malaysiakini logo
story-image
ADS

Semua adiwira khayalan hanya akan menjadi kuat apabila mereka mengenakan pakaian khas.

Dengan berpakaian begitu mereka boleh terbang, menjadi kebal, juga boleh bergerak sepantas kilat, selain mampu melakukan bermacam aksi luar daripada kebiasaan manusia.

Dan biasanya mereka ini akan menyelamatkan dunia daripada dibinasakan oleh raksasa, makhluk asing atau segala macam kejahatan.

Kita jadi percaya kepada kekuasan mereka - juga - hanya apabila mereka berada dalam busana kewiraan berkenaan.

Kerana itu jugalah apabila pemuda-pemuda Melayu harapan bangsa mula giat memakai pakaian yang mereka anggap sebagai pakaian warisan bangsa, mereka juga tiba-tiba didatangi kuasa yang luar biasa.

Dengan bertanjak dan berbaju Melayu mereka secara otomatis menjadi penyelamat bangsa Melayu yang kuat dikata orang sebagai pemalas itu.

Apabila saja mereka siap berpakaian yang mereka gelar sebagai tradisional itu - dan sejurus selepas menyarungkan capal yang mereka rasakan juga sebagai warisan bangsa walaupun datuk nenek mereka dulu lebih gemar berkaki ayam - maka telah keluarlah kemiskinan yang selalu dikaitkan dengan bangsa itu.

Baju Melayu dan tanjak memberikan harapan besar untuk bangsa ini maju. 

Kena maki, ajak bertumbuk

Justeru sejak akhir-akhir ini semacam ada satu gerakan yang mahu menjadikan pakaian tersebut lebih menonjol dengan harapan apabila saja semua anak bangsa mengenakannya, maka masalah budak Melayu merempit akan selesai.

Tidak akan ada lagi anak Melayu menghisap dadah, dan tidak ada juga lagi segala macam masalah sosial yang dihadapi oleh bangsa akan segera ghaib.

Baju Melayu, tanjak, capal dan keris adalah pakaian adiwira bangsa Melayu untuk keluar jadi kejumudan bahawa hanya merekalah bangsa yang paling baik didunia. 

Apabila mengenakan semua kelengkapan itu, maka mudahlah mereka untuk berkawan dengan apa bangsa pun di dunia ini - jika mereka memilih untuk berbuat demikianlah.

Kerana itulah kami mengatakan bahawa anak Melayu yang mengenakan kelengkapan seperti pengantin dan bangsawan itu berasakan bahawa mereka adalah Power Rangers si penyelamat manusia.

Pakaian itu mempunyai semacam kesaktian.

Gambar hiasan

Untuk perhatian, busana hanyalah kata ganti kepada baju. Ianya tidak dikhaskan untuk pakaian Melayu sahaja.

Kemudian mereka pun marah.

Habis dimakinya kami ini. Diajaknya bertumbuk, dikatakan pengkhianat bangsa sendiri, dan segala macam perkataan yang membuatkan emak kami menangis jika dia tahu anak lelaki kesayangannya sedang dihamun orang.

Sayugia diingat bahawa mereka ini adalah orang yang sering berbangga dengan lemah lembut pekerti bangsa Melayu dan indah tersusun bunga bahasa warisan moyang mereka.

Namun demikian setelah kami timbang-timbang, kami dapati mungkin mereka itu adalah daripada keturunan sebelah Hang Jebat (jika kegarangan dan kebengisan mereka itu dijadikan ukuran).

Mereka adalah 'sang rebel' Melayu sejati.

Buang kawan, buang saudara

Apabila terasa dikhianati, mereka segera mengamuk, membunuh sesiapa saja tanpa perlu diperiksa. Kemudian mengauli gundik raja seperti isteri sendiri dan berasakan semua perbuatan itu adalah adil.

"Jahat dibalas jahat," kata mereka. Sangka mereka amanlah dunia apabila saja nafsu amarah mereka dilempiaskan melalui apa saja cara tanpa ada batas ke atas siapa pun orangnya. 

Hang Jebat si pendosa itu akan selalu dijadikan wira rujukan kerana menurut si pandai Melayu, itulah riak jantan perkasa.

Gambar hiasan

Mempertahankan sahabat dengan membunuh ratusan manusia. Menghuru-harakan Melaka dan berasakan ia adalah cara paling benar untuk menangani muslihat politik sang raja.

Tidak ada muslihat yang diperlukan oleh mereka dalam berperang. Yang mereka tahu ialah: apabila sarang tebuan mereka dijolok, maka mereka wajib gelojoh menyerang biarpun jika menang akan menjadi abu dan kalah menjadi arang.

Power Rangers-lah, katakan.

Kami tinggalkan kamu dengan puisi yang kami tulis lama dahulu:

Melayu itu
layaknya berniaga
di bawah payung cuma
jual jambu di pinggir jalan
berkhemah hingga dinihari
menjual barang tiruan
di kala bilal pecah tekak melaung azan
dia sibuk melalak berjualan

Melayu itu
politiknya tiada batas agama
mulutnya berbau keji
korup tangan korup kaki
tegak benang basah
kerja sehari-sehari
malu orang jadi jenaka
malu sendiri jadi bangga

Melayu itu
kerjanya main-main
main-main itu kerjanya
mengadu malang semedang
merintih merayu dalam lagu
mengaku masih bertatih
dan selalu perlu dibantu

Melayu itu
buang anak
buang emak
buang ayah
buang kawan
buang sudara
asal dia dipuncak jaya

- Melayu Sepuluh Tahun Selepas Usman Awang, 2011.

Gambar hiasan

Artikel kali ini dihiasi oleh foto-foto yang diambil di Galeri Prima.

Pelukis dan pempamer yang berkenan mahu berpameran di galeri berkenaan disarankan agar menghantar kertas cadangan sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh yang dicadangkan.

Galeri Prima menerima semua artis.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, penyair - dan seperti yang kamu sangka kamu tahu - adalah musuh bangsa Melayu nombor satu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen