Pengiklanan

    Jahatnya perpaduan

    (Dikemaskini )

    SATIRA | Selain pemakaian bahasa yang menurut kami tidak lagi perlu disatukan, penyatuan bangsa juga termasuk dalam senarai berkepentingan utama kerana kita sekarang sudah terlalu selesa dengan hal masing-masing.

    Yang Melayu masih belum habis lagi dengan kepedekarannya, manakala yang Cina pula sibuk benar dengan naga berapinya.

    Bangsa India pula senang berasa tersisih, dan saudara kita di Borneo sana masih sibuk berasa dianaktirikan.

    Cumanya, kami tidak tahu sama ada mahu berasa senang hati atau bersedih apabila kami ke Borneo suatu ketika dulu dan melihat masyarakat di sana hidup amat aman damai dalam kalangan masyarakat yang bercampur budaya.

    Mahu berbangga, takut ianya bukanlah aspirasi yang sepatutnya kita di semenanjung ini mengikutnya.

    Mahu bersedih, bimbang kalau-kalau masih ada mereka yang buta kayu dan mahukan semua anak bangsa di negara ini berdamai dan hidup saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

    Dan yang paling malang adalah apabila kami mendengar mereka - yang terdiri daripada bangsa berlainan - menggunakan bahasa Malaysia semasa berinteraksi.

    Sepatutnya mereka gunakanlah bahasa masing-masing. Jika saling tidak memahami, apa ada masalah, bertumbuk sajalah.

    Selalu rasa dimalangkan

    Dengan bersatu, Melayu akan kehilangan kerisnya sedangkan keris itulah yang memerdekakan negara ini. Lihat saja betapa bangsa yang dituduh tidak pandai membuat hatta sebatang jarum ini telah maju hingga ke langit.

    Betul, rakyat Malaya yang pertama menjelajah angkasa adalah daripada keturunan Arab namun beliau telah lama dimelayukan.

    Jika ditanya, kami percaya beliau - tanpa ada sedikit rasa kesal pun - akan mengaku sebagai Melayu.

    Sehingga hari ini kita lihat walau duduk dalam masyarakat berbilang bangsa, umat Melayu tetap kekal dengan budaya dan tradisi mereka - menjunjung tinggi adab walau sentiasa merendah diri dan berasa dimalangkan.

    Sedangkan bangsa Cina pula - setelah 13 Mei - tetap juga menjadi bangsa yang memegang ekonomi negara tanpa perlu ada cita-cita mahu bersatu menjadi rakyat yang berganding bahu dengan bangsa lain untuk menangani apa juga masalah yang melanda kita.

    Mereka senang dan lebih maju apabila bersekolah sesama sendiri. Mereka kekal kuat dengan jati diri Cina tanpa perlu tunduk kepada apa pun budaya yang cuba meresap ke dalam diri mereka melalui pergaulan yang tidak disengajakan.

    Bangsa Baba bolehlah dikatakan sebagai si sesat daripada bangsa Cina kerana - tanpa ada malu - mencampuradukan tradisi suci Cina dengan Melayu.

    Bila difikirkan, kaum Baba juga adalah duri dalam daging Melayu juga.

    Mencampuradukkan dua budaya dan mengelar diri sebagai rakayat Malaya adalah dosa besar kepada apa pun kaum di dunia ini.

    Jangan pedulikan mereka

    Kita tidak memerlukan antara satu sama lain selagi kita kuat dalam bangsa kita sendiri. Kita menjadi kuat apabila bangsa kita kuat.

    Kerana itu kami sarankan supaya setiap bangsa dalam negara ini meneruskan pertelingkahan dan demi untuk mencapai impian "engkau engkau, aku aku” ini, politikus wajib memainkan peranan.

    Teruskan usaha mengapi-apikan hal keunggulan bangsa masing-masing bagi menyemarakan lagi sentimen perkauman agar bangsa yang diwakili terus berlumba-lumba untuk memijak bangsa lain.

    Hukum rimba adalah yang terbaik dijadikan landasan dalam perjuangan ini. Yang kuat, makan saja yang lemah kerana yang lemah tentu saja tidak berguna untuk memartabatkan maruah sesuatu bangsa.

    Dalam kumpulan bangsa itu sendiri pun, yang paling baik hendaklah dilakukan perkara yang sama: si miskin dan si lemah kita biarkan. Jangan pedulikan mereka.

    Mereka menjadi lemah dan miskin adalah kerana kelemahan mereka sendiri. Biar tinggal hanya yang kuat dan kaya saja untuk mewakili semua bangsa.

    Apabila ini tercapai maka dengan sendirinya negara ini akan diiktiraf sebagai sebuah negara maju.

    Kamu pula, teruskan usaha menjarakkan satu bangsa dengan bangsa yang lain dengan apa cara sekali pun. Jika perlu berhentam, berhentamlah.

    Jangan bagi peluang kepada perpaduan. Perpaduan ialah perkataan jahat yang sengaja direka sebagai alat untuk memundurkan bangsa kamu.

    Apa guna hidup aman

    Siapa perlukan penyatuan apabila kita boleh senang dalam perpecahan, kan?

    Lihat saja betapa kaum Zionis hari ini digeruni oleh semua bangsa di dunia. Mereka dikatakan sebagai pencatur apa jua yang terjadi di alam ini.

    Dan seperti kamu semua sedia maklum mereka, ada pemegang ekonomi jagat raya ini.

    Mengapa mereka maju hingga sedemikian rupa? Tentu saja kerana mereka mengutamakan bangsa sendiri kerana ia dianggap sebagai paling suci dijadikan tuhan.

    Di mata Zionis, selain bangsa mereka adalah binatang yang boleh dibunuh jika mahu. Namun kita tidaklah mahu sampai ke tahap berbunuhan.

    Cuma untuk menjadi sebuah negara yang megah kita memang patut menjadikan Zionis sebagai bangsa rujukan.

    Jika pun tidak dapat menandingi mereka, sekurang-kurangnya kita perlu mencapai tahap berbangga kerana bangsa seperti mereka. Itu pun sudah memadai.

    Lagipun selain zaman komunis dan 13 Mei kita tidak ada sejarah hitam yang boleh dimegah-megahkan.

    Oleh itu kita perlu terus duduk dalam permusuhan supaya nanti akan ada kejadian-kejadian yang boleh kita ulang-ulang sebut untuk dijadikan cerita kepada anak cucu tentang betapa handalnya kita bersilat dan berkung fu.

    Apa guna jadi manusia jika asyik berpeluk tubuh dan hidup dalam aman sedangkan ilmu bergaduh tinggal tumpul dalam dada?

    Artikel kali ini dihiasi oleh karya-karya Bakat Muda Sezaman. Ia adalah pameran sekali gus pertandingan mencari pengkarya muda yang berpotensi anjuran Balai Seni Negara.


    ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang sedang berusaha untuk mencintai hanya bangsanya sendiri setelah sejak lama dulu membenci perkauman.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malayskaini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih