malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Kami rasa kerajaan yang ada sekarang ini mempunyai muslihat yang kita semua tidak tahu.

Mereka dengan yakin melakukan perkara-perkara yang tidak popular dan tegas. 

Tidak dipedulikan apa pun sangkaan semua orang kerana kerajaan tahu, mereka mempunyai sekurang-kurang tiga tahun lagi untuk membuktikan kewibawaan yag ada.

Jika tidak mana mungkin mereka mengguris perasaan para penjimat yang menyimpan wang di Tabung Haji dengan memberikan hibah serendah 1.25 peratus, misalnya.

Mengenai hibah itu - begitulah - dah nama pun berniaga. Bukan selalu untung banyak. Sedikit sama sedikit. Bukan dia tak bagi langsung. Kamu yang bising-bising sekarang pun, entah berapa sen tersimpan disana.

Entah betul, dulu - semasa rugi - pun dibaginya hibah tinggi untuk pancing kamu semua. Kita mana tahu mainan mereka.

Kemudian apabila dicampur dengan 2.5 peratus zakat maka jumlah keseluruhan adalah 3.75 peratus. Ini nampak macam realistik berniaga.

Bandingkan pula dengan hibah pada masa lalu, iaitu lebih kurang 10 peratus dan dicampur pula dengan zakat maka jumlah hibah yang diberikan ketika itu bolehlah kita katakan bersaudara dengan skim Pak Man Telo.

Jika dibandingkan dengan bank konvensional selalunya mereka memberikan kadar 1 hingga 2 peratus untuk keuntungan bagi simpanan tetap.

Kita bukanlah sokong kerajaan sangat, tapi perkara yang betul kena cakap betul juga. Jangan disebabkan benci maka kamu pun cari salah memanjang.

Sedikit selingan.

Mengenai Tabung Haji yang melantik orang Cina kafir bagi menguruskan kewangan mereka - sebenarnya kebanyakan pengurus dana yang menguruskan kewangan Islam di negara kita ini memang syarikat kafir.

Yang lama dipotong

Mereka adalah golongan profesional yang dilatih untuk mentaati undang-umdang syariah kewangan.

Kalau kamu sudi untuk bertanya dan membuka sedikit minda, mungkin kamu akan faham betapa kewangan Islam di dunia tidak hanya dikuasai oleh orang Islam bahkan ramai Cina kafir, India kafir, Yahudi kafir dan juga Irish kafir yang sangat pakar dalam bidang berkenaan.

Berbalik kepada kerajaan dan muslihatnya. Ia teori yang kami reka-reka saja.

Seperti CEO yang baru dilantik. Maka antara perkara utama yang akan dilakukan adalah ‘potong rambut’ dan akan merendah-rendahkan pengurusan terdahulu.

Kemudian, kerajaan akan mula berjimat. Kerana itulah kita dapati hibah itu sedikit. BR1M juga dikurangkan. Dan segala macam impian kekayaan dijanjikan pemerintahan lama dipotong.

Ini akan menambah simpanan negara. Apabila tiba masa yang sesuai - atau dalam kes politik Malaya, ketika tiba musim pilihan raya maka - kerajaan akan mula menunjukan kekayaan.

Apa yang dipamerkan adalah kekayaan sebenar. Bukan seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan lalu apabila mereka membelanjakan wang ‘ufti’ dari Petronas, Tabung Haji, KWAP dan sebagainya.

Kita yang selama ini diajar bahawa wang adalah raja tentu saja berasa rugi apabila 'raja' yang kita puja itu ditiadakan.

Ditambah pula dengan unjuran supaya kita semua mengikat perut, bonus tidak ada dan segala macam kesenangan sementara yang pernah kita terima dulu ditiadakan, tentu saja akan berasa tertekan.

Inilah yang menjadi senjata untuk melumpuhkan kerajaan hari ini.

Selebihnya pula menjadi tukang sorak kepada apa yang kita rasa kegagalan pentadbiran kerajaan masa kini tanpa mahu berlaku adil.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sedang berlangsung di PWTC Kuala Lumpur. Jadilah masyarakat yang membaca dengan mengunjungi reruai Benderung Indie di pesta berkenaan.


ABDULLAHJONES ialah adalah pelukis, penyair dan penulis yang bukunya tidak berapa laku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen