malaysiakini logo
story-image
ADS

Apabila Isma memperkatakan perpaduan Melayu dengan slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat, ramai pihak yang membantah. Tak kurang juga yang mengatakan Isma rasis. Tetapi akhbar hari ini memaparkan kenyataan tentang kebimbangan sultan Selangor terhadap perpecahan orang Melayu yang dianggap sudah sampai tahap kritikal. Saya tak pasti adakah masih ada yang berani nak kata bahawa seruan sultan agar Melayu bersatu ini adalah bersifat perkauman?

Kenyataan sultan Selangor ini membuktikan bahawa isu perpaduan orang Melayu tidak ada kena mengena langsung dengan isu perkauman. Ia sekadar seruan untuk memastikan bahawa orang Melayu dapat terus hidup bersaing dengan bangsa lain dan menikmati segala hasil mahsul yang ada dalam negara. Bak kata pepatah, berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan bangsa lain.

Sangatlah pelik jika golongan majoriti menanggung segala keperitan walhal golongan minoriti mengaut segala kemewahan. Namun semua ini akan hanya menjadi omongan kosong jika orang Melayu masih gagal untuk bersatu padu.

Apa yang kita maksudkan sebagai ‘perpaduan Melayu’?

Nah, apabila kita berkata tentang perpaduan orang Melayu, orang umum akan melihatnya dari aspek:

  1. Penggabungan parti politik Melayu

  2. Bermatlamatkan untuk mendapat kuasa

Kedua-dua pandangan ini tidak salah tetapi separuh benar. Bagi saya, pemimpin-pemimpin Melayu di pelbagai peringkat harus melihat perkara ini dari perspektif yang lebih besar dan luas lagi.

Penggabungan parti politik Melayu

Sebahagian besar masyarakat Melayu beranggapan bahawa perpaduan ini terhenti setakat di peringkat parti politik, iaitu perpaduan atau kerjasama antara parti politik; terutama PAS dan Umno selaku dua tonggak parti orang Melayu. (Saya tidak nampak Bersatu dan Amanah mempunyai kekuatan seperti PAS dan Umno dalam konteks politik orang Melayu).

Akhirnya seruan mereka hanyalah sekadar untuk membawa rakyat menyokong parti masing-masing walhal di luar sana ada jutaan orang Melayu yang tidak berminat dan tidak mahu pun terlibat dengan mana-mana parti politik. Mereka ini seperti NGO, ketua-ketua masyarakat, ulama-ulama, guru-guru pondok, golongan profesional, generasi muda, ahli-ahli perniagaan, orang perseorangan dan lain-lain. Malah sebahagian dari mereka ini sudah meluat dengan retorik parti yang sekadar mahu undi mereka.

Pemikiran ahli politik Melayu harus merentasi isu parti dengan mengambil kira semua orang Melayu dari pelbagai latar belakang dan kepentingan. Dalam erti kata lain, agenda pemimpin Melayu dari mana-mana parti semestinya membawa bisikan setiap denyutan nadi dan isi hati orang Melayu secara keseluruhannya. Ia harus inklusif bukan eksklusif. Barulah seruan itu nanti akan lebih menyeluruh dan benar-benar lahir dari rintihan rakyat. Maka, manifesto yang dikemukakan nanti akan menterjemahkan keperihatinan terhadap setiap lapisan masyarakat Melayu.

Saya berkata demikian kerana banyak situasi, perkara dan aspek yang ‘golongan yang ditinggalkan' ini nampak apa yang ahli politik tidak nampak. Hal ini demikian kerana negara ini kita masih mengamalkan sistem politik kepartian bukan politik kenegaraan, di mana kedudukan di dalam parti itu lebih penting dari keadaan rakyat. Ini bercanggah dengan konsep siyasah syariah yang melihat politik itu melangkaui politik kepartian semata tetapi seluruh sistem kehidupan.

Bermatlamatkan kuasa semata-mata

Umum juga memahami bahawa tujuan perpaduan Melayu adalah untuk mencapai kuasa dan dengan kuasa inilah segala impian dan seruan mereka kepada rakyat akan dapat mereka laksanakan. Maknanya mendapatkan kuasa adalah agenda setiap parti politik. Tidak ada salahnya di situ, kerana memang tujuan menubuhkan dan menyertai parti politik adalah untuk mendapatkan kuasa.

Persoalannya, apa yang mereka mahu buat selepas mendapat kuasa? Dalam realiti hari ini sistem politik negara mengamalkan apa yang di sebut sebagai 'winners take all'. Ertinya parti yang berjaya memegang kuasa akan mengaut segala kedudukan dan hasil mahsul negara serta mengenepikan pihak pembangkang sepenuhnya. Kalau boleh, mereka mahu melumpuhkan terus kekuatan pembangkang walaupun mereka adalah seagama dan sebangsa.

Sebab itu, demi mencapai kuasa mereka akan berbuat apa saja termasuk bersekongkol dengan pihak yang menentang perjuangan Melayu itu sendiri. Walaupun mereka mengungkapkan perjuangan Melayu di bibir mereka, tetapi pada hakikatnya tidak. Merempatnya orang Melayu pada hari ini bukannya kerana mereka malas tetapi kerana sikap pemimpin yang “melihat kuasa sebagai segala-galanya”. Walaupun sejak merdeka, negara dipimpin oleh orang Melayu tetapi sebenarnya yang kaya hanyalah kroni-kroni politik.

Habis, bentuk perpaduan yang bagaimana yang kita kehendaki?

Perpaduan yang kita kehendaki adalah perpaduan melangkaui kedua-dua blok pemikiran di atas.

Perpaduan Melayu yang kita kehendaki adalah perpaduan prinsip bukan hanya perpaduan fizikal atau kekuasaan posisi semata-mata.

Ertinya, mereka boleh berbeza ideologi politik tetapi mengenai perkara-perkara prinsip, mereka harus bersepakat. Mereka boleh berentap di arena politik, di atas pentas-pentas, di ruang-ruang media dan sebagainya tetapi mereka wajib bersama apabila menyentuh soal prinsip dan dasar.

Pesoalannya, apakah prinsip dan dasar yang harus disepakati? Bagi saya mudah sahaja iaitu:

  • Islam
  • Melayu
  • Raja

Sudah pasti huraiannya panjang dan tak dapat saya nukilkan di sini tetapi inilah sebenarnya yang mendasari pemikiran dan keabsahan orang Melayu. Ini jugalah kegagalan pemimpin parti orang Melayu semenjak merdeka lagi. Tidak ada yang berani mempertahankan Malaysia sebagai Negara Islam, tanah rizab Melayu semakin dihakis, raja-raja Melayu pula semakin dihina tetapi dibiarkan sahaja. Semua ini adalah antara contoh perkara prinsip yang pemimpin Melayu sedang dan terus berselisihan.

Jika perkara ini dapat disepakati, maka sebenarnya kita tidak kisah siapa dan parti mana (asalkan Melayu dan Islam) yang menerajui negara kerana kita tahu Islam, Melayu dan Raja-Raja akan tetap terpelihara. Musuh juga tidak akan berani memperlekehkan orang Melayu.

Orang Melayu tidak takut kepada 'perpecahan' walaupun ada 100 parti baru ditubuhkan kerana mereka tahu apabila menyentuh soal-soal utama ini mereka akan bersolidariti bersama di dalam parlimen mahupun di luar parlimen.

Inilah perkara-perkara yang mesti diwacanakan secara terus terang, tulus dan mulus di kalangan pemimpin Melayu, bukannya berlumba-lumba untuk menjatuhkan satu sama lain secara total.

Jika tidak ada pihak yang sanggup menjadi pemudah cara, biarlah Isma yang mengemudikan perbincangan pemikiran baru perpaduan Melayu. Setuju?


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen