malaysiakini logo
story-image
ADS

Setelah 18 tahun mengerjakan puasa di negeri orang, saya pulang ke tanah air. Itu pun secara terpaksa. Sakit strok sembilan bulan lepas masih belum sembuh sepenuhnya.

Para doktor melarang atau tidak berani menyatakan sama ada saya boleh terbang atau tidak. Tidak dapat pulang ke Dubai menghabiskan kerja-kerja sebelum ini.

Mungkin ada rahmat di sebaliknya.

Saya mulanya tidak punya ekspektasi terhadap puasa di tanah air. Mungkin 18 tahun mengajar yang puasa di Dubai dan Sharjah jauh lebih baik. Waktu kerja yang balik awal, seawal 1.30 tengah hari dan kemeriahan puasa selama sebulan cukup membahagiakan.

Puasa di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ada bezanya. Ibadah puasa ini ternyata masih terjaga dengan suasana yang cukup baik. Sedangkan di Malaysia telah lama diresapi pelbagai budaya baru sesuai dengan keadaan sekarang. Bazar ramadan dan bufet sudah biasa di Malaysia sedangkan asing di UAE.

Sepuluh malam terakhir cukup meriah, majid-masjid penuh melimpah ruah dengan manusia di UAE. Seakan bulan Ramadan yang akan berakhir dengan Lailatul Qadar amat menyedihkan, bilakah akan bertemu lagi. Para Muslimin datang menghabiskan masa beribadah.

Ini jauh berbeza dengan Malaysia di mana hari raya seakan lebih besar dan ditunggu-tunggu. Dengan lagu-lagu raya sentiasa terpasang. Sedangkan hari raya cuma sehari di UAE, tiada lagu-lagu raya dan tiada apa-apa untuk di sambut setelah berpesta selama sebulan Ramadan.

Begitupun saya melalui bulan puasa sepenuhnya yang pertama di Malaysia setelah berhijrah. Rumah saya terletak di SS7 Kelana Jaya. Kawasan perumahan yang cukup baik untuk berkongsi pengalaman. Dengan masyarakat Melayu hampir 90 peratus dan didiami para pesara yang sudah tinggal di sini dari akhir 80-an.

Di bulan puasa saya sibuk terapi di Hospital Universiti Malaya pada siang hari. Tiga sesi berlainan. Cukup bagus untuk dilalui oleh penyakit strok dan yang seumpama.

Bangunan tiga belas tingkat untuk fisioterapi sepenuhnya. Dalam 80 peratus pesakit adalah Cina. Ke mana orang Melayu? Mungkin dengan perubatan alternatif secara berurut. Saya tidak pasti.

Berbalik kepada puasa, saya berbuka puasa di masjid selalunya. Masjid Nurul Yaqin, masjid di depan rumah, menyediakan majlis berbuka untuk tetamu, selalunya dalam 200 orang. Para pekerja yang ramai hadir dan makan malam.

Berbuka puasa di masjid sudah menjadi biasa. Untuk pesara yang duduk dua orang, baik mereka berbuka di masjid. Orang bujang apatah lagi. Tiada apa untuk dimalukan.

Pada Ramadan yang pertama di UAE, hari pertama adalah tetamu tiga orang profesor. Rektor UIA, Profesor Dr Kamal Hasan, naib canselor UM dan UTM menjadi tetamu. Makan dengan lauk yang disediakan isteri dan meja yang baru dibeli. Saya menjadi imam Maghrib di hari yang bertuah itu.

Pada musim pertama juga, saya menjelajah tiap masjid untuk berbuka puasa. Ceruk kawasan pun saya pergi. Orang perempuan tidak berbuka di masjid dan isteri saya mendapat layanan istimewa.

Teringat di UAE masjid turut mengadakan majlis berbuka. Tetapi yang selalu menjadi tarikan adalah nasi briyani. Sepanjang bulan puasa, nasi briyani. Tiada pilihan kerana nasi briyani pilihan utama.

Tidak pasti menu yang berbeza. Masjid Sheikh Zayed yang menganjurkan 30,000 orang turut mengadakan nasi beriyana setiap hari.

Itulah lainnya. Masjid Nurul Yaqin dan lain-lain masjid sentiasa bertukar menu. Senantiasa di tunggu-tunggu. Kita banyak lauk pilihan dan tidak hanya pada satu, nasi briyani.

Solat sunat tarawih sama ada lapan atau dua puluh masih menjadi sebutan. Sedangkan di UAE, lapan rakaat sudah menjadi biasa. Tetapi akan balik ke 20 di malam 10 terakhir. Tiada siapa menyoal. Ikut jemaah.

Sepuluh malam terakhir dengan 20 rakaat solat tarawih dan panjang diserbu manusia. Pelbagai rupa manusia yang hadir, lelaki dan perempuan. Masjid-masjid dihias indah sehingga pagi.

Moreh menjadi sampingan. Di UAE tidak ada. Masjid Nurul Yaqin turut mengadakan moreh dan bersahur di malam 10 terakhir. Ini adalah tambahan dan sudah serasi dengan Malaysia.

Tetapi malam akan berakhir setelah tarawih di Malaysia sedangkan malam baru bermula di UAE. Siap untuk keluar bermain dan berpesta. Balik awal pagi perkara biasa. Setiap anggota masyarakat pasti pernah mengalami.

Sebab itulah waktu bekerja dipendekkan. Dari 8 pagi ke 1.30 tengah hari untuk pekerja awam. Untuk swasta berakhir pukul 4 petang. Maka pukul 6 petang, jalan tidak lagi jem dan sesak.

Banyak beza untuk berpuasa di UAE dan di Malaysia dalam banyak hal. Kesesakan adalah perkara biasa yang menarik. Ditambah apabila pulang berhari raya dengan kesesakan. Sepanjang lebuh raya dipenuhi kereta. Jutaan manusia saling berkomunikasi.

Ada 32 juta rakyat Malaysia dan imigran. Kuala Lumpur akan sunyi dengan kepulangan anak-anak desa. Kuala Lumpur di penuhi imigran yang sedang bercuti kalau tidak sama berniaga. Memenuhi kota raya. Seakan tempat kelahiran.

Sebab itu saya suka berhari raya di UAE. Tanpa baju raya dan raya sebulan. Kemeriahan puasa tamat di Hari Raya. Kembali bekerja seperti biasa. Tidak perlu berhari raya waktu bekerja dan makan besar.

Keluarga siap sedondon dengan pelbagai corak baju raya. Membazir kalau dibeli banyak-banyak.

Malaysia sudah maju ke hadapan. Raya disambut sebulan dengan pelbagai acara. Ramadan terus dilupakan.

Kita akan berhari raya. Selamat Hari Raya!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen