malaysiakini logo
story-image
ADS

Cadangan kerajaan untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini telah gagal mendapat undi majoriti 2/3 sokongan di dalam parlimen. Kegagalan ini antara penyebabnya ialah tidak cukup sokongan dari ahli parlimen Sabah dan Sarawak sendiri. Mereka menolak kerana ia dilihat dibuat begitu tergesa-gesa oleh beberapa pihak tanpa memberikan masa yang cukup untuk diteliti dan dibahaskan walhal implikasinya sangat besar.

Ramai yang tertanya-tanya apa dia Perkara 1(2) dan apa signifikannya sehingga memerlukan satu pindaan. Sebenarnya P1(2) ini adalah berhubung dengan kedudukan Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain di Semenanjung. Kalau kita lihat dalam Perlembagaan Persekutuan ia menyatakan bahawa :-

“Perkara 1 (2) Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.”

Kalau kita lihat ia jelas menunjukkan bahawa Sabah dan Sarawak adalah antara negeri-negeri di dalam kerajaan persekutuan. Dalam erti kata lain ia sama taraf dengan negeri-negeri lain.

Namun keadaan ini tidak menyenangkan sebahagian rakyat kedua-dua negeri tersebut kerana beranggapan bahawa ketika pembentukan Malaysia dahulu Sabah dan Sarawak bersatu bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu BUKAN dengan negeri-negeri di bawah Persekutuan Tanah Melayu. Ertinya, kedua-dua negeri tersebut harus dilihat sebagai sebuah ‘negara’ atau rakan sekutu seperti Singapura. Oleh itu mereka bercadang untuk meminda para tersebut dengan mengeluarkan nama kedua-dua negeri dari ditulis sebaris dengan negeri-negeri lain kepada para lain seperti berikut:

“(2) Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada—

(a) Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak,

Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan

(b) Sabah dan Sarawak.”

Hujah mereka ialah ia selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (Malaysia Agreement 1963) atau lebih dikenali sebagai MA63. Ini adalah satu kekeliruan kerana dalam MA63 jelas menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak adalah negeri-negeri yang bersatu dengan negeri-negeri lain membentuk Malaysia:

Artikel 1 MA63 menyatakan:

"The colonies of North Borneo and Sarawak...shall be federated with the existing states of the Federation of Malaya as the states of Sabah, Sarawak… and the Federation shall thereafter be called Malaysia."

Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Sabah dan Sarawak menerima bahawa mereka adalah sama taraf dengan negeri-negeri lain di Persekutuan Tanah Melayu kecuali dengan beberapa keistimewaan yang diberikan. Seorang pakar sejarah, Professor A Harding, dalam sebuah tulisannya ada menegaskan perkara ini dengan menyatakan :-

"...Malaysia came into being on 16 September 1963...not by a new Federal Constitution, but simply by the admission of new States to the existing but renamed Federation under Article 1 of the Constitution...."

Wakil Malaysia ke persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu di dalam ucapannya juga menegaskan perkara yang sama:

"Constitutionally, the Federation of Malaya, established in 1957 and admitted to membership of this Organisation the same year, and Malaysia are one and the same international person. What has happened is that, by constitutional process, the Federation has been enlarged by the addition of three more States, ...and that the name 'Federation of Malaya' has been changed to "Malaysia".

Semua ini menjadi bukti bahawa Sabah dan Sarawak sebenarnya sama taraf dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.

Namun kita faham akan kehendak di sebalik pindaan ini. Kerajaan di kedua-dua negeri ini ingin mempunyai lebih kuasa terhadap negeri masing-masing. Sikap kerajaan BN selama ini yang dilihat ‘menganaktirikan’ pembangunan di kedua-dua negeri tersebut benar-benar telah mengecewakan mereka walaupun telah bersama semenjak tahun 1963.

Kami sangat fahami dan bersimpati dengan seluruh rakyat di sana. Sikap kerajaan BN harus tidak diulangi dan perhatian mesti diberikan kepada kebajikan untuk rakyat Sabah dan Sarawak. Mereka mengeluarkan hasil minyak yang banyak maka sudah selayaknya mereka mendapat peruntukan yang sewajarnya demi rakyat kedua-dua negeri tersebut. Sebenarnya hak-hak Sabah dan Sarawak sudah ada diperuntukkan antara lainnya dalam Bahagian XIIA (Perlindungan Tambahan Bagi Negeri Sabah dan Sarawak), Jadual Kesembilan, Perkara 95B-95E dan Perkara 112A-112E. Cuma pelaksanaannya ada kecacatan oleh kerajaan BN.

Bagaimanapun, untuk menyamakan kedudukan mereka dengan Persekutuan Tanah Melayu adalah tidak sesuai dan bercanggah dengan MA63 dan Perlembagaan Persekutuan. Kedua-dua perjanjian tersebut telah diterima oleh pemerintah terdahulu dan tidak seharusnya diubah lagi. Ini semua demi kemaslahatan seluruh rakyat Malaysia juga.

Saya amat khuatir jika perkara ini tidak dapat dikawal maka ia akan menjadi sebab untuk musuh-musuh negara akhirnya mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

Kepada rakan-rakan di Sabah dan Sarawak, kami bersama saudara semua. Marilah kita menggembleng tenaga untuk membangunkan bersama-sama negara Malaysia yang tercinta ini daripada kita berpecah belah. Bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen