sampai ke tahap berahi nak jadi perdana menteri.

    Sebenarnya kisah Minah cun kelas bawah bertemu lelaki kacak kelas atasan adalah kisah biasa. Malah ia berlaku setiap hari. Mengentot dalam kolam renang kini telah menjadi program TV realiti di Rusia. Tapi pada tahun 1961 suasana berbeza. Ini kisah entot dalam kolam renang di musim Perang Dingin.

    Tup tup berita meledak. Ada kes kes tembak-menembak. Korek punya cari muncul kisah Christine dengan Lord Profumo. Media dunia heboh. Sama heboh seperti ketika berita Anwar Ibrahim dituduh meliwat Azizan pada tahun 1998 dahulu.

    Nak menjadikan cerita – rupa-rupanya si Christine Keer ini juga telah dientot oleh Yevgeni Ivanov – atase tentera laut Kedutaan Soviet Union. Jeng jeng jeng. Minah cun ini bijak mencari pelanggan.

    Ini kes keselamatan negara. Pecah perang dingin dalam kabinet perdana menteri Harold Macmillan. Sama seperti perang yang berlaku dalam kabinet Mahathir pada tahun 1998.

    Tup tup Dr Stephen Ward membunuh diri. Dr Stephen tidak sanggup diugut oleh media. Rupa-rupanya Dr Stephen seorang homoseksual. Pada tahun 1962 homoseksual masih satu jenayah di Britain. Setiuusaha Perang berkongsi kekasih dengan pegawai Rusia berpotensi diugut. Ini keputusan badan intel M15 dan MI6 Britain.

    Stephen Ward , foto Wikipedia

    John Profumo meletak jawatan. Menghilangan diri dari diugut media. Bukan seperti Haziq yang ke hulu ke hilir mencari media.

    Setahun sesudah apa yang dipanggil The Profumo Affairs kerajaan konservatif Perdana Menteri Harold Macmillan kalah. Kerajaan Buruh Harold Wilson masuk ke No 10 Jalan Downing.

    Kata kunci di sini masih lagi ugut. Dr Stephen takut diugut kerana keberahian terhadap lelaki. Profumo diugut meletak jawatan kerana dia dianggap membahayakan keselamatan negara. Boleh diugut oleh Soviet Union. Bahaya kerana berkongsi kekasih dengan ejen Soviet Union.

    Tapi apa sangkut paut Christine Keller, Profumo dan Dr Stephen dengan negara kita?

    Sabar dulu bro, yang mengikat semua berita yang saya tulis ini ialah ugut. Saya membuka surah 1961 ini kerana Anwar Ibrahim didakwa telah dan sedang diugut.

    Cicak kubin pun berani mengugut Anwar RM400,000. Bayangkan jika Anwar Ibrahim ini diugut oleh China Merah? Anwar Ibrahim diugut oleh Amerika? Anwar Ibrahim diugut oleh Singapura?

    China Merah mengidam satu pelabuhan tentera laut di bumi Melayu ini. Amerika mahu Malaysia menyokong pertarungan kuasa Zionis-Anglo-Amerika dengan China Merah. Singapura mahu ruang angkasa di Tanah Melayu. Singapura mahu pasir. Singapura mahu air terus lima sen satugelen sampai dunia kiamat.

    Ugut, ugut, ugut.

    Jelas sesiapa yang memiliki rahsia hitam akan berpotensi diugut. Lagi gedebe sosok itu lagi hebat ugutan sampai. Profumo menteri perang menghilangkan diri. Dr Stephen seorang homoseksual membunuh diri. Apa jadi dengan Christine Keller?

    Pada lewat petang musim panas 1992 ketika Hishamuddin Rais sedang menyapu dan menyusun meja di Restoran Jakarta di alamat 150 Shafterbury London, sosok bernama Christine Keller melintas di hadapan restoran menuju ke Covent Garden.

    “Demi Zeus, minah ini memang cun.”


    HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

    Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

    Belanjawan 2020
    • Infografik
      Carta & Graf
    • Kuiz
      Apa anda dapat?
    • Undian
      Suka atau tidak?
    • Laporan langsung
      Laporan langsung kami

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih