Pengiklanan

    Merakam sejarah: Kemenangan politik jalan raya

    (Dikemaskini )

    Kejayaan anak semua bangsa menerajang keluar United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya dari memiliki kuasa pada PRU14 adalah satu kejayaan hebat. Ramai tidak sedar secara mendalam makna dan tanda kemenangan 9 Mei 2018.

    Mungkin ada yang menganggap ini hanya satu perubahan biasa dalam proses demokrasi pilihan raya. Tidak. Tarikh 9 Mei 2018 bukan satu perubahan biasa.

    Apa yang berlaku pada 9 Mei 2018 telah, sedang dan akan memperngaruhi warga negara-negara Asean. Kejayaan rakyat Malaysia ini sedang menjadi contoh tauladan untuk anak semua bangsa dan bangsa semua agama di Asia, Afrika dan di Latin Amerika.

    Kemenangan Pakatan Rakyat dan pertukaran kerajaan pada 10 Mei 2018 menjadi sebutan contoh untuk warga dunia ketiga. Betul kah ini? Kenapa begini?

    Ini kerana belum pernah terjadi perubahan kerajaan dalam Dunia Ketiga melalui pilihan raya. Perubahan kerajaan di Indonesia berlaku keganasan dan kematian, di Filipina berlaku keganasan, di Kenya, di Uganda di Colombia – semua berlaku pembantaian dan bentrokan.

    Revolusi Perancis

    Ketika ini kita lihat politik di sebelah rumah kita - di Siam. Pilihan raya telah berjalan lebih dari satu bulan tetapi hasil keputusan masih tertangguh.

    Terkini, di Amerika Latin politik rampasan kuasa datang kembali melalui jubah baru. Satu demi satu negara mengalami perubahan jubah. 

    Jubah pilihan raya di Latin Amerika kini didalangi oleh Amerika Syarikat. Paling terkini pemaksaan bertukar jubah sedang berlaku di Venuezuela.

    Hakikatnya dalam dunia ketiga jika pilihan raya boleh mengubah apa-apa maka pilihan raya itu akan diharamkan. Jika kuasa lama kalah maka kuasa baru yang menang akan diganggu gugat.

    Dalam dunia ketiga wadah pertukaran kerajaan bukan dengan pilihan raya. Dalam dunia ketiga jalan raya adalah wadah utama. 

    Bukti amat-amat jelas di Iran, Indonesia, Pilipina, Mesir atau Tunisia, kerajaan baru muncul hasil dari politik jalan raya. Hasil dari pemberontakan rakyat di jalan raya maka kerajaan zalim lagi ganas diruntuhkan.

    Bermula dari zaman Revolusi Perancis ( 1789-1799) politik jalan raya telah diteroka. Kaum tani dan warga miskin kota di Perancis yang kebulur kelaparan telah turun ke jalan raya memberontak.

    Mereka berhimpun dalam kota Paris - pusat kuasa kaum feudal. Tanpa jalan raya sistem raja dan sistem feudal tidak akan dapat dihapuskan. Kepala Louis ke-16 mustahil dapat dipenggal tanpa sorakan gegak gempita daripada ribuan kaum tani dan warga miskin yang sedang mengepung kota Paris.

    Revolusi Bolshevik (1917) yang dipimpin oleh Lenin telah menggunakan politik jalan raya. Istana musim sejuk Czar Nicholas telah dikepung dan dipecah masuk oleh kaum tani bersama soldadu pada 8 Mac 1917. 

     Ini permulaan tanda-tanda kemenangan revolusi Bolshevik.

    Tetapi pada Rabu 9 Mei 2018 di Malaysia ada pilihan raya. Rakyat tidak turun ke jalan raya? Anak semua bangsa telah turun membuang undi pada hari Rabu itu.

    Bro, sabar dulu. Biar saya terangkan. Dalam negara dunia ketiga teori politik jalan raya masih afdal. Masih boleh digunakan. Malah politik jalan raya masih lagi satu-satunya senjata yang wajib digunakan.

    Dalam dunia ketiga tanpa politik jalan raya mustahil kerajaan akan berubah. Mustahil kuasa akan bertukar tangan.

    Apa yang belaku di Malaysia hari ini - hari sambutan kemenangan Pakatan Harapan - adalah hasil daripada politik jalan raya. 

    Politik jalan rayalah yang memungkinkan kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei 2018. 

    Tanpa politik jalan raya mustahil akan berlaku perubahan. Najib dan Rosmah tidak dapat disingkir tanpa politik jalan raya. Amin.

    Sejarah membuktikan kekuatan kudrat politik jalan raya. Justeru mari kita lihat babak-babak sejarah itu. 

    Dalam tahun 2008 – sebelum pilihan raya PRU12 – Hindraf telah turun ke jalan raya. Gerakan kaum India ini telah dipukul teruk. Secara ganas Hindraf telah diserang.

    Sesudah Hindraf, Orang Asal telah juga turun ke jalan raya. Lebih dari 2,000 Orang Asal telah berhimpun di Putrajaya. Majlis Peguam juga telah melancar politik jalan raya. Peguam telah berdemo di Putrajaya.

    Daripada tiga demo ini - demo Hindraf adalah yang paling ampuh, ganas dan paling mujarab. Sejarah merakamkan bahawa Hindraf bertanggung jawab membawa kemenangan dalam PRU12.

    Tangkap MO1

    Sebelum PRU13, Bersih telah menganjurkan Bersih 3 pada 28 April 2012. Ini diikuti oleh a Himpunan Kebangkitan Rakyat. Seramai 400,000 anak semua bangsa telah berhimpun di Stadium Merdeka pada 1 Disember 2013.

    Hasilnya pada PRU13 untuk kali pertamanya United Malays National Organisation dan Barisan Nasional telah dinafikan kuasa dua per tiga majoriti dalam parlimen. Amin.

    Sebelum PRU14 wujud - Kita Lawan – satu gerakan anak muda lahir. Setiap minggu anak muda berhimpun di Dataran Kita Lawan di tepi Dataran Merdeka. Kemuncaknya anak muda berarak ke KLCC. 

    Sebelum Bersih 4 sekali lagi anak muda bersama pelajar dan mahasiswa telah turun ke jalan raya. Kali ini dengan tema Tangkap MO1. Akhirnya Bersih 5 muncul sebelum PRU14.

    Sejarah pasti akan merakamkan sebelum membuang undi dalam PRU14 Anak Muda Mencari Jho Low (AMCJL) telah turun ke jalan raya. Gerakan AMCJL adalah pukulan akhir sebelum membuang undi yang membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan.

    Justeru apa yang telah berlaku ialah kita di Malaysia telah menggunakan – politik jaan raya - sebagai senjata mengolah persetujuan orang ramai untuk menjatuhkan Najib dan Rosmah.

    Malaysia telah membawa taktik jalan raya yang baru. Orang ramai turun ke jalan raya berkali-kali. Anak semua bangsa menjadi kumpulan anai-anai – terus menghakiskan keyakinan rakyat terhadap United Malays National Organisation. Setiap kali ke jalan raya keyakinan orang ramai terhadap kerajaan terhakis. Lagi ganas jawapan Najib lagi afdal politik jalan raya.

    Di jalan raya pidato panas telah didengar. Agitasi dan propaganda telah dilihat. Suasana kekitaan – setia kawan – tolong menolong - dalam himpunan beribu-ribu orang – telah melahirkan keberanian.

    Semua menjadi pendemo. Semua bersuara menunjuk perasaan. Ketika berdemo semua melupuskan fikrah songsang tentang Melayu, Cina atau India. Bersama tangan diacung untuk satu tujuan – menjatuhkan Najib dan United Malays National Organisation. Mendobrak kezaliman dan kemungkaran.

    Ketika berdemo semangat telah dibakar. Semangat setia kawan telah menjalar. Solidariti anak semua bangsa telah menjadi kukuh. Serangan gas pemedih mata ke atas para demonstran tidak mematahkan semangat.

    Malah menaikkan tekad untuk menang. Maka semua ini akhirnya akan diterjemahkan ke dalam peti undi. Inilah yang berlaku di Malaysia. Berbanggalah – kerana kita telah meneroka taktik poitik jalan raya yang baru. 

    Berbanggalah juga – ketika Jepun melanggar Tanah Melayu pada 8 Ogos 1941 – Parti Komunis Malaya (PKM) telah melancarkan perang gerila. Inilah perang gerila pertama dalam hutan tropika. Perang gerila anti-Jepun ini terus menjadi bahan kajian ilmuan hingga ke hari ini.

    Ada yang mengkaji untuk mengguna pakai. Ada yang mengkaji – Amerika dalam era perang Vietnam – mengkaji perang gerila di Malaya untuk mengalahkan gerila Vietcong. PKM menjadi pemula.

    Pada 9 Mei 2018, sekali lagi kita memberi contoh kepada dunia tentang cara dan taktik politik jalan raya yang meraih kemenangan tanpa kekacuan dan bentrokan. Kita juga menjadi pemula. Amin

    Apakah masih ada lagi yang tidak yakin dengan garis politik jalan raya?

    Sila tanya Mahathir Muhamad. Inilah susuk yang paling lantang bersuara menolak demo. Mahathir benci dan paling tidak suka kepada politik jalan raya.

    Malah Mahathir telah memesongkan sejarah dengan menuduh bahawa demonstrasi jalanan ini bukan budaya kita. Walhal ketika itu Mahathir ialah presiden United Malays National Organisation. Parti ketuanan Melayu ini lahir dari politik jalan raya menentang Malayan Union pada 1946.

    Mahathir sanggup memesongkan sejarah partinya sendiri kerana dia sedar perubahan kerajaan dalam dunia ketiga hanya dapat dituntaskan melalui tunjuk perasaan di jalan raya.

    Tetapi akhirnya pada jam 5.47 petang hari Sabtu 29 Ogos 2015, susuk yang antijalan raya ini telah turun ke jalan raya berdemo. 

    Tidak cukup dengan hari Sabtu – esoknya pada petang 30 Ogos sekali lagi Mahathir turun untuk bersama anak semua bangsa dalam Bersih 4. Terbukti garis politik jalan raya menang. Amin.

    Apakah ada yang tidak yakin dengan teori ini?

    Jika kurang yakin sila pergi bertanya dan berbincang dengan gerombolan Lokman Adam dan konco-konconya. Mereka sedang bertungkus-lumus mengajar penyokong Najib untuk mengamalkan politik jalan raya. 

    Malah daripada laporan media kita diberitahu bagaimana penyokong Najib – Mat Lengit dan Mat Kalah telah diajar cara dan taktik turun ke jalan raya.

    Mat Lengit dan Mat Kalah – bersama saki-baki penyokong United Malays National Organisation kini telah mula mengamalkan politik jalan raya. 

    Gerakan menentang perjanjian antarabangsa menghapus penindasan bangsa-bangsa (Icerd) adalah permulaan mereka.

    Kemudian Mat Lengit dan Mat Kalah ini telah menyusun demo untuk menentang perjanjian Rom. Sayangnya demo ini telah digagalkan oleh hujan. Bukan hujan air kimia atau hujan peluru pemedih mata. Tapi digagalkan oleh hujan petang bumi tropika. Kah kah kah.

    Mat Lengit dan Mat Kalah ini sedar bahawa hanya politik jalan raya yang akan berjaya meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan. 

    Kini musuh Pakatan Harapan tahu, sedar dan sedang menggunakan taktik dan senjata yang pernah kita gunakan.

    Mereka juga sedang menggunakan taktik jalan raya untuk menghakiskan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

    Apakah musuh Pakatan Harapan yang menggunakan senjata Pakatan Harapan akan berjaya menjatuhkan kerajaan PH. Apakah kemenangan Pakatan ini akan terus diganggu gugat?

    Semua bergantung. Bergantung pada apa? Tunggu minggu hadapan.


    HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

    Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih