Pengiklanan

    Selembut bahasa

    (Dikemaskini )

    Antara bahan paling lucu yang dipersembahkan pelawak atau stand up comedian terkenal Amerika George Carlin ialah mengenai “bahasa lembut” yang wujud dalam bahasa Inggeris yang digunakan di negara kelahirannya.

    Soft language, kata Carlin, dicipta untuk menutup perkara benar atau realiti kerana orang Amerika katanya takut kepada kebenaran. Dan Carlin cukup benci soft language.

    Lalu beliau “menyerang” dengan cara tersendiri. Banyak contoh diutarakan termasuk toilet paper yang sudah ditukar namanya kepada bathroom tissue.

    Used car dinamakan previously owned transportation. Deaf people sekarang ialah the hearing impaired. Begitu juga blind people yang kini jadi visually impaired. Cripple dilembutkan untuk jadi physically challenged.

     Tidak ada lagi old people. Yang ada senior citizens dan ungkapan I am getting old bukan I am old. Seolah-olah ini melambatkan proses menjadi tua.

    Seorang lagi stand up comedian Amerika Ralphie May juga gemar menggunakan “soft language” sebagai bahan lawaknya.

    Blacks katanya sudah jadi African Americans. Retard kini ialah the mentally challenged.

    Mungkin ada yang melihat jenaka itu sebagi sesuatu yang kasar. Tetapi tidak dinafikan penyampaian kedua dua pelawak berkenaan amat menarik dan melucukan. Tonton video mereka di Youtube dan kita ketawa terbahak bahak.

    Bukan cakap berlapik

    Sebenarnya soft language bukan ada dalam bahasa Inggeris Amerika sahaja. Bahasa Melayu pun ada. Maksud saya bahasa lembut - bukan cakap berlapik atau beralas.

    Cakap berlapik mahupun beralas lazimnya ada kiasan. Bahasa lembut tidak ada kiasan. Dan kita gemar menggunakan. Bukan untuk menutup kebenaran atau kita takut akan kebenaran. Ia digunakan untuk mengurangkan kekasaran. Lantas melembutkan keadaan dengan menggunakan bahasa lembut.

    Contohnya apabila kita tidak tahu punca sesuatu perkara yang berlaku, kita kata saya kurang periksa. Bukan kata saya tak tahu. Kurang periksa nampak atau didengar lembut berbanding mengaku tidak tahu. Dan kita yang tak tahu taklah nampak bodoh. Atau jahil.

    Jika ditanya mengenai paras rupa boyfriend atau girlfriend si polan yang tidak kacak atau jelita, jawapannya ialah tak berapa handsome atau tak berapa cantik. Kita tidak menyebut tidak cantik terus. Apa lagi menggunakan istilah hodoh.

    Istilah tidak berapa melembutkan keadaan. Begitu juga dengan tidak berapa suka, tidak berapa tahu, tidak berapa lapar dan sebagainya.

    Cacat, buta dan pekak digantikan dengan kurang upaya, cacat penglihatan dan cacat pendengaran.

    Babi agak kasar bunyinya. Lantas khinzir digunakan. Di restoran ada notis yang memberitahu makanan yang dihidangkan tidak halal atau non-halal. Tidak disebut haram walaupun tidak halal maknanya haram.

    Kurang cerdik juga kerap digunakan. Kurang maksudnya tidak cerdik. Bila tak cerdik bererti tidak pandai. Tidak pandai membawa erti bodoh. Tapi bodoh agak kasar. Apa lagi bangang, mahupun tolol, lantas tidak cerdik menjadi pilihan.

    Banyak lagi contoh. Namun cukup setakat ini. Perlu diberitahu ini sekadar catatan perkara lazim di kalangan masyarakat. Tidak lebih daripada itu. Ini bukan hasil kajian teliti atau sebagainya. Apatah lagi saya bukanlah pakar bahasa.

    Penutup rencana secebis nyanyian seniman agung Allahyarham P Ramlee - “Tiada kata secantik bahasa.”


    MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

    Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih