malaysiakini logo
story-image
ADS

Dalam ucapan ulang tahun kerajaan Pakatan Harapan, perdana menteri mengulangi apa yang sering kita dengar selama ini dari puak-puak anti-Islam dan Melayu supaya tidak memperkatakan tentang agama dan Melayu.

Katanya dua perkara ini akan membawa perpecahan kaum dan menjejas hubungan antara penganut agama. Saya berbeza pendapat dengan Tun kerana jika isu agama dan bangsa Melayu ini tidak diperkatakan oleh orang Melayu sendiri maka siapa lagi yang akan mempertahankannya?

Penganut agama lain sudah pasti tidak akan mempedulikan agama Islam sebaliknya akan berusaha memperkuatkan agama masing-masing. Ini sangat logik dan mudah difahami. Mustahil penganut agama lain akan mempertahan dan memperjuangkan agama Islam.

Saya tidak tahu kenapa pemimpin kita begitu takut apabila rakyat mahu memperkatakan tentang agama Islam. Tetapi dalam masa yang sama, mereka membiarkan golongan liberal duduk di atas pentas-pentas untuk memperjuangkan pemikiran mereka.

Dalam keadaan demikian :

  • Adakah salah jika umat Islam berasa tertekan dan dipinggirkan oleh pihak kerajaan?
  • Adakah kerajaan sengaja mahu menekan umat Islam dan membiarkan Islamophobia semakin berleluasa?
  • Tidakkah umat Islam berhak berkata dan mempertahankan hak mereka?

Semua persoalan ini bukanlah satu omongan atau sentimen kosong semata sebagaimana sesetengah pihak menuduh tetapi sebaliknya ia berdasarkan fakta yang berlaku dalam negara sekarang. Jika ada yang tidak tahu atau sengaja tidak mahu tahu berikut adalah beberapa perkara yang beraku kenapa umat Islam rasa dibuli dan ditekan oleh pihak kerajaan :-

  • Pelantikan peguam megara yang bukan Muslim. Ini sudah pasti sesuatu yang sangat membimbangkan kerana bagaimana beliau mahu menasihati Majlis Raja-Raja tentang hal ehwal agama Islam di negara ini jika beliau sendiri tidak faham. Ini berlaku dalam isu Icerd di mana jelas ia menjejaskan kedudukan Islam apabila ia membenarkan kebebasan beragama. Kenapa peguam negara tidak menjelaskan hakikat ini kepada Agong atau memang beliau sengaja mahu menutup isu ini.

  • Konsep Rahmatan Lil Alamin yang dibawa kerajaan jelas sangat bertentangan dengan pengertian yang sebenar sehingga seolah-olah hukum syariat tidak lagi bermakna. Akibatnya, segala maksiat yang berlaku tidak lagi berani diambil tindakan oleh penguatkuasa kerana menteri mengatakan itu adalah "Private Sphere". Ini bertentangan dengan Islam sama sekali.
  • Menteri juga mengkritik apabila rakyat berhimpun menentang penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W walhal kalau di negara-negara Islam yang lain, gelombang protes secara besar-besaran dari rakyat akan meletus dengan mudah. Entah kenapa menteri sendiri tak mahu penentangan terhadap penghinaan kepada Rasulullah S.A.W dinyatakan secara terang-terangan.
  • Buku-buku ajarat sesat yang telah diharamkan kini telah diberikan kebebasan untuk diedar dalam masyarakat. Ini sangat pelik dan sukar untuk difahami apa objektif kerajaan sebenarnya.
  • Tidak ada tindakan mahupun teguran dibuat oleh kerajaan terhadap perarakan gologan LGBT walaupun dari perspektif syarak ia sangat bertentangan dan sesat. Sebaliknya himpunan aman yang menegur perarakan tersebut yang dikritik. Bukan itu saja; mereka dilayan dengan penuh hormat oleh menteri malah diberi ruang untuk berucap di persidangan Hak Asasi Manusia di Geneva. Saya tidak menolak kemungkinan satu hari nanti, jika tidak ada penentangan, maka golongan ini akan diiktiraf dan menjadi satu kelompok masyarakat yang sah untuk mereka berarak seperti di negara-negara barat. Suara mereka semakin hari semakin lantang.

  • Kritikan terhadap pembelajaran agama Islam di sekolah-sekolah dan IPT di mana ia dianggap terlalu banyak. Walhal kita semua tahu masalah sosial yang berlaku dalam kalangan generasi muda dan remaja semakin berleluasa.
  • Dan akhirnya apabila pemulihan hendak dijalankan, maka agensi-agensi yang ditugaskan akan kembali kepada penerapan dan pembelajaran agama Islam. Satu aspek mereka kritik tetapi di aspek yang lain mereka memerlukan agama. Tidakkah ini satu yang aneh?
  • Hukuman sebat yang dijalankan telah dikritik hebat oleh puak liberal tetapi kerajaan dilihat membisu. 
  • Video-video ugutan bunuh kepada pendakwah dan mufti sudah semakin berani dipaparkan di media-media sosial seolah-olah mereka merasakan bahawa mereka akan dilindungi oleh ‘pihak-pihak tertentu’.
  • Desakan kepada kerajaan untuk membenarkan umat Islam untuk murtad dilaungkan secara jelas dalam parlimen tetapi sekali lagi kerajaan diam membisu. Persoalannya, adakah kerajaan bersetuju? Kenapa mereka begitu berani mencabar hukum Islam jika tidak lain tidak bukan kerana mereka berasa ‘selamat’ dalam kerajaan sekarang?
  • Ada menteri mengatakan hukum Islam yang melarang umat Islam untuk murtad adalah merupakan satu penindasan. Penghinaan yang macam mana lagi yang umat Islam harus tunggu?
  • Ada juga seruan menyuruh kerajaan membuang perkataan ‘Islam’ dalam kad pengenalan. Walaupun kerajaan tidak bersetuju tetapi kita yakin ia tidak akan berhenti di sini.

Sebenarnya banyak lagi yang boleh disenaraikan sebagai bukti kenapa umat Islam dan orang Melayu berasa tertekan dan terancam. Kerajaan hanya sibuk memperkatakan tentang isu 1MDB dan pelbagai skandal rasuah.

Kita amat bersetuju dan menyokong segala tindakan kerajaan untuk mendakwa sesiapa yang bersalah. Tetapi kerajaan seolah-oleh membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap isu-isu yang melibatkan agama Islam. Jadi jangan salahkan jika rakyat terpaksa bersuara di jalanan kerana itu saja alternatif yang ada.

Jika dinilai apakah pencapaian kerajaan terhadap memperkasakan agama Islam selepas setahun memerintah, saya katakan; pencapaiannya adalah kosong peratus. Noktah!


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen