malaysiakini logo
story-image
ADS

Dalam sejarah perjuangan sepanjang zaman, episod yang dilalui Leon Trotsky, Bukharin, Che Guevara, dan lain-lain terlebih dulu dirasai oleh sahabat Nabi Muhammad SAW, Abu Dzar RA.

Saat revolusi Cuba meraih kemenangan, Fidel Castro menghantar Che - yang menjadi orang kanannya - ke Bolivia.

Malangnya, di situlah Che ditembak mati dalam kepungan tentera kerajaan Bolivia yang dibantu oleh tentera AS.

Begitu juga Leon Trotsky yang berjuang dalam Revolusi Bolshvik di Rusia. Dia terkorban akibat dikapak perisik Soviet Union ketika berada dalam buangan di Mexico.

Abu Dzar adalah antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga oleh nabi, sesuai dengan kedudukannya sebagai salah seorang yang terawal memeluk Islam.

Jika mengikut turutan, Abu Dzar merupakan sahabat keenam memeluk Islam.

Namun pengakhiran hidup Abu Dzar adalah episod yang menyedihkan.

Datang sendiri, pulang pun sendiri

Dalam pemikiran masyarakat Melayu, Abu Dzar dilihat sebagai seorang tokoh yang sangat zuhud. Beliau juga dianggap tidak memiliki keupayaan sebagai pemimpin.

Tanggapan itu dibuat berdasarkan hadis yang menjelaskan kebertanggungjawaban seorang pemimpin.

Bagaimanapun, Abu Dzar tetap dikasihi Muhammad. Sementelah ketika menerima Islam dia bersendirian namun menerima kalimah tauhid kerana tertarik dengan ajaran yang dibawa baginda.

Muhammad pernah bersabda bahawa Abu Dzar datang memeluk Islam sendirian, mati pun bersendirian. Abu Dzar dibuang daerah semasa pemerintah Khalifah Usman ibn Affan RA.

Tindakan Abu Dzar mengkritik pemborosan perbelanjaan Gabenor Damsyik, Muawiyah Abu Sufian, tidak disenangi dan mengundang kecaman terhadap kerajaan pada masa itu.

Ketika itu, ramai golongan oportunis yang bertenggek di sekeliling khalifah. Abu Dzar yang berpendirian keras enggan berada bersama-sama mereka.

Akhirnya, perlahan-lahan Abu Dzar mula terasing dan disingkirkan daripada arus perdana pemain utama politik pada masa itu.

Gambar fail

Sarjana terkenal, Ali Shariati, menganggap sahabat nabi itu sebagai lambang perlawanan ke atas kelas atasan dalam masyarakat. Idea Abu Dzar yang revolusioner tidak diterima oleh masyarakat dan kelas elit.

Terdirinya dinasti pertama dalam sejarah pemerintahan Islam merupakan satu revolusi dalam sistem politik Arab. Pendiri Dinasti Umayyah, Muawiyah Abu Sufian, melantik anak sulungnya - Yazid - sebagai pengganti.

Ini dilakukan dengan alasan Muawiyah mahu mengelakkan perselisihan politik yang membawa perang saudara.

Cucu nabi, Hussein, menentang ijtihad Muawiyah kerana ia dirasakan bertentangan dengan amalan sebelumnya. Pertentangan itu berakhir dengan peristiwa Karbala dan syahidnya anak kelahiran Fatimah, puteri kesayangan Rasulullah.

Sudah ribuan tahun persoalan itu dibincangkan.

Menentang golongan elit politik

Perang saudara sesama Islam terus berlaku. Untuk berlaku adil, krisis dan perseteruan juga berlaku dalam tamadun lain. Ketakutan yang terbit daripada sengketa politik tak berkesudahan membawa tindakan saling berbunuhan.

Berbalik kepada kisah Abu Dzar yang menyedihkan.

Kerajaan Islam telah meluaskan pengaruh dan wilayahnya. Keadaan itu menjadikan para pimpinan, tentera, birokrat dan peniaga mendapat faedah yang banyak.

Istana dan gedung mula dibina bagi mempamerkan kehebatan kerajaan Islam setara dengan pencapaian kerajaan Rom dan Parsi. Cara kehidupan petinggi negara mula berubah dan memburukkan lagi keadaan, ia didukung oleh hujah sesetengah ulama pada masa itu.

Hakikatnya memang begitulah - akan sentiasa ada di sepanjang zaman golongan ulama yang berfikiran sedemikian.

Sewaktu perluasan kuasa zaman Umar al-Khattab, tentera diberikan gaji dan tidak boleh memiliki tanah di kawasan yang dikuasai bagi menjaga kepentingan orang tempatan.

Namun perluasan wilayah dan pengaruh melahirkan kelompok birokrat yang bersifat elit. Suasana tersebut berkembang pesat selepas pemerintahan Khulafa ar-Rashidin berakhir dan munculnya era dinasti.

Perubahan kehidupan elit Muslim pada zaman Uthman al-Affan banyak ditentang oleh Abu Dzar dengan lantang. Suara kritikan Abu Dzar menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan sesetengah elit politik.

Abu Dzar diriwayatkan diminta Uthman meninggalkan kota Madinah untuk mengelakkan ketegangan. Abu Dzar, isteri dan anak perempuan mereka kemudian mengasingkan diri di gurun padang pasir yang bernama Rubza.

Dan di situlah, sahabat nabi itu menghembuskan nafas terakhirnya.

Peristiwa itu dirakam terlebih awal oleh Muhamad semasa Perang Tabuk. Baginda bersabda, Abu Dzar mendatangi Islam seorang diri dan beliau akan meninggal dalam buang seorang diri.

Terperangkap dalam idealisme

‘Kesilapan’ Abu Dzar ialah, beliau gagal tidak mengimbangi ijtihad politiknya di antara realiti dan idealisme. Kepintaran yang dimiliki oleh Amru al-'As, Muawiyah dan sebagainya menjadikan mereka menguasai politik kerajaan dan pemerintahan.

Politik sangat memerlukan kebijaksanaan mencari jalan untuk kekal berkuasa melalui pilihan yang ada. Che percaya dengan membawa idea revolusi sosialisme di peringkat antarabangsa, perjuangannya akan berjaya.

Justeru Che meninggalkan kemenangan dan kuasa di Cuba demi idealismenya.

Begitu juga dengan nasib Trotsky. Stalin lebih pintar dalam sifir politik walaupun sumbangan Trotsky pada awal revolusi Bolshevik sangat besar dan berpengaruh.

Gambar hiasan

Masalahnya Trotsky gagal membawa idealisme dalam politik sebenarnya. Dia terperangkap dalam idealisme perjuangannya yang bersifat utopia. Samalah dengan idea Che mengenai revolusi sosialismenya.

Kerana kefakiran, ketika jasad Abu Dzar dibaringkan, kain kafan yang digunakan tidak cukup untuk menutupi jenazahnya. Pengebumiannya diurus oleh pedagang Iraq yang kebetulan lalu di kawasan tersebut.

Inilah episod terakhir seorang sahabat yang dijanjikan syurga oleh nabi. Abu Dzar terbuang pada saat kerajaan Islam menguasai Jazirah Arab, dan kerajaan Rom dan Parsi berantakan.

Abu Dzar- beliau sahabat berjasa besar namun terbuang di saat kumpulannya menikmati kemenangan.

Sekarang, siapakah pula yang terbuang pada saat kumpulannya berada di pihak yang menang?

* Artikel ini wajib dibaca dengan mengambil kira tahun pemilihan kepimpinan parti.


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen