malaysiakini logo
story-image
ADS

Umum memahami bahawa kuasa politik dianggap sebagai unsur paling dominan bagi membentuk wajah perjalanan sebuah kerajaan.

Tanggapan itu sebenarnya separuh benar.

Ahli politik wujud sejak bermulanya tamadun manusia yang bersosial serta membentuk sistem pemerintahan. Pembentukan struktur dalam masyarakat memunculkan kelompok yang disebut sebagai kakitangan kerajaan ataupun birokrat.

Kelayakan dan tugas ahli politik dan kaum birokrat berbeza.

Kelayakan utama bagi ahli politik ialah memperolehi sokongan dan membina kepercayaan umum kepada kepimpinannya. Kelayakan kaum birokrat pula berdasarkan sistem pendidikan, latihan dan kemahiran yang diperakui oleh pihak berkuasa.

Kaum birokrat bekerja mengikut sistem birokrasi yang dicipta demi kelangsungan pentadbiran. Ia memiliki hierarki dalam menentukan bentuk dan sistem arahan bekerja.

Kuasa kepimpinan terbahagi kepada tiga jenis. Pertama dikenali sebagai kuasa - atau autoriti - tradisi. Kedua, kuasa yang diperolehi perundangan dan ketiga, kepimpinan atau kuasa yang diperolehi dari sumber karismatik dalam sesuatu entiti atau individu.

Ada pengaruh, rangkaian sendiri

Kaum birokrat secara umumnya datang dari tradisi dan perundangan.

Istilah "kakitangan kerajaan" sendiri memberi makna cukup kuat dalam pemikiran masyarakat. Sistem birokrasi di jabatan kerajaan yang ada pada hari ini adalah tinggalan rejim Najib Razak dan partinya selama berdekad-dekad.

Ia membina tradisinya yang tersendiri.

Sistem birokrasi ini telah lama membina rangkaian perhubungan yang sangat kompleks.

Semakin lama seseorang menjawat di sesuatu jabatan maka semakin kuat pengaruhnya. Segala peraturan dan panduan jabatan yang ada kadangkala sekadar papan slogan yang digantung di dinding sebagai azimat.

Peraturan itu dapat difahami mengikut sejauh mana besarnya pengaruh atau kedudukan seseorang birokrat berada. Pengarah atau ketua setiausaha, kerani atau pemandu kereta jabatan mampu mengurus perjalanan pentadbiran mengikut pengaruh dan rangkaian perhubungan mereka.

Contohnya, sesuatu peluang tender projek kerajaan yang akan ditawarkan kepada umum, perincian projek diketahui awal oleh kakitangan yang bekerja dalam sesuatu jabatan.

Secara teknikal, sesuatu tender terbuka atau tertutup tetap membuka ruang manipulasi.

Mengikut peraturan am, kakitangan kerajaan tidak boleh memasuki tender. Namun biasanya mereka akan mewujudkan wakil bagi pihak masing-masing.

Ulah di pejabat tanah

Kakitangan terbabit akan berkongsi maklumat bagi memastikan pada akhir proses, projek tersebut akan ditawarkan kepada mereka.

Dalam jangka pendek, ia tidak melibatkan transaksi kewangan. Ia lebih kepada satu persefahaman antara mereka.

Untuk projek yang lebih besar, mereka memerlukan rangkaian dan berpengaruh yang lebih kuat. Akhirnya mereka membina satu kartel yang mempunyai wakilnya di setiap bahagian atau jabatan.

Contoh lain yang selalu berlaku ialah di bahagian tanah. Kakitangan jabatan tanah jauh lebih maklum tentang kedudukan aset yang strategik dalam kawasannya.

Pencerobohan tanah kerajaan biasanya akan diakhiri dengan proses pemberian geran yang sah.

Hal itu kerana biasanya yang menceroboh tanah kerajaan ialah mereka yang tahu benar-benar status tanah tersebut.

Orang miskin yang menumpang tanah simpanan Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Keterapi Tanah Melayu dan lain-lain semakin bertambah.

Orang yang kaya semakin memiliki tanah dan semakin kaya apabila dianugerahkan tanah oleh kerajaan kesan keberkesanan sistem kartel mafia dan birokrasi berjalan.

Birokrat yang jahat boleh berlaku di jabatan agama dan bahasa. Segala kelembapan dalam pentadbiran banyak dikaitkan dengan birokrat yang culas melaksanakan tanggungjawab dan mengambil kesempatan daripada kuasa yang ada.

Mereka meraih laba peribadi dan mengabaikan kepentingan masyarakat. Akhirnya pentadbiran agama, bahasa atau bidang lain dilihat lembab dan lembam.

Birokrat yang jahat membentuk kartel yang bersifat seperti mafia. Mafia kartel boleh muncul dengan wajah-wajah yang rencam.

Mereka mungkin berjubah, berjaket atau berpenampilan sederhana seolah-olah sosialis sejati.

Mafia birokrat menjalani hidup seperti biasa. Pergi bersembahyang di masjid, bersosial dengan jiran tetangga serta berbudi bahasa.

Kawan berundur diam-diam

Kemenangan rakyat melalui undi bukanlah jaminan faedah kepada rakyat. Kuasa rakyat tidak boleh melangkaui kuasa kaum birokrat. Perubahan politik tidak memberi kesan terus kepada kaum birokrat.

Kaum birokrat tidak akan hilang kuasanya sebagaimana yang berlaku kepada ahli politik yang kalah dalam pilihan raya. Kaum birokrat dilingkungi kuasa birokrat yang mereka bina sendiri.

Kejatuhan regim BN meletakkan kaum birokrat dalam transisi - sama ada meneruskan kerjasama dengan rejim lama atau berubah kepada yang baru. Dalam tempoh setahun dua ini, kaum birokrat bersikap tunggu dan lihat.

Dulu kaum birokrat terikat dengan kuasa politik yang memaksa mereka bekerjasama untuk memperolehi kepentingan bersama.

Slogan PH yang mahu memberi kebebasan kepada kaum birokrat adalah pintu untuk mereka bebas membolot faedah daripada jabatan masing-masing.

Pada peringkat ini, slogan tersebut sebaliknya menyukarkan PH sendiri untuk menguasai kaum birokrat. Tambahan pula hubungan yang baru hendak dibina.

Gambar hiasan

Keserasian bukan mudah untuk ditemui dalam jangka pendek. Birokrat mengambil peluang itu untuk membina kekuasaan mereka secara perlahan tetapi berterusan.

Pada peringkat jangka panjang kerjasama antara ahli politik dengan kaum birokrat pasti terjalin. Dalam tempoh yang ada sekarang, kedua-dua kelompok masih berada situasi berhati-hati.

Selepas edah nanti barulah tempoh berhati-hati lupus, dan tunggulah wajah sebenar ahli politik dan birokrat.

Ahli politik boleh membuat sebarang dasar dan undang-undang. Namun proses penyediaan dan pelaksanaan undang-undang terletak di bawah kuasa birokrat.

Ahli politik tiada pilihan lain kecuali bekerjasama dengan birokrat atau mereka akan berhadapan kerenah yang pelbagai.

Gambar hiasan

Ahli politik yang ada kuasa dan memegang jabatan tertentu mulai dikelilingi birokrat yang memiliki jalur pemikiran dan pendekatan yang serupa bagi membentuk kerjasama baru.

Hubungan di antara ahli birokrat dan ahli politik adalah hubungan timbal balik.

Dengan jumlah kakitangan kerajaan ataupun birokrat lebih tiga juta orang, ini sudah cukup untuk menunjukkan bahawa kaum birokrat sangat berkuasa.

Jalur kerjasama di antara ahli politik dengan birokrat melewati perbezaan warna kulit, agama atau wilayah. Kerjasama wujud pada jalur kepentingan yang serupa.

Inilah ajaran asas kapitalis dalam sebuah sistem demokrasi.


Baca Penjilat, tukang kipas di keliling pinggang menteri


Kaum birokrat yang sedia berkuku dalam sistem pentadbiran negara akan membuat kaloborasi dengan ahli politik yang baru berkuasa. Kerja jahat kaum birokrasi lebih mudah jika dapat makan bersama.

Dalam proses inilah ahli politik terpaksa bersikap pragmatik dengan kaum-kaum birokrat yang jahat demi mengelakkan natijah yang lebih menyukarkan dalam melaksanakan kerjanya.

Secara perbandingan, ahli politik yang baru berkuasa mulai menerima pengaruh lingkaran kawan baru, iaitu kaum birokrat jahat.

Kawan lama yang berpegang dengan idealisma perjuangan, yang berkongsi sudah dan derita, mulai beransur-ansur mengundur diri atau menjauhi.

Mula-mula secara diam-diam. Lama kelamaan, kritikan dan kecaman secara terbuka mula merengangkan hubungan. Akhirnya pertikaman paling klasik antara Hang Tuah dengan saudaranya Hang Jebat pun berulanglah.

Kaum birokrat jahat membuka ruang fitnah dan prasangka sesama ahli politik. Jika ahli politik gagal mengurus permainan birokrat jahat, rakan seperjuangan mereka sendiri akan menjadi seteru baru.

Bukan tiada birokrat yang baik, ikhlas dan berintegriti. Ada.

Tulisan ini cuma amaran tentang angkara birokrat jahat dalam Malaysia Baru. Awasi kaum birokrat jahat itu, kawan!


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen