malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Pada 6 April 2019, Menteri Luar Saifuddin Abdullah bercakap dengan Malaysiakini tentang kemungkinan wujudnya daulah terpendam yang merancang rampasan kuasa. 

Kata-kata menteri luar ini adalah pencerahan rentetan daripada kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Muhamad yang muncul pada 5 April 2019.

Mahathir mengumumkan tentang kewujudan projek sailang yang dirancang untuk menggagalkan Statut Rom Perjanjian Mahkamah Antarabangsa (ICC).

Saifuddin yang lemah lembut lagi berbudi bahasa dengan penuh diplomasi menerangkan:

"Ada sebuah negara yang tidak pernah berlaku transisi demokratik, berlaku satu pilihan raya selepas kebangkitan rakyat, seorang presiden dipilih. Dan presiden itu dianggap the first elected democratically president and he formed the government (presiden pertama yang dipilih secara demokratik dan dia telah membentuk kerajaan).

"Dalam masa setahun seorang jeneral mengetuai satu rampasan kuasa dan menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

"Kenyataan Dr Mahathir, kerisauan saya perkara sedemikian boleh berlaku di negara ini. Kita mesti elakkan perkara ini berlaku. Kita harus mempertahankan kebangkitan rakyat dan pilihan raya rakyat," katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Hishamuddin Rais yang bukan menteri luar dan tidak berdiplomasi menjelaskan bahawa negara yang dimaksudkan oleh Saifuddin Abdullah ialah Mesir.

Presiden yang dijatuhkan oleh daulah terpendam ialah Mohamed Morsi yang sah dipilih oleh rakyat Mesir. 

Yang menjatuhkan ialah komplot Jeneral Abdel Fattah el-Sisi (gambar) dengan kerja sama daulah terpendam Mesir. Kini el-Sisi mengangkat dirinya sebagai Presiden Mesir.

Bekas presiden Morsi kini dalam penjara diancam dengan hukum gantung kerana mengkhianat. Khalas.

Saifuddin dengan penuh diplomasi menyatakan kebimbangan dirinya bahawa rampasan kuasa oleh daulah terpendam boleh berlaku. 

Di Mesir daulah terpendam bergerak. Di Malaysia daulah terpendam wujud. Mustahil di Malaysia mereka tidak bergerak.

Manakala ucapan Mahathir pula telah menyatakan bagaimana Malaysia menggantung pengiktirafan Statut Rom untuk sementara. 

Menurut Mahathir gantung sementara kerana berlakunya kekalutan.

Menurut pandangan Mahathir ini semua adalah kekeliruan dan kekalutan yang dirancang dan disusun. Walhal Malaysia telah menandatangani perjanjian Statur Rom ICC. Amin.

Anak semua bangsa wajib sesama memahami apa itu daulah terpendam. Siapa dia daulah terpendam. Sila lihat dan dengar dengan hati-hati klip ucapan Mahathir tentang perkara ini yang boleh ditonton dalam YouTube.

Klip ucapan Mahathir ini sarat dengan pelbagai bentuk maklumat. Kita tidak perlu ada ijazah sain politik dari Havard Universiti untuk memahami ucapan Mahathir ini.

Dari segi semiotik kita boleh baca tanda dan makna ucapan Mahathir. Dari bahasa badan kita baca bahawa amat jelas Mahathir ini marah.

Jeng jeng jeng. Marah kepada siapa?

Pada petang Sabtu 20 April di sebuah hotel Kuala Lumpur dalam satu program Amanah, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad Menteri Wilayah juga telah menyebut daulah terpendam.

Khalid memberi tahu kepada ahli dan aktivis parti Amanah agar berwaspada tentang kewujudan daulah terpendam.

Malah Khalid memberi ingatan kepada anggota parti agar jangan terperangkap dalam jaringan perang saraf daulah terpendam. 

Apa sedang dibuat daulah terpendam?

Khalid mengalu-alukan kritikan terhadap kerajaan PH tetapi setiap kritikan itu wajib berasas dan bukan hentam semberono hasil dorongan daulah terpendam.

Bila dikahwinkan klip YouTube Mahathir dengan kenyataan Saifuddin Abdullah dan ucapan Khalid Samad maka yang muncul satu persoalan: Apa sedang dilakukan oleh daulah terpendam?

Bila perkataan daulah terpendam muncul maka Hishamudin Rais wajib membuat analisa untuk anak semua bangsa. Analisa yang senang difahami dan mudah dihayati.

Justeru, menjadi tanggung jawab saya untuk menghuraikan babak-babak di belakang kenyataan-kenyataan ini. Apa maknanya dan tanda-tanda dari kenyataan dan ucapan ini. Amin.

Dari rujukan sejarah kita tahu bahawa idea dan kaedah daulah terpendam ini telah wujud semenjak zaman Greek kuno lagi.

Dalam sejarah politik moden secara resmi daulah terpendam diwujudkan secara tersusun oleh Mustafa Kemal Ataturk di Turki pada tahun 1923.

Daulah terpendam dari dahulu hingga ke hari ini adalah jaringan, kabel dan sel-sel rahsia, yang rasmi dan tidak rasmi. Daulah terpendam bergerak untuk mempertahankan kepentingan masing-masing.

Mereka mungkin terdiri dari sosok tertinggi pasukan tentera, lembaga risikan atau penjawat awam.

Para penjawat awam dan pegawai tertinggi kerajaan berkepentingan untuk menjaga gred Jusa dan periuk nasi mereka. Memastikan daulah wujud agar mereka terus bekerja.

Anwar ganti Mahathir

Wujud juga sel yang mempertahan satu-satu ideologi. Secara subversif sosok ini secara tersusun dan tidak tersusun akan bergerak untuk menafikan niat, dasar dan cita-cita kerajaan yang diplih oleh rakyat.

Sosok-sosok apparatchik tertinggi dari syarikat kerajaan (GLC) juga akan bersama daulah terpendam jika kuasa dan kepentingan ekonomi mereka tergugat.

Sama bersekongkol ini ialah para cukong dan kaum pemodal yang mahu memastikan mereka terus mendapat kontrak dan laba keuntungan yang berterusan.

Jangan lupa di Malaysia daulah terpendam juga termasuk sosok-sosok ahli politik yang kalah dan ahli politik yang bernafsu besar. Ini termasuk golongan feudal yang merasa diri mereka tidak difeudalkan lagi. Amin.

Anak semua bangsa wajib sedar latar lanskap dan wacana politik Malaysia semenjak 9 Mei 2018 masih lagi sibuk soh seh soh seh dengan: Apakah Anwar Ibrahim diyakini oleh orang ramai untuk menggantikan Mahathir Mohamad?

Persoalan siapa selepas Mahathir telah merampas agenda utama kemenangan 9 Mei. Agenda utama Pakatan Harapan (PH) untuk membawa perubahan struktural telah dirampas.

Para wartawan jadi hingar-bingar bising dan sibuk ke hulu ke hilir bertanya: Dalam masa terdekat ini apakah Anwar dipercayai oleh Mahathir sebagai pengganti?

Walhal yang wajib ditanyakan untuk dijadikan perbualan nasional oleh anak semua bangsa ialah apakah bentuk reformasi dan perubahan struktural yang dirancang oleh PH.

Atau apa agenda ekonomi terdekat untuk menampung harga barang keperluan yang mahal. Apa agenda sosial PH untuk jangka panjang dalam usaha menyelesaikan persoalan nasional, perumahan atau persekolah dan lain-lain. Khalas

Siri tulisan "Merakam Sejarah" oleh Hishamuddin Rais dalam Malaysiakini adalah bukti wujudnya watak-watak yang mahu mensailang Mahathir.

Awalnya Mahathir cuba disailang daripada mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada pagi 10 Mei 2018. Apabila ini gagal lalu diwujudkan projek gelap untuk menubuhkan negara Melayu-Islam dan untuk menolak Mahathir dan PH.

Terbukti - projek sailang ini telah beberapa kali gagal. Media menghebohkan kenyatan PAS tentang projek undi tidak percaya terhadap Mahathir.

Mat Songel muncul kembali dan telah mengambil teori serta pendekatan kaum kiri - mendirikan - united front - barisan bersatu. 

Barisan bersatu ini berpayung dalam satu agenda - memastikan Mahathir tergelincir atau diundurkan secepat mungkin.

Barisan bersatu ini berjaya diwujudkan kerana ada kepentingan bersama antara Mat Songel dan daulah terpendam. Dalam masa yang sama para politikus dari zaman Najib dan kuncu-kuncu Najib ikut sama. Ini kerana mereka berhadapan dengan penjara.

Justeru, agenda PH untuk membuka ruang demokrasi melalui Statut Rom disabotaj. Apa yang telah berlaku sebenarnya adalah sambungan projek sailang Mat Songel.

Bersultan di bukit, beraja di pub

Usaha mensabotaj pendemokrasian PH ini juga telah mendapat restu dari kumpulan tauke pasir. Sang tauke merasa perniagaan jual beli pasir makin terdesak.

Pada satu ketika dahulu tauke pasir bersultan di bukit dan beraja di pub. Tepuk dada tanya Singapura. Semuanya berubah apabila rakyat memilih Pakatan Harapan sebagai kerajaan baru.

Apakah semua yang tertera dalam tulisan ini ini hanya cerita rekaan? Apakah semua ini hanyalah kisah-kisah dongeng? 

Atau mengikut pandangan Anwar Ibrahim semua ini hanyalah labun penglipur lara daripada Hishamuddin Rais.

Bukan. Tidak. Ini bukan kisah dongeng. Saifuddin Abdullah bukan kaki putar. Khalid Samad juga bukan tukang karut.

Untuk membuktikan kesahihan apa yang saya tulis di atas, sila rujuk klip Malaysiakini dalam YouTube bertajuk - Mereka lebih pengkhianat dari saya. 

Klip 5.47 saat ini adalah bukti apa yang saya nyatakan tentang Mat Songel, daulah terpendam dan tauke pasir.

Dalam klip ini Mahathir menerangkan duduk pekara bagaimana agenda demokrasi PH untuk menerima pakai Statut Rom telah diputar belitkan. Kekalutan sengaja ditimbulkan. 

Secara licik kekalutan ini telah menuduh Mahathir sebagai pengkhianat menjual negara kepada orang asing.

"Mereka nak cuba gunakan untuk memburukan kerajaan, terutama saya kunun saya pengkhianat kepada bangsa saya.

"Sesiapa melanggar undang-undang, tak kira siapa sama ada mereka putera raja atau mat papa kerajaan akan mengambil tindakan.

"Mereka telah berjaya melakukan kekalutan dan kacau bilau dalam pemikiran orang rama bahawa undang-undang Statut Rom ini akan menafikan hak orang Melayu. Ini sebenarnya karut.

"Kalau tak sain Statut Rom kita boleh curi kita boleh buat macam-macam tak boleh ada tindakan. Tapi kerajaan ini akan bertindak jika kamu melaggar undang-undang.

"Kami tak peuli siapa kamu. Kami akan ambil tindakan terhadap kamu. Kalau kamu menjual tanah kepada orang asing kerana mencari duit kami akan ambil tindakan.

"Semua ini langkah politik untuk meminta raja-raja menyokong mereka. Ada keluarga raja yang campur tangan, niatnya ialah mengarahkan Raja Melayu menentang kerajaan hari ini. Ini niat mereka.

"Maka kami mengundur dari Statut Rom kerana kekalutan yang diwujudkan oleh beberapa sosok termasuk orang yang memiliki cita-cita politik.

Jeng jeng jeng: "Some people with political ambition (orang yang memilki cita-cita politik)."

Ini kata-kata Mahathir Muhamad di minit 4.50 saat dalam klip Malaysiakini yang tersimpan dalam YouTube.

Jangan tuduh Hishamuddin Rais buat kisah dongeng. Justeru siapa yang memiliki cita-cita politk ini?

Mustahil tauke pasir. Mustahil Cik Berahim. Mustahil Cik Ismail. Mustahil Mak Bedah. Mustahil Kak Kiah. Apakah ini kerja Mat Songel lagi? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen