malaysiakini logo
story-image
ADS

Jika kita membaca dengan teliti Batu Bersurat Kuala Berang, Terengganu, maka kita dimaklumkan bahawa agama Islam Arab sampai ke Tanah Melayu pada anggaran tahun 1303. Siapa membawa dan dari mana masih dalam kajian dan teori. Apa yang sahih, pada ketika itu Bani Melayu telah memiliki tuhannya yang dipanggil Dewata Mulia Raya.

Sejarah moden hari ini merakamkan satu pandangan bahawa negeri Melaka telah wujud seawal 1262 tahun Masehi. Kita juga diberitahu melalui Salatus Salatin bagaimana warga Melayu Melaka yang ketika itu bukan beragama Islam telah terperanjat hairan apabila melihat ahli perniagaan dari Timur Tengah atau India bersembahyang di tepi pantai. Ini dikatakan berlaku pada tahun 1404.

Kita juga diberitahu bagaimana Sultan Melaka Parameswara bermimpi dan ‘anunya’ dipotong. Lalu Baginda menganut agama peniaga Arab yang datang mencari rempah rampai di Melaka. Sama ada ini dongeng atau mitos, bukan babak ini yang dibincangkan dalam tulisan ini. Apa yang sahih ialah apabila raja memeluk agama Islam maka rakyat dan pengikut baginda juga memeluk agama yang sama.

Saya amat yakin agama Islam di zaman kesultanan Melaka amat murni. Allah ketika itu didakwahkan sebagai Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang. Islam belum lagi menjadi agama ritual. Islam belum lagi menjadi agama yang suka melarang. Islam belum lagi menjadi agama suka menghukum dan menyusahkan penganutnya – seperti hari ini. Jika pada ketika itu umat Islam memiliki perangai seperti umat Islam hari ini, mungkin sultan Melaka tidak akan membuat dongeng tentang ‘anunya’ yang tersunat.

Hakikatanya Islam yang datang ke alam Melayu tidak dilembagakan. Islam bukan agama daulah. Islam datang sebagai agama suci untuk umat manusia.

Fakta sejarah membuktikan bahawa Bani Melayu sebelum 1404 telah memilik asas beragama. Justeru kedatangan dan penerimaan Islam tidak menimbulkan masalah. Melayu pada ketika itu telah ada tuhan – Dewata Mulia Raya. Terus diganti dengan Allah yang Maha Esa.

Bani Melayu percaya kepada makhluk halus. Melayu percaya bahawa pokok berhantu, hutan berhantu, Batu dan busut berhantu, hidupan memiliki semangat. Dalam Islam makhluk halus ini ialah jin dan malaikat. Konsep semangat Bani Melayu diganti menjadi roh. Justeru tidak ada perbalahan untuk Bani Melayu menerima konsep roh, jin dan malaikat.

Ritual datang menyerap ke alam Melayu dengan harmonis. Justeru bersemah dan berancak akan dimulai dengan bismillah. Melayu memiliki tangkal sebagai azimat pendinding. Kini tangkal masih lagi menjadi azimat. Kini dalam tangkal terselit beberapa baris surat Yassin. Walhal tangkal adalah konsep agama lama Melayu.

Jampi dan serapah Melayu adalah sebahagian dari perubatan Melayu. Di zaman sebelum Islam, jampi dimulai dengan bacaan “om”. Bila Islam sampai Melayu masih berjampi dengan dimulai penambahan bismillah. Jampi akan diakhiri dengan doa. Kalau sebelum Islam sampai ke Melaka dukun dan bomoh melalui jampi dan serapah akan meminta pertolongan Dewata Mulia Raya. Setelah memeluk Islam bomoh, pawang dan dukun meminta pertolongan daripada Allah.

Budaya Melayu Nusantara

Agama Bani Melayu sebelum Islam sampai telah memiliki konsep syurga dan neraka serta dosa dan pahala. Perkataan ini berasal dari bahasa Sanskrit. Konsep ini tidak diubah agar senang difahami oleh Bani Melayu. Dan amat senang untuk diterima pakai. Malah di dalam syurga juga ada didadari. Konsep bidadari ini telah wujud sebelum 1404. Maka konsep bidadari dalam syurga terus diguna pakai hingga ke hari ini di alam Melayu Nusantara. Amin

Apa yang ingin saya paparkan di sini ialah agama Islam menjadi selari dengan budaya Melayu Nusantara. Bumi tropika yang indah permai telah lama dilihat oleh Bani Melayu sebagai syurga. Justeru apabila para ustaz menggambarkan keindahan syurga maka Bani Melayu membayangkan hutan hijau dan bunga-bungaan seperti taman bunga dalam istana. Sungai yang mengalir dalam syurga mungkin menarik perhatian Bani Arab yang hidup di padang pasir dan tidak pernah melihat sungai dan air terjun. Tetapi untuk Bani Melayu gambaran air sungai dalam syurga bukan satu yang asing. Orang Melayu maklum dengan air terjun Jeram Toi di Jelebu atau aliran air Sungi Gabai. Amin.

Hari ini ada pelbagai bentuk dan jenis Islam. Pasti mustahil untuk menolak kenyataan ini. Hakikatnya Islam itu adalah kepercayaan. Islam bukan lagi milik Arab. Islam telah menjadi sejagat. Dalam kepercayan kita diberi pilihan – percaya atau tidak percaya.

Di bumi tropika Malaysia ini kita sedang melihat kepelbagaian Islam. Bukan Islam Sunni atau Islam Syiah yang saya maksudkan. Bukan. Bukan. Bukan.

Di Malaysia pada hemat saya ada pelbagai bentuk Islam. Ada apa yang saya panggil Islam kad pengenalan, ada Islam keturunan, ada jadi Islam untuk dapat projek, ada Islam ritual, ada Islam politik dan ada Islam budaya.

Islam budaya inilah yang pada hemat saya amat penting peranannya dalam konteks beragama Di Malaysia. Islam budaya ini amat amat menarik walaupun tidak ramai yang sedar bahawa ia wujud. Hari ini Islam budayalah yang menjadi teraju dan panglima kehidupan Bani Melayu. Islam budaya ini tidak disedari wujud kerana ia telah menjadi sebahagian dari kehidupan. Budaya itu ialah kehidupan. Dalam pemahaman Islam budaya agama itu sabenarnaya adalah sebahagian dari kehidupan.

Islam budaya ini bukan Islam ritual. Islam budaya bukan Islam dakwah. Jauh sekali Islam Taliban. Islam budaya lahir dari air, udara, sungai, gunung bukit bukau kayu-kayan Bumi Melayu.

Dalam alam tropika ini budaya Melayu telah wujud sebelum sampainya batu bersurat. Budaya Melayu telah sedia ada sebelum Parameswara menjadi mualaf. Bila Islam sampai budaya Melayu secara terbuka menerima agama baru ini dalam konteks budaya. Ini sama seperti kesampaian agama Hindu yang lebih awal dari Islam. Hakikatnya sebelum agama Hindu sampai dari India budaya Melayu telah wujud. Bani Melayu telah wujud sebelum Hindu. Bani Melayu telah wujud sebelum Islam. Inilah asas untuk memahami kewujudan Islam budaya.

Ciri dan pola Islam budaya

Manifestasi utama Islam budaya ini ialah sikap tolerensi. Tolerensi disambut baik dengan sikap keterbukaan Bani Melayu untuk menerima apa yang menarik, apa yang baik dan boleh untuk memperkayakan budaya Melayu itu sendiri. Justeru budaya Melayu menerima dan merayakan Hindu. Melayu menerima Islam. Melayu menerima Isa dari Nazareth.

Konsep-konsep agama Hindu bersepah-sepah masih diguna pakai. Kewujudan konsep ini memang tidak disedari kerana ia telah menjadi budaya – menjadi sebahagian dari kehidupan.

Sikap tolerensi sebenarnya adalah kekuatan Bani Melayu. Justeru Melayu di Filipina merayakan agama Kristian. Melayu di Bali merayakan Hindu. Tidak ada masalah. Amin.

Pasti ramai akan bertanya dan tertanya-ranya apakah ciri dan pola Islam budaya?

Pada hemat saya contoh terbaik untuk memahami Islam budaya ialah melihat kesampaian bulan puasa dan hari raya. Puasa dan hari raya yang kita rayakan di Malaysia ini adalah manifesatai Islam budaya. Puasa dan berhari raya di Malaysia bukan Islam ritual.

Ini bukan pula bermakna Islam budaya wujud tanpa ritual atau amalan. Ada amalan tetapi amalan ini bukan panglima. Islam budaya mengamalkan dan mengikut ritual waktu mula berpuasa dan waktu berbuka puasa. Ritual atau amalan ini ditaati. Tetapi amalan ini bukan pemandu. Yang menjadi panglima dan pemandu Bani Melayu pada bulan puasa ialah budaya Melayu.

Kewujudan bazar Ramadan adalah contoh terbaik Islam budaya. Seribu satu macam jenis kuih Melayu tradisional muncul untuk dijual dalam bulan puasa. Islam budaya merayakan bulan puasa dengan lauk pauk, kuih muih dan makanan menarik. Malah Islam budaya yang toleren menerima masuk makanan baru saerti roti John dan goreng pisang cheese.

Islam budaya juga telah menerima masuk budaya angpau dari budaya Cina. Sama seperti zaman kerajaan Melayu Melaka dahulu, Bani Melayu telah mengubah suai angpau untuk menjadi menjadi duit raya. Sampul merah gong hee fat chai ditukar dengan sampul hijau selamat hari raya. Ini manifestasi keindahan Islam budaya.

Tidak cukup dengan duit raya Islam budaya sedang merayakan malam tujuh likur. Bermain bunga api dan membakar mercun bukan ritual Islam Arab. Ada yang tidak faham makna bunga api dan mercun. Justeru dilarang berbunga api dan membakar mercun. Ini sikap bebal yang tidak faham apa makna merayakan. Mercun dan bunga apa itu adalah tanda dan makna kita sedang merayakan. Bakar bunga api dan akar mercun adalah nahu untuk memberitahu kita amat gembira.

Pada bulan puasa sila lawati kampung-kampung di sekitar Sayong, Kuala Kangsar – di kampung tepi tebing Sungai Perak. Di sini wujud satu lagi manifestasi Islam budaya. Di wilayah ini anak-anak muda akan membakar meriam buluh atau meriam besi dengan menggunakan carbide. Dari Kampung Hulu anak-anak muda akan berlawan tembakan dengan Kampong Hilir. Dum, dum, dum ini adalah manifestasi Islam budaya.

Bila hari raya sampai Bani Melayu akan mengadakan rumah terbuka untuk sesiapa sahaja yang melintasi di hadapan rumah mereka. Islam Iraq, Islam Saudi atau Islam Pakistan tidak memiliki budaya meriam buluh jauh sekali konsep rumah terbuka. Hanya Islam budaya di Malaysia yang memiliki rumah terbuka.

Apa yang ingin saya sampaikan disnilah ialah kekuatan Islam budaya. Manifestasi yang saya sebutkan adalah tanda kekuatan Islam budaya. Sebenarnya, tanpa disedari majoriti penganut Islam di Malaysia ini terangkum ke dalam mazhab Islam budaya. Bukan mazhab Sunni atau Syiah.

Islam budaya ini toleren, terbuka tanpa menjanji syurga atau neraka. Tanpa menaburkan larangan. Tanpa memiliki sikap suka menghukum. Tanpa keharmonian Islam budaya mustahil Parameswara ingin jadi mualaf. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen