malaysiakini logo
story-image
ADS

Syukur, dalam tempoh yang singkat penstrukturan semula barisan kepimpinan kerajaan negeri Johor yang baharu telah pun dapat diselesaikan dengan pantas dan lancar.

Formasi baharu ini merupakan cerminan terhadap komitmen berterusan Pakatan Harapan di Johor untuk mengemudi cita-cita rakyat.

Kini saya dipertanggungjawabkan dengan amanah yang sedikit berbeza dengan sebelum ini namun amat dekat dengan kerja-kerja saya sebelum ini serta sangat akrab dengan minat peribadi saya – belia dan keusahawanan.

Ya, pembangunan belia tidak wajar dihadkan hanya kepada keusahawanan semata-mata. Namun, dalam kesempatan ini, izinkan saya menyentuh bahagian ini terlebih dahulu.

Pada saya, terhadap dua cabaran terbesar saya dalam membangunkan keusahawan dalam kalangan belia.

Pertamanya, memastikan belia memiliki gambaran besar mengenai situasi semasa yang sedang melanda dunia kini dan menempatkan secara strategik dirinya dalam perubahan ini.

Keduanya, membina model pembangunan belia yang berdaya maju untuk membolehkan kerajaan terus menyokong keusahawanan belia tetapi dapat memastikan belia kekal mandiri serta tidak terlalu bergantung kepada kerajaan.

Mengapa belia dan keusahawan?

Kita berada dalam era Internet of things. Era segala-galanya terhubung dengan Internet – daripada telefon kepada kenderaan, kemudahan awam, hingga kepada rumah dan pejabat.

Internet akan menjadi sebagaimana kita menggunakan elektrik sekarang, pasti sukar untuk membayangkan bagaimana seseorang itu dapat hidup dalam rumah yang tiada elektrik.

Pada masa yang sama, kita berhadapan dengan satu perubahan teknologi mendadak (exponential) yang menyaksikan gendala (disruption) terhadap industri sedia ada.

Malah kebanyakan industri masih tercari-cari cara untuk memahami perubahan ini. Apa sahaja yang trendy semalam, boleh sahaja basi hari ini. Apa yang menguntungkan hari ini, mungkin sahaja merugikan esok. Nokia dan Blackberry adalah contoh klasik.

Belia harus melihat perkembangan ini sebagai memungkinkan kesempatan yang tidak pernah difikirkan sebelum ini – terdapat banyak bidang ekonomi baharu yang wujud dalam tempoh beberapa tahun sahaja.

Bagaimanapun, kesempatan ini datang dengan cabaran tersendiri; kita harus menyediakan sumber insan kita dengan kemampuan untuk beradaptasi dengan perubahan ini. Belia yang terlibat dalam bidang keusahawanan kini harus bijak mencari formula bagi beradaptasi dengan perubahan ini.

Kita tidak lagi boleh berharap pada model lama yang meletakkan kebergantungan yang tinggi kepada geran kerajaan. Geran-geran bantuan langsung ini tidak akan mengubah struktur ekonomi di luar sana, seperti makan painkiller untuk merawat patah kaki!

Sebagai contoh, pada era Internet of things ini, ruang pejabat fizikal tidak lagi relevan kepada banyak industri. Kini, banyak syarikat berurusan secara atas talian dan banyak juga usahawan yang hanya beroperasi dari co-working space yang kini banyak disediakan.

Hal ini pastinya bukan sahaja memberi kesan kepada budaya kerja, malahan juga kepada kos operasi syarikat. Maka, dalam ini, model lama kerajaan yang menyediakan ruang niaga konvensional mungkin tidak lagi optimum.

Oleh itu, adalah penting bagi belia mengenal pasti keperluan semasa model perniagaan terkini dan memberikan input kepada kerajaan bagi memfasilitasi usaha-usaha ini.

Pada pandangan saya, dalam persekitaran ekonomi kini, modal sebenar bukan duit atau ruang pejabat konvensional tapi bakat dan kreativiti. Fokus saya adalah bagaimana untuk membantu belia mengenal pasti, menggilap dan menyerlahkan bakat belia bukan sahaja dalam bidang perniagaan, malahan lain-lain bakat yang memiliki dimensi ekonomi secara langsung mahupun tidak langsung.

Dalam usaha ini, terdapat dua perkara utama yang harus dan perlu dikerjakan secara kolektif. Pertama, menyediakan program pembangunan kapasiti seperti membawa aktor-aktor utama keusahawan belia dari serata dunia untuk berkongsi pengalaman mereka, mengadakan pameran nasional dan antarabangsa untuk menghubungkan belia dengan dunia keusahawanan, mahupun siri latihan khusus yang tertentu.

Keduanya, pastinya pembangunan fasiliti – hardware dan sofware – untuk menstimulasi idea, jaringan interaksi dan kerjasama antara belia.

Antara hal yang boleh dipertimbangkan adalah satu hub yang menjadi titik temu untuk pelbagai belia daripada pelbagai latar yang tidak semestinya berasaskan keusahawanan – kerana pada akhirnya, keusahawanan hanyalah medium, bakat insan itu yang ingin kita serlahkan.

Saya percaya banyak yang boleh kita sumbangkan dalam membangunkan keusahawanan belia secara bersama dan dengan ini saya mohon sokongan semua.


SHEIKH 'UMAR BAGHARIB ALI atau turut dikenali sebagai Sheikh Omar Ali merupakan Adun Paloh dan setiausaha Publisiti DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen