malaysiakini logo
story-image
ADS

Kita perlu kembali bertanya dan berbahas semula, dalam nuansa dasawarsa hari ini; soal "apa", soal "kenapa" dan "bagaimana" pendidikan harus berfungsi sebagai tunjang kepada pembentukan watan dan identiti kewatanannya.

Seingat saya, konsep pendidikan yang benar-benar menjadi raison d'être kepada pembentukan watan ini telah melalui beberapa tahap dan perkembangan.

Setahun selepas kabinet pertama Persekutuan Tanah Melayu dibentuk dan telah dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak Hussain, tertubuhlah Jawatankuasa Pendidikan 1956 yang bertujuan untuk kembali menyemak dan memperbaharui sistem pendidikan negara. Laporannya dikenali sebagai Laporan Razak.

Untuk menilai dan menambah baik laporan ini, seingat saya, sekitar 1960, satu Jawatankuasa Penyemak Pendidikan telah ditubuhkan. Hasilnya, wujudlah Laporan Rahman Talib. Umumnya, laporan ini bersetuju dan menyokong hampir semua dasar yang dicadangkan oleh Laporan Razak sebelum ini, namun perlu disusuli dengan beberapa penambahbaikan.

Dua laporan ini mempunyai tujuan dan hasrat yang sangat besar. Semangat kewarganegaraan giat disemarakkan. Semangat perpaduan kaum, saling menghormati dan bertoleransi antara satu sama lain, mula ditanam. Konsep cintakan negara ini, sebagai sebuah negara yang mandiri, yang tidak perlu bergantung kepada orang lain, mula benar-benar dibina ke dalam jiwa setiap rakyat.

Dan impaknya, terbentuklah Akta Pendidikan 1961, dan sekaligus membawa kepada kita suatu naskhah yang sangat bersejarah, iaitu Dasar Pendidikan Kebangsaan 1961.

Melalui Dasar ini jugalah, kita mula perlahan-lahan melakarkan identiti negara bangsa kita sendiri sebagai sebuah negara merdeka. Dan terasnya, ialah pendidikan.

Itu belum lagi kita sentuh soal-soal lain, sebagai contoh bagaimana Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru dibentuk dengan beresensikan pendidikan, dan bagaimana PM kita, Mahathir Mohamad, mempengerusikan sendiri jawatankuasa kabinet pada tahun 1974 yang bermatlamatkan untuk menyemak kembali dasar pendidikan kebangsaan dan bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

Sejarah yang panjang ini ialah batu bata yang telah disusun, secara teliti dan berhati-hati, tidak lain tidak bukan hanya untuk membentuk identiti kewatanan, personaliti, keperibadian dan keindividuan seorang rakyat Malaysia.

Gambar hiasan.

Tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Bajau, Murut, Baba dan Nyona; semuanya ialah rakyat Malaysia, dan semuanya ialah produk kepada kerja keras orang-orang terdahulu yang memberikan tumpuan yang sangat mendalam terhadap pendidikan.

Saya menyorot ini semua, adalah sebagai refleksi dan imbauan bagaimana pendidikan mempunyai fungsi yang sangat besar di dalam membentuk watan identiti kewatananannya sekaligus membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi. Dan tugas kita semua, ialah untuk menyambung semula harakat perjuangan ini.

Anak muda pada hari ini, ialah batu bata yang akan menentukan kedudukan Malaysia 10, 20, dan 50 tahun akan datang.

Sebab itu, saya secara peribadi sentiasa tekankan; pendidikan ialah tanggungjawab bersama. Pendidikan bukan soal bertanya, apa yang orang lain gagal lakukan, tetapi bertanya apa yang kita mampu untuk lakukan.

Wawasan pendidikan di era Malaysia Baharu

Jadi, apakah wawasan pendidikan di era Malaysia Baharu ini?

Satu perkataan yang sahaja yang saya ingin tanamkan di fikiran pembaca semua: iaitu potensi. Pendidikan di era ini akan benar-benar memugar potensi setiap individu secara menyeluruh.

Dan untuk mencapai cita-cita ini, kita telah menetapkan tiga aspirasi besar sekali gus menjadi hala tuju dan nukleus dalam sistem pendidikan kita.

Pertamanya, Pendidikan Berteraskan Nilai yang akan menjadi essence-nya. Kedua, Peningkatan Kualiti Seluruh Sistem yang akan menjadi virtuality yang tekal (consistent), dan ketiga, autonomi dan akauntabiliti yang mesti berfungsi sebagai struktur yang mampan dan berdaya saing.

Tidak juga dilupakan, pendidikan di era ini ialah pendidikan inklusif. Segala dasar yang dilakukan tidak akan sesekali meminggirkan golongan minoriti, termasuklah golongan OKU dan kanak-kanak tanpa dokumen. Hasilnya, kita telah memperkenalkan dasar sifar penolakan (zero-reject policy) yang telah dijalankan secara menyeluruh bermula tahun ini, dan kita telah menerima kemasukan sebanyak 83,039 pelajar OKU.

Pelajar-pelajar sebuah sekolah di Putrajaya. Gambar hiasan.

Ini adalah satu kejayaan yang sangat besar.

Begitu juga dengan dasar menerima masuk kanak-kanak tanpa dokumen ke sekolah-sekolah. Tahun ini sahaja, seramai 2,635 murid telah mendaftar.

Selain itu, Universiti Awam juga tidak sesekali terpisah dari radar reformasi. Setiap Universiti Awam bakal megah dengan bidang tujahan (niche) masing-masing.

Jutseru itu, kita telah mewujudkan kluster-kluster bagi membolehkan universiti kita memperkukuhkan kekuatan, identiti dan kedayapasaran mereka. Misalnya, kita ada MFUN (Focus University), MRUN (Research University), MCUN (Comprehensive University), MTUN (Technical University), kita juga ada MIUN (Islamic University).

Kebolehpasaran siswazah kita

Saya tidak menafikan keluhan dan kegusaran siswazah kita apabila Laporan Bank Negara Malaysia baru-baru ini melontarkan isu gaji permulaan yang rendah. Di pihak KPM, isu ini diteliti secara serius dan beberapa perubahan sedang digerakkan secara agresif.

Selain daripada melebarluaskan lagi penglibatan industri, kita akan terus memperkasakan sistem yang boleh melahirkan siswazah yang berkualiti, hal ini termasuklah melihat semula kepada semua kursus dan jurusan yang ada; dari segi keperluan untuk memansuhkannya, dan menambah kursus-kursus baru yang lebih bersifat needs-driven.

Yang pasti, kita komited untuk memastikan universiti dan siswazah kita benar-benar mampu untuk menyediakan produk yang terbaik dalam lingkaran industri, dan demi mendepani gelombang Revolusi Industri 4.0.

Dan hal ini selari dengan hasrat PM, Tun, untuk memastikan graduan kita ini, berdaya saing di pasaran antarabangsa dengan penguasaan Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang baik.

TVET sebagai pilihan arus perdana

Kita juga tidak akan melupakan TVET. Kita telah memastikan program di Kolej Vokasional misalnya memenuhi standard Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia.

Lanjutan itu, kita juga telah mewujudkan kerjasama antara Kolej Vokasional dan Politeknik, Kolej Komuniti serta Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia dari segi sumber, peralatan, fasiliti, tenaga pengajar dan kepakaran termasuklah penambahbaikan kurikulum.

Tuntasnya, kita akan pastikan TVET benar-benar menjadi pilihan arus perdana, bukan lagi pilihan alternatif semata-mata.

Pak Sako

Akhir sekali, izinkan saya akhiri dengan memetik kata-kata Pak Sako (Ishak Haji Muhammad) dari novel beliau berjudul Budak Beca melalui dialog yang ditutur Mamat kepada Embong:

"... yang memakmurkan negara kita ini kita juga. Kita yang menanam padi, kita yang mencangkul jalan, kita yang menggali tali air dan saya umpamanya. Sudah tujuh tahun berjuang untuk kepentingan tanah air..."

Saya yakin, Harimau Asia akan kembali bangkit dan mengaum di serata dunia, dan kami, dari Kementerian Pendidikan Malaysia, akan bersedia berganding bahu dan memberikan dukungan padu, untuk sama-sama kita merealisasikannya.



MASZLEE MALIK bertugas sebagai menteri pendidikan. Tulisan ini diadaptasi daripada ucapan beliau di Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam pada 1 April 2019.

Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen