malaysiakini logo
story-image
ADS

Memang benar, timbul kesedihan apabila kita membaca kisah bagaimana hari-hari terakhir khalifah Islam di Turki digulingkan. Namun apa yang kita sering lupa ialah sebab mengapa ianya terjadi.

Kita menutup mata tentang betapa pada waktu itu kehidupan para pemimpin Islam jauh lari daripada apa yang dituntut oleh agama.

Mereka bermewah-mewah dan menjadikan agama hanya sebagai upacara. Seluruh penduduk Turki mulai berasa bosan dengan tingkah laku yang ditunjukan pemimpin mereka.

Apabila Ataturk datang dan memberi 'harapan baru’ seluruh rakyat negara itu memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada dia. Lalu berakhirlah daulah Islamiah yang bertapak sekian lama itu.

Di dunia Melayu hari ini Ataturk dipandang dengan sangat hina. Berbagai cerita dinukilkan mengenai kemurkaan tuhan kepada dia.

Entah betul entahkan dongeng untuk menyedapkan cerita, namun apa yang kamu tidak tahu ialah betapa dia dipuja sebagai hero oleh seluruh penduduk Turki dari dulu hingga ke hari ini.

Dia dilihat sebagai wira yang mengeluarkan Turki daripada kemunduran dalam semua segi kepada kedudukan yang dicemburui hampir semua kerajaan besar dunia.

Tanpa kira keturunan

Hari ini Turki menjadi kuasa besar yang cuba dikekang oleh negara-negara kuasa besar lain.

Kesombongan di atas kejayaan masa lalu membawa kepada kejatuhan sebuah khalifah Islamiah. Sehingga ke hari ini keruntuhan akibat kebodohan dan kesombongan itu masih berbekas di hati semua umat Islam di seluruh dunia.

Komunis pula datang pada masa yang tepat di Indonesia. Justeru kita menyaksikan pembantaian terhadap keluarga diraja mereka atas alasan yang sama.

Rakyat dihasut dengan modal bahawa pemimpin yang ada pada waktu itu hanya tahu berfoya-foya sambil mahu dipuja-puji hanya kerana mereka datang dari darah yang mulia.

Sedangkan ketika itu rakyat menderita kelaparan.

Tentu saja kita berasa belas apabila membaca mengenai pembunuhan sesiapa saja dengan cara yang tidak sepatutnya tanpa mengira apa pun keturunan mereka.

Kesedihan demi kesedihan ini tentu saja berpunca daripada sifat buruk segelintir ahli keluarga yang ditakdirkan berkuasa.

Kerana nila setitik ini maka seluruh anggota keluarga mereka dihapuskan.

Mereka mahukan segalanya percuma. Termasuk ketaatan. Ia dikehendaki begitu hanya kerana datuk nenek mereka memenangi perang seribu tahun dulu.

Atas justifikasi itu juga menuntut hak atas segala hal. Tanah ini milik mereka, gunung itu warisan keluarga mereka. Hatta pemakaian warna tertentu juga harus hanya dikhaskan kepada keturunan mereka sahaja.

Jangan megah dengan kekayaan

Mungkin jika semua tuntutan itu dibuat sembilan ratus tahun dulu, ia akan menjadi ketaatan. Namun sekarang sudah 2019. Sedikit masa lagi negara kita ada mengeluarkan kereta bersayap.

Hiduplah pada zaman ini kerana ketahuilah oleh kamu bahawa zaman yang begitu - apabila rakyat jelata memberikan ketaatan tanpa mata dan telinga - telah lama berlalu.

Semua orang boleh memberi hormat yang tinggi seperti yang dituntut selama mana mereka dipulangkan kembali hormat yang diminta itu.

Kami bukannya jenis penderhaka membuta tuli. Kami kalau menentang bukan saja-saja, sebaliknya hanya kerana benci disebabkan iri dengki.

Jalani saja hidup kamu seperti orang lain. Berkerja dengan amanah. Jangan bermegah dengan kekayaan. Jangan memukul dada sambil bertempik minta dijunjung.

Dan daripada segala hal itu, tentu saja yang paling mudah boleh kamu lakukan adalah: diam.

Kita sebagai anak negeri juga perlu dipersalahkan kerana - walau tidak makan, walau susah menjalani kehidupan - kekal bengap dan bebalnya kita ini apabila tanpa disuruh kita berbangga-bangga dengan harta benda pemimpin kita.

Kita jadi tidak tentu hala gembira apabila pemimpin kita dilihat mampu memiliki istana yang megah, kenderaan yang mewah sehingga terlupalah kita bahawa semua itu sebenarnya tidak diperlukan pun.

Kitalah yang menjadikan pemimpin lupa diri akibat pemujaan yang berlebihan. Kerana itu memang tentulah kita ini layak mendapat pemimpin seperti apa yang kita ada hari ini.

Bilakah agaknya pemimpin dan rakyat mahu keluar dari kebodohan ini? Tidak mungkin dalam seribu tahun lagi sekiranya kita ini semuanya masih sibuk dengan kesombongan susur galur dan keturunan.

Semua kamu - pembaca - dan kami yang menulis ini akan mati. Sekiranya hal ini boleh masuk ke kepala kita dan menjadi perkara utama, maka akan cerdiklah kita daripada kedangkalan yang mengutamakan darjat keturunan dan harta milikan.

Masih belum terlambat rasanya untuk kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang sudi membaca tulisan kami selama ini.

Semoga tuan-tuan sebagai helang yang besar dan terbang nan tinggi dapat memaafkan segala dosa yang dilakukan oleh si pipit yang megah ini.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang sangat membenci perbuatan mengurung serta memelihara burung apa jenis sekali pun, dan untuk tujuan apa sekali pun.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen