malaysiakini logo
story-image
ADS

Kalau sekali kita berani,
Tahan besi tahan api,
Rempuh, sampai luluh,
Gembur, hingga lebur.

Bumi kita, budi kita,
Segala sedang meminta,
Siapa memberi, siapa mereka
Siapa putera kepunyaan bangsa.

  • SN Usman Awang

Artikel ini ditulis khas untuk menerangkan beberapa pencapaian yang, dengan izin Allah, kami capai setelah setahun Kementerian Pendidikan Malaysia ditadbir di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Pencapaian ini tidaklah sempurna, jauh sekali menyelesaikan keseluruhan perkara. Tetapi pencapaian yang diperolehi ini akan menjadi permulaan yang baik. Masih banyak kerja yang perlu kami langsaikan. Masih banyak harapan rakyat yang perlu kami tunaikan. Saya yakin, sekiranya mandat rakyat yang menjadi hadaf pergerakan, kerja keras ini akan membuahkan hasilnya.

Leo Tolstoy pernah menyebut; “The sole meaning of life is to serve humanity.”

Pada 31 Mac 2019, Berita Harian telah melaporkan kisah seorang pelajar cemerlang yang miskin tetapi bercita-cita tinggi. Kisah adik Abdul Manaf Abdul Aziz yang datang dari keluarga kurang berkemampuan tetapi mendapat keputusan cemerlang 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 adalah contoh bagaimana anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah juga boleh berjaya dengan cemerlang jika diberi peluang.

Di dalam laporan tersebut beliau mengucapkan;

“Impian saya untuk menjadi doktor walaupun peluang untuk melangkah ke menara gading masih samar kerana kesempitan hidup.

“Saya ingin membela nasib keluarga yang hidup serba kekurangan... ayah saya, Abdul Aziz Osman, 60, hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu dan sentiasa berusaha membesarkan kami lima beradik.

“Kesungguhan saya untuk membuktikan bahawa kami juga mampu berjaya jika diberi peluang,”

Kisah seperti ini diceritakan kepada kita semua hampir setiap hari di seluruh negara. Untuk keluarga berpendapatan rendah dan B40, pendidikan berkualiti adalah sebuah impian yang mustahil kerana kekangan ekonomi yang meruncing.

Teras 1: Manfaat untuk pelajar B40

Ada sembilan teras pencapaian Kementerian Pendidikan Malaysia setelah setahun Pakatan Harapan mentadbir. Sembilan teras ini merangkumi sembilan kelompok rakyat yang ingin kami berikan tumpuan.

Pertamanya, untuk mewujudkan keseimbangan dan kesetaraan akses terhadap pendidikan agar tiada mana-mana golongan yang tersisih, kami memberikan tumpuan yang penuh terhadap warga B40 atau mereka yang kurang berkemampuan.

Selain daripada memperuntukkan 60% kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan program matrikulasi, mulai tahun ini, mereka juga mempunyai laluan khas untuk masuk ke universiti awam dan akan mendapat tawaran biasiswa dan bantuan kewangan. Inisiatif ini telah memberikan manfaat kepada 23,895 pelajar yang miskin dan kurang berkemampuan.

Saya percaya, kejayaan akan menerpa buat sesiapa sahaja jika ruang diberikan seluas-luasnya. Kata Penulis Perancis Albert Camus, “Freedom is nothing else, but a chance to be better”.

Teras 2: Guru sebagai fokus utama

Teras kedua ialah guru sebagai fokus utama. Kita akui guru merupakan adiwira perubahan yang sebenar dan suara keluhan mereka tidak boleh sesekali diabaikan.

Di bawah teras ini, ada dua fokus yang kami berikan penekanan. Satunya ialah isu kebajikan guru. Buat masa ini, KPM sedang giat mengadakan perbincangan dengan semua pihak untuk segera menggubal prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kebajikan guru ketika membawa murid keluar sekolah.

KPM juga dalam usaha mengukuhkan fungsi dan peranan yang dimainkan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) untuk turun ke sekolah-sekolah dan mengajar bagi membantu memberikan panduan kepada guru dan pihak sekolah bagi memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran murid-murid.

Fokus kedua ialah beban guru. Saya akui, ini merupakan cabaran yang sangat besar dan harapan yang begitu menggunung daripada para guru.

Bermula pada tahun ini, lima inisiatif dan sembilan intervensi telah dirangka untuk mengurangkan bebanan guru. Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk mengatasi pertindihan tugas guru supaya guru-guru dapat memberikan fokus yang lebih pada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, dan sekali gus mempunyai lebih banyak facetime (waktu berinteraksi) dengan anak-anak untuk mendidik dan menggilap potensi mereka.

Selain daripada lima inisiatif itu, kami juga telah mengenal pasti beberapa inisiatif jangka panjang yang melibatkan isu lebih kompleks dan memerlukan kajian semula dasar dan peraturan sedia ada, penambahbaikan infrastruktur fizikal ICT serta pengoptimaan perjawatan dan pengisian sumber manusia di sekolah.

Ini termasuklah isu berkaitan waktu kerja guru, capaian Internet di sekolah, integrasi sistem maklumat, peranan pentadbir dan anggota kumpulan pelaksana dan agihan guru di sekolah.

Imam Asy-Syafi’I Rahimahullah Ta’ala di dalam Diwan beliau pernah berkata:

“Bersabarlah atas pedihnya ketegasan seorang guru

Sungguh suatu kegagalan untuk mendapatkan ilmu, jika kita menjauhinya

Dan sesiapa yang tidak merasakan pedihnya belajar sesaat

Akan menelan hinanya kebodohan sepanjang hayat.”

Teras 3: Murid Sebagai Tonggak

Elemen teras dalam pendidikan ialah murid. Justeru, teras ketiga ini kita berikan perhatian penuh kepada murid. Kami bermula dengan penekanan terhadap pendidikan anak-anak tahap 1 dengan memansuhkan semua peperiksaan ke atas mereka. Kami mahu mereka ke sekolah dengan gembira dan membuak-buak perasaan ingin tahu. Mereka perlu belajar tanpa tekanan dan paksaan. Dunia adalah sekolah pembelajaran bagi mereka.

Kita berhasrat agar proses PdP menjadi sebahagian daripada pembelajaran ceria (fun learning) yang akan membantu proses pencernaan ilmu dalam jiwa murid-murid.

Malahan, ini juga merupakan salah satu usaha agresif untuk kita mula bergerak ke arah paradigma student-centered learning atau pembelajaran berasaskan murid.

Dan kepada anak-anak terpinggir khususnya anak-anak warganegara Malaysia tanpa dokumen, tahun pintu sekolah telah dibuka buat mereka seluas-luasnya. Sehingga hari ini sahaja, seramai 2,635 anak-anak telah mengikuti sesi persekolahan.

Prinsip kami jelas, pendidikan ialah hak setiap kanak-kanak tidak kira di mana sahaja mereka berada dan dari mana sahaja mereka datang.

Sebelum ini, mereka terbiar di jalanan dan dinafikan hak pendidikan. Pendidikan akan menyelamatkan anak-anak ini, dan keseluruhan generasi mereka daripada terlibat dengan jenayah dan gejala sosial. Malah, inisiatif ini juga akan memberikan impak yang sangat besar kepada masyarakat dalam jangka masa yang panjang.

Hal ini selari dengan program sifar keciciran murid yang telah KPM jalankan melalui Program rintis Sifar Murid Cicir (PSMC). Melalui program ini, sebanyak 26.1 peratus, iaitu 262 orang murid di sekolah menengah telah kembali ke sekolah. Telah sekian lama, 262 pelajar ini telah berputus asa terhadap pendidikan mereka dan inisiatif ini membuka semula gerbang harapan buat mereka.

Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada warga KPM yang telah mencetuskan idea ini dan juga terima kasih kepada JPN & PPD. Terima kasih juga kepada para guru yang telah terlibat menjayakan usaha ini.

Saya tahu, ramai yang telah gigih berusaha untuk menjayakan inisiatif sehingga mereka telah melawat ke setiap 262 buah rumah ini untuk mengundang mereka kembali ke sekolah. Begitulah besarnya tugas seorang pendidik yang perlu bekerja bukan sahaja di dalam bilik darjah, tetapi sehingga ke rumah-rumah, hanya untuk memastikan agar pendidikan ini sampai kepada anak-anak kita semua.

Hasrat KPM jelas. Kami mahu terus memperkasakan konsep keterangkuman pendidikan (inclusive education) di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ma’idah ayat 2: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan…”

Teras 4: Komitmen tangani isu sekolah daif

Di samping cuba bergerak ke arah pendidikan yang kalis masa depan (futureproof) dengan mengambil kira keperluan menghadapi gelombang Revolusi Industri 4.0, KPM tidak akan sesekali mengabaikan keperluan rakyat yang paling hakiki, iaitu infrastruktur dan prasarana yang baik untuk pendidikan anak-anak kita.

Oleh itu, teras keempat iaitu komitmen menangani sekolah daif menjadi antara tumpuan paling besar KPM dan saya sendiri ketika mula menjejakkan kaki ke sini. Di pejabat saya sendiri, saya minta diwujudkan dashboard (papan pintar) untuk saya meninjau secara langsung tentang perkembangan pembangunan sekolah daif di seluruh Malaysia.

Daripada 394 buah sekolah daif, 301 daripadanya telah siap dengan CPC dan 93 dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. Manakala 107 buah lagi adalah dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan dijangka akan diselesaikan di penghujung tahun ini.

Apa ertinya bercakap tentang Revolusi Industri 4.0 sedangkan bumbung sekolah-sekolah ini bocor, lantai retak dan berlubang, dinding punah dan merekah, yang mana ia sangat tidak selamat untuk murid dan guru. Saya yakin, dengan menyelesaikan isu ini secara tuntas, barulah adil untuk kita bercakap tentang futureproofing anak-anak, ketika sekolah daif ini setara dengan sekolah di Kuala Lumpur.

Dalam masa yang sama, khusus untuk sekolah-sekolah daif di Sarawak, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas RM1 Bilion yang akan diperuntukkan khas untuk menangani isu sekolah daif di Sarawak.

Teras 5: Perhatian penuh kepada OKU

Teras kelima juga antara perkara yang sangat besar dan akan sering diberikan tumpuan. Mereka, Orang Kurang Upaya atau Murid Berkeperluan Khas (MBK) sentiasa mendiami di relung hati saya yang paling dalam.

Mulai tahun ini, KPM telah melaksanakan Dasar Sifar Penolakan (Zero-Reject Policy) bagi memastikan tiada lagi kanak-kanak istimewa ini terpinggir daripada mendapat hak pendidikan yang sewajarnya.

Awal Januari lalu, kami dapati seramai 1,486 kanak-kanak MBK yang tidak membuat pendaftaran awal secara dalam talian telah hadir ke sekolah untuk mendaftar secara manual. Jumlah ini terus meningkat sehingga mencecah angka 10,948 pada 8 April 2019.

Peningkatan sebanyak 10 kali ganda ini merupakan satu kejayaan yang sangat besar dan hakikatnya peluang pendidikan dan masa hadapan yang cerah telah disediakan kepada 10,948 orang Murid Berkeperluan Khas di seluruh negara!

Dalam masa yang sama, ingin saya nyatakan bahawa para pelajar OKU juga akan mendapat laluan khas untuk ke universiti awam. Semua universiti awam juga sedang merangka polisi mesra OKU di kampus masing-masing, dan ianya akan diperkenalkan juga kepada IPTS di seluruh negara.

Yang pasti, kami tidak mahu lagi kelompok OKU ini tercicir dan malah, mereka hakikatnya mempunyai peranan yang penting dan mampu memberikan impak yang sangat besar kepada masyarakat. Bak kata Rumi, “Stop acting so small, you are the universe in ecstatic motion.”

Teras 6: Kewibawaan institusi pendidikan tinggi

Ada tujuh inisiatif yang telah KPM laksanakan di bawah teras ini, iaitu; (1) Pemansuhan Seksyen 15(c) AUKU yang merupakan prelude kepada pemansuhan akta berkenaan pada tahun 2020 nanti untuk digantikan dengan akta yang lebih komprehensif, (2) Pilihan raya kampus yang telah dikendalikan oleh mahasiswa sendiri buat kali ke seterusnya semenjak 30 tahun yang lalu, (3) Penubuhan kesatuan pelajar (students’ union).

Dalam masa yang sama, (4) 5 Oktober setiap tahun kita tetapkan sebagai Hari Akademia, berdasarkan cadangan dari para akademik sendiri sebagai menghargai jasa para akademik kita di menara gading, (5) gerbang IPT dibuka seluas-luasnya untuk wacana, forum dan perdebatan ilmiah oleh mana-mana tokoh sarjana dan ahli politik.

(6) Peruntukan sebanyak RM455.35 juta bagi tujuan dana penyelidikan, iaitu peningkatan lebih 100 juta dari tahun sebelumnya, dan yang terakhir, (7) ialah mengangkat suara mahasiswa dengan penyertaan wakil mahasiswa di dalam proses membuat keputusan di universiti.

Kebebasan, integriti, keunggulan sesebuah universiti merupakan tunjang kepada keutuhan masyarakat. Apakah erti kertas-kertas jurnal penyelidikan yang kita terbitkan, ketika masyarakat masih dibelenggu dengan masalah sosial yang meruncing. Apakah makna gelaran profesor dan pingat kebesaran ketika rakyat masih tersepit dengan masalah ekonomi yang sangat rumit. Apakah nilai berada di ranking yang tinggi ketika siswa dan siswi di dalam kampus sendiri, perutnya berkeroncong kelaparan, dan masyarakat sekelilingnya pula bergelumang dengan kesengsaraan sebagai warga miskin kota.

Di sinilah ingin saya tekankan, KPM sedang menentukan kiblat universiti berubah ke arah menyelesaikan masalah masyarakat. Universiti mesti berupaya menjadi ejen sosial yang memandu wacana masyarakat. University is for the society.

Teras 7: Peningkatan kerjasama dalam pendidikan tinggi

Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk tujuan pendidikan, khususnya pendidikan tinggi. Untuk teras ketujuh ini yang melibatkan IPTS misalnya, kami telah menjalankan libat urus yang meluas dan telah merangka roadmap (pelan tindakan) khas IPTS.

Buat pertama kalinya, IPTS dijadikan sebagai rakan kongsi KPM di dalam merangka polisi-polisi berkaitan mereka. Dengan langkah ini, IPTS bukan lagi menjadi penerima polisi yang dikenakan ke atas mereka semata-mata, malah kini menjadi sebahagian daripada golongan yang merangka polisi tersebut.

Dalam masa yang sama, kami juga sedar tentang kewujudan IPTS Bumiputera yang memerlukan bantuan kerana terpaksa bersaing secara handicap dengan IPTS gergasi dan well-established di pasaran pendidikan. Oleh hal yang demikian, sesi libat urus telah kami mulakan dengan IPTS Bumiputera untuk melihat isu ini secara teliti.

Di samping itu, antara aspirasi yang kita akan perkasakan lagi ialah pengantarabangsaan pendidikan tinggi. Antara negara-negara yang telah dilibatkan secara mendalam ialah United Kingdom, Jepun, Jordan, Perancis, China, Maghribi, Indonesia, UAE, Qatar dan baru-baru ini, Brunei.

KPM juga dalam proses menandatangani lebih banyak MOU supaya kerjasama global dalam pendidikan tinggi dapat ditingkatkan. KPM juga mensasarkan visi menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan serantau dalam bentuk yang lebih agresif. Kita ingin menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi para pelajar pendidikan tinggi dari seluruh dunia.

Ya, saya sedar ada banyak kekangan dan isu yang perlu kami selesaikan, seperti terdapat red tapes dan kerenah birokrasi samada di dalam KPM sendiri mahupun dengan pihak imigresen. Bagi menangani isu ini, kami sedang memperkasakan Bahagian Education Malaysia (BEM) dan Education Malaysia Global Services (EMGS), serta sentiasa berkomunikasi dengan pihak imigresen.

Teras 8: Pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET)

Untuk TVET pula yang menjadi teras kelapan, KPM telah tubuhkan Jawatankuasa Pemerkasaan TVET pada 21 Jun 2018 yang lalu, bertujuan untuk memperkasa pendidikan dan hala tuju TVET.

Dan sehingga hari ini, buat pertama kalinya, kami telah berjaya melaksanakan Sistem Jaminan Kualiti Tunggal Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional iaitu laluan fleksibel bagi artikulasi TVET sehingga ke tahap 6 dan 7.

Sistem ini juga merupakan sistem tunggal yang akan diguna pakai oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam mengakreditasi program TVET yang ditawarkan oleh institusi TVET awam dan swasta berdasarkan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

Dalam masa yang sama, kerjasama yang erat antara Kolej Vokasional, Politeknik, Kolej Komuniti dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia dari segi sumber, peralatan, fasiliti, tenaga pengajar dan kepakaran sedang giat dijalankan.

Tidak dilupakan, sekarang juga kami sedang berusaha untuk menubuhkan centre of excellence (pusat kecemerlangan) setempat TVET di seluruh negara.

KPM komited untuk memperkasakan institusi TVET ini kerana kita semua tahu, masalah pengangguran ialah masalah yang sangat kritikal sekarang, dan institusi TVET ini akan menjadi salah satu pintu keluar daripada masalah ini.

Teras 9: Pemerkasaan bahasa, budaya dan sastera

Teras terakhir iaitu teras kesembilan ialah pemerkasaan terhadap isu-isu bahasa, budaya, dan sastera. Hal ini sangat berkait rapat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Perbadanan Kota Buku; serta semua pihak yang terlibat dalam mencerdikkan akal budi bangsa melalui bahasa dan sastera.

Sehingga kini, kami telah menjalankan program sasterawan di universiti. Di mana para sasterawan ditempatkan di universiti-universiti. Program seumpama ini juga akan diperluaskan di politeknik-politeknik dan IPG seterusnya disemarakkan pula di sekolah-sekolah.

Ini bertujuan untuk mengangkat kembali tokoh sasterawan negara kita agar lebih visible di mata masyarakat.

Kami juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca 2030. Untuk tujuan ini, kami jalankan Kempen Dekad Membaca Kebangsaan dengan lebih 36,000 kegiatan telah dirancang di seluruh negara.

Semalam sahaja, saya telah melancarkan suatu inisiatif yang baik daripada Institut Terjemahan & Buku Malaysia yang telah menjalankan kolaborasi dengan Pejabat Pos Malaysia bagi membuka sudut buku di semua cawangan Pejabat Pos di seluruh negara.

Buat masa ini, ingin saya maklumkan kepada semua, kami sedang dalam proses merangka Dasar Buku Negara dan Dasar Sastera Kebangsaan, dan menyemak semula Dasar Bahasa Kebangsaan bagi membolehkan kegiatan-kegiatan bahasa, budaya dan sastera di negara kita lebih meriah dan berkesan.

Nilai Tambah: Kementerian Bersih

Selain daripada sembilan teras yang menjadi tunjang setahun pencapaian Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah pentadbiran Pakatan Harapan ini, ada satu nilai tambah yang ingin saya utarakan dan perlu diberikan perhatian, iaitu kementerian bersih atau kementerian bebas korupsi.

Saya ingin pastikan KPM tidak lagi menjadi ruang untuk sesetengah pihak mengambil kesempatan untuk menjana keuntungan peribadi. Proses perolehan, tender, projek-projek, akan dijalankan dengan tatacara yang telus dan penuh dengan pengawasan.

Dalam masa yang sama, kami akan terus memastikan segala kes-kes jenayah rasuah dan korupsi terdahulu disiasat dengan adil dan segera, dan kami komited untuk memastikan tiada lagi kes-kes tersebut berulang. Saya tidak mahu agenda perubahan kita terbantut kerana barah yang sangat merbahaya ini.

Tekad ini selaras dengan hasrat KPM dan juga kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berintegriti dan bersih rasuah. Hal ini sangat terbukti apabila Januari lalu, Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018 menunjukkan Malaysia meningkat satu anak tangga di tangga 61 daripada 180 buah negara berbanding kedudukan ke-62 pada tahun 2017.

Terima kasih warga KPM dan rakyat Malaysia

Saya percaya, sembilan teras ini akan menjadi batu loncatan untuk kami terus bergerak dan bekerja. Amanat rakyat yang kami tanggung adalah nadi kekuatan kami.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih sebanyak-banyaknya kepada keluarga saya warga Kementerian Pendidikan Malaysia dan semua pihak kerana menumpahkan segenap usaha dan kegigihan bagi menjayakan agenda perubahan ini. Agenda pemerkasaan dan reformasi pendidikan ini ialah agenda bersama, agenda keluarga besar Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dan tidak sesekali dilupakan, adiwira sebenar kepada semua kejayaan ini, iaitu rakyat Malaysia keseluruhannya. Terima kasih kerana memulakan suatu langkah perubahan yang sangat penting, iaitu turun mengundi pada 9 Mei 2018 yang lalu. Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan.

Ernest Hemingway pernah menyebut, “Every man's life ends the same way. It is only the details of how he lived and how he died that distinguish one man from another.”

Di sini saya ingin lampirkan sehelai surat yang diberikan kepada saya oleh seorang individu yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Rukiah;

Kepada warga KPM,

Sebagai seorang ibu, saya amat concern tentang pendidikan negara kita. Sejak kerajaan bertukar, harapan setiap orang pastinya tinggi. Kita melihat di mana-mana orang bercakap tentang pendidikan. Ramai yang mengambil berat. Bagi saya ini kejayaan yang pertama. Mengembalikan harapan rakyat.

Memang tak semua orang mampu bersabar. Kita cuma perlukan semalam untuk runtuhkan negara, tetapi kita perlukan bertahun lamanya untuk bina balik negara. Orang tak faham tentang itu. Orang tak faham yang Rom tak dibina dalam satu hari.

Anak-anak saya, setiap pagi mereka seronok pergi sekolah. Dua orang anak saya ni tahun 1 dan tahun 3. Sebab tak ada exam. Mindset mereka pun dah berubah. Pergi sekolah sebab nak belajar. Ada banyak games dan aktiviti katanya. Tak ada tekanan dan paksaan.

Saya berbual dengan cikgu-cikgu. Mereka rata-ratanya gembira. Mereka kata ini pertama kali menteri banyak address mereka dan mereka pun bebas bersuara. Cuma beban guru masih banyak tapi bila saya terangkan yang hujung tahun ni baru selesai semua, mereka pun faham.

Harapan saya buat semua anggota KPM, teruskanlah bekerja. Buat yang terbaik untuk negara. Usahalah bersungguh-sungguh. Anda semua bagi saya, wira negara. Doa saya bersama anda semua, sentiasa.

Daripada saya: Puan Rukiah, Seorang Ibu dan Seorang Rakyat Biasa.

Saya sentiasa berpesan kepada warga KPM, setiap usaha yang dicurahkan setiap hari mungkin kelihatan kecil, tetapi lihatlah bagaimana ia telah memberikan kesan yang sangat besar kepada anak-anak, guru-guru dan ibu bapa seperti Puan Rukiah ini.

Sekali lagi, terima kasih kepada warga KPM semua. Terima kasih kepada semua dan terima kasih kerana tidak putus asa dan terus memberikan yang terbaik untuk negara.

Khas kepada warga KPM semua, “I love you 3000!”


MASZLEE MALIK bertugas sebagai menteri pendidikan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen