malaysiakini logo
story-image
ADS

Bagaimanakah orang Melayu berpuasa dulu-dulu?

Terdapat tiga petunjuk nyata bulan puasa, yang membezakannya dengan bulan-bulan lain. Za’ba, ilmuan dan pujangga besar Melayu ada merakam suasana berpuasa dalam beberapa nota kecilnya untuk majalah Qalam yang kemudian disusun oleh AH Edrus dalam sebuah buku.

Petanda pertama bulan puasa adalah sembahyang tarawih. Za’ba menulis mengenainya begini; “Sa-telah Sha’ban habis, tiba bulan puasa, dan suasana pun telah berubah pula. Malam puasa di-buat beramai2 di-surau atau di-masjid dan di-lakukan sasudah sembahyang ‘Isha. Sembahyang ‘Isha itu di-mulai dari hilang chahaya senja merah di-tepi langit. Sa-telah sembahyang ‘Isha maka mereka pun beramai2 Sembahyang Tarawih – ia-itu sembahyang yang di-galakkan membuatnya pada bulan puasa. Sembahyang ini di-jalankan malam ia-itu sa-lama sa-bulan di-dalam bulan puasa.”

Ini menjelaskan kepada kita acara sembahyang tarawih ini telah pun dilaksanakan sejak lama dan turut direkodkan dalam pantun orang Melayu, seperti dapat ditemukan dalam koleksi pantun Melayu di Riau:

Bulan puasa orang tarawih,
Berbuat amal bekal akhirat;
Putus cinta hatiku sedih,
Dunia ini serasa kiamat

Khazanah pantun Melayu Riau juga turut merakamkan satu lagi aktiviti bulan puasa;

Bulan puasa orang mengaji,
Duduk tadarus bersama-sama;
Putus cinta pusanglah hati,
Badan kurus hidup merana.

Petanda kedua seperti yang disebutkan di atas adalah suasana ‘bertadarrus’, yang mana menurut Za’ba dilakukan santak waktu berbuka iaitu sekitar pukul 3 pagi; “Sa-sudah mereka Sembahyang Tarawih biasanya mereka berihat sa-bentar. Kemudian tampil-lah ka-muka pemuda2 dan orang2 tua berkeliling di-dalam suatu keliling yang besar untok membacha Qur’an berganti2. Membacha Qur’an berganti2 ini di-sebut bertadarrus. Ini di-jalankan hingga jauh malam. Di-kampong2 terutama-nya di Kedah dan juga di-Kelantan bertadarrus ini di-jalankan hingga sampai makan sahor, makan malam yang dibuat lazimnya pada pukul tiga pagi.”

Za’ba menambah, acara bertadarrus ini apabila masuk sepuluh malam terakhir akan mulai menjadi meriah apabila “ahli2 bachaan Qur’an di-jemput dari jauh supaya datang ka-tempat mereka untok di-dengar bachaan-nya”. Acara mengaji ini sedikit istimewa berbanding dua puluh malam sebelum kerana lagu tertentu untuk membaca al-Quran tersebut diudarakan iaitu lagu Rakabi dan lagu Nahwan.

Za’ba seterusnya mencatit, di Kedah acara di bulan puasa ini jauh lebih meriah berbanding negeri lain. Dan orang Kedah tidur pada hari siang dan berjaga pada malamnya. AH Edrus penyusun buku yang menghimpunkan nota-nota Za’ba antara tahun 1951 ke 1954 ini turut mengiyakan lantaran beliau pernah bersahur dengan Tuanku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama pada pukul 3 pagi di Kedah.

Za’ba secara deskriptif memperihalkan kegiatan orang Melayu pada malam bulan puasa ini berbeza dengan malam pada bulan bukan Ramadan. Ini menunjukkan sembahyang tarawih itu menggantikan kegiatan lainnya.

Menurut Za’ba pada bulan biasa, orang Melayu akan duduk mengaji kitab Mutla’ul Badrain di surau, kerana “mestilah berguru – tidak boleh di-bacha sendiri sahaja”; tetapi dukacitanya mengaji yang dimaksudkan oleh Za’ba ini tidak pun menambahkan ilmu dan hanya sebagai satu rutin biasa: “…murid yang berkeliling itu mendengar sahaja yang di-bacha oleh tuan guru itu. Mereka tidak menanya atau menyo’al apa2 yang dikatakan oleh tuan guru itu. Kalau mereka menyo’al atau menanya maka ia akan di-pandang sa-bagai biadab kapada guru. Kerana ini faham ta’ faham akan apa yang di-bacha itu tidak-lah menjadi so’al. Mereka belajar bukan menchari faham tetapi ianya menchari pahala belajar. Kerana itu jarang benar ada di-antara mereka yang beroleh ilmu daripada belajar.”

Dalam hal ini, Za’ba ingin menyatakan bukanlah asing orang Melayu itu berhimpun di masjid atau surau pada malam hari, cuma yang berbeza adalah pada bulan puasa, orang Melayu lebih menumpukan sembahyang dan bertadarrus berbanding “mengaji” atau belajar.

Petikan di atas juga sangat penting untuk dihayati oleh orang Melayu-Islam memandangkan ia juga mengisyaratkan orang awam Melayu “kurang mengerti agama” dan lebih cenderung kepada upacara. Hal ini sejajar dengan rakaman residen British, Frank Swettenham yang menulis; “It is unlikely that the Malay has ever been a religious bigot, it is not in his nature; and though he is a professing Muhammadan and ready to die for a faith which he only dimly understands, he has never entirely abandoned the superstitions of his earlier days.”

Kembali kepada suasana berpuasa, Za’ba juga menceritakan pada tahun 1948/1949 acara berbuka puasa ini dibuat di masjid dengan masing-masing orang kampung membawa makanan ringan berbentuk kuih-muih sebelum pulang untuk makan sesuatu yang lebih berat. Orang kampung akan berhimpun semula untuk sembahyang tarawih dan bertadarrus ini. Za’ba menyatakan jangka masa sembahyang adalah sekitar satu jam dan yang lama adalah acara bertadarrus yang tamat antara jam 2 pagi ke 4 pagi.

Oleh sebab itu pada hari siang, orang Melayu hanya di rumah dan tidak melakukan aktiviti pekerjaan seperti biasa, Za’ba menulis begini; “everybody keeping the fast stays at home, and does as little physical work as possible.” Orang Melayu di desa dan bandar memang menanti-nanti bulan puasa kerana kelainan ini.

Petanda ketiga bulan puasa menurut Za’ba adalah malam Tujuh Likur (malam 27 puasa atau bulan Ramadan) yang mana Za’ba ada menulis mengenai hal ini untuk Royal Asiatic Society pada tahun 1948 dan diterbitkan pada tahun 1949. Nota atau makalah kecil Za’ba itu bertajuk “Malay Festivals and Some Aspects of Malay Religious Life”. Za’ba menjelaskan terdapat satu jangka masa ringkas pada malam tersebut yang merupakan satu momen yang apa sahaja doa atau hajat akan dimakbulkan. Waktu sekejap tersebut akan ditandai oleh hal atau insiden aneh seperti pokok yang bersujud, atau air di dalam perigi menjadi beku meskipun tiada musim salji. Ia dinamakan Laylatu’l-Qadar:

“…it is marked by miraculous occurrences in the surrounding world of nature: trees are seen to prostrate to earth in homage to God, and water in the wells and rivers becomes ice with no connection whatever with winter. The spectacle may be a spiritual illusion, but it has indeed been seen by many blessed souls and prayers made during this brief moment are known to have been literally answered and granted.”

Za’ba menyatakan moyangnya Haji ‘Amil dari Linggi pernah mendapatkan momen Laylatu’l-Qadar ini tetapi kerana kesuntukan masa, hanya sempat berdoa agar kelima-lima anak lelakinya diberi peluang menunaikan haji yang mana menjadi kenyataan kemudian.

Sepanjang malam sepuluh terakhir ini, pelita dan punjut akan dipasangkan sepanjang malam agar kekal menerangi kawasan kampung dan halaman rumah sehingga ke pagi.

Terdapat serangkap pantun yang menjelaskan kepentingan malam Tujuh Likur yang mana ia dikaitkan dengan hari kedua puluh tujuh;

Dua puluh tujuh bilangan bulan,
Tujuh likur bulan puasa;
Sudah patut dibalas Tuhan,
Kerana kita orang derhaka.

Jonas Daniel Vaughan dalam satu artikel bertajuk “Notes on the Malays of Pinang and Province Wellesley” yang diterbitkan pada tahun 1857 untuk Journal of the Indian Archipelago menyatakan hari ke 27 puasa ini juga saat dinantikan oleh Imam, khatib, bilal dan siak masjid kerana ini adalah saatnya orang kampung menyerahkan beras ke masjid dan jumlah keseluruhan tersebut dibahagi-bahagikan antara ‘orang masjid’ ini.

The priests and their attendants receive no fixed salaries but are paid from the revenue of the mosque and receive presents at each rite or ceremony from those at whose request it is performed. On the 27th day of the fast month, a collection of rice is made from each householder, and the quantity collected is divided between the Imam and his assistants.”

Terdapat kemungkinan agihan yang dinyatakan di atas adalah kutipan zakat fitrah, dan ada juga kemungkinan staf masjid memainkan peranan amil dan mengambil bahagian masing-masing yang mendatangkan kekeliruan kepada penulis. Pun, jika benar, ia juga menjolok mata menunjukkan hubungan laba keuntungan, massa dan agamawan tidaklah sederhana, dan mudah tergelincir sifat dan peranannya sejak dahulu lagi.

Untuk nota, pada tahun 1968 pula terdapat satu pertikaian yang penting mengenai penetapan tarikh berpuasa. Ini kerana dipercayai orang Islam di Malaysia telah berpuasa sehari lebih awal kerana mereka yang ditugaskan melihat anak bulan telah melihat “bulan tua Sha’aban” dan bukannya anak bulan Ramadan.

Hal ini secara logiknya dapat diserlahkan gara-gara kecuaian para agamawan memandangkan ucapan pengisytiharan tarikh awal puasa tersebut sendiri menyatakan kecuaian ini; “Pemegang Mohor besar Raja2 Melayu telah mengishtiharkan bahawa anak bulan telah kelihatan di-Telok Kemang, Negeri Sembilan, pada pukul 6.05 petang hari ini. Oleh itu puasa akan bermula pada esok hari, hari Khamis bersamaan 21 haribulan November, 1968.”

Harus dinyatakan di sini, matahari masuk pada pukul 6.28 petang dan masa melihat anak bulan itu ternyata lebih awal; justeru yang dilihat adalah “bulan tua Sha’aban” dan bukannya anak bulan Ramadhan.

Kecuaian ini mendapat kecaman hebat antara lain oleh Ahmad Daud yang menulis dalam Dewan Masharakat pada tahun 1968:

Keraguan saya telah terbukti pada tahun ini. Mereka yang di-suroh oleh To’2 Kadhi menengok anak bulan telah menunjokkan bahawa mereka tidak dapat membedzakan yang mana ‘anak bulan’ dan yang mana ‘bulan tua’. Pada sangka mereka asal nampak bulan sahaja sudah-lah chukup dan itu-lah ‘anak bulan’ Ramadhan. Mereka sembahkan kapada pehak yang berkuasa, dan kelihatan ‘bulan tua’ Sha’aban ini terus di-hebahkan dengan radio dan talivishen sa-bagai kelihatan ‘anak bulan’ Ramadhan dengan tidak di-semak baik2 terlebeh dahulu. Dengan itu berpuasa-lah orang2 Islam di Malaysia pada hari Khamis 21 haribulan Noveber 1968, ia-itu satu hari terdahulu daripada awal Ramadhan. Ini-lah satu daripada akibat2 menengok bulan oleh orang2 yang tidak ada latehan dalam jurusan Asteronomi. Perkara yang sa-macham ini tidak boleh mendatangkan nama baik kapada chara berfikir dan kechekapan Ketua2 Ugama Islam di-Malaysia. Indonesia yang mendudoki wilayah yang sama dengan Malaysia di-muka bumi ini, mula berpuasa pada hari Juma’at 22 haribulan November 1968.”

Saya menyebutkan pertikaian di atas kerana ia menunjukkan kebebasan, keberanian dan kesediaan orang awam untuk mencabar pihak berkuasa agama dulu-dulu (pada tahun 1968), dan tidak hanya bersikap submisif. Tambah pula keterbukaan media, termasuk lidah dan wahana rasmi pemerintah seperti Dewan Masharakat yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka memberikan ruang untuk kaum agamawan dikritik dengan tajam sekali.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen