malaysiakini logo
story-image
ADS

Petang itu, saya sampai di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka tepat 15 minit sebelum mesyuarat dimulakan di tingkat 30. Sebagai pendatang, awalnya saya mengambil sikap sebagai pemerhati yang cuba menekuni persekitaran mesyuarat.

Saya kenal beberapa orang yang ternama dalam bidang bahasa. Ada dua orang sarjana yang kenal agak rapat. Manakala yang lain, saya tidak kenal.

Ahli mesyuarat sudah diberi salinan minit mesyuarat seminggu lebih awal bagi membuat semakan ataupun menyediakan saranan yang sesuai dalam mesyuarat.

Sepertimana dalam minit mesyuarat, perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat adalah soal bahasa. Ini membuatkan saya bertambah asing dan terpencil. Terlalu teknikal. Rinci.

Sesampai ke agenda ‘perkara lain-lain’, sayapun angkat tangan meminta izin Pengerusi Mesyuarat memberi laluan untuk saya bercakap. Inilah kemahiran orang politik yang paling utama: bercakap.

Orang politik akan lemas jika tidak bercakap atau tiada sesiapa yang mahu orang mendengar percakapannya. Oleh sebab itu orang politik selalu mencipta banyak acara bercakap.

Hingga banyak acara perasmian yang dilakukan demi kelangsungan tabiat itu walaupun tidak perlu. Anehnya, ramai pula yang bertepuk tangan setiap patah kata ucapan itu.

Malangnya sebuah bahasa

Sebagai orang politik kerajaan, saya perlu mengubah kaedah mengeluarkan idea. Lainlah kalau sebagai parti pembangkang. Antara kelebihan ahli politik pembangkang ialah tiadanya tanggungjawab sosial selain mengkritik, menghentam atau menasihat (untuk kelihatan lebih sopan).

Tanggungjawab ahli politik kerajaan mencari penyelesaian dan membuka ruang untuk masyarakat berkembang maju. Adalah malang sekali jika ahli politik kerajaan bersikap dan bertindak seperti pembangkang.

Ini juga tidak bermakna harus menjadi pembodek, pak angguk dan menurut tanpa soal. Perlu ada keseimbangan dan kebijaksanaan.

Walaupun 'parti nyamuk' yang saya anggotai ini adalah sebahagian kompenan parti pemerintah, saya mahu menjadi seekor nyamuk yang membawa maut pada Namrud. Atau sekurang-kurangnya bunyinya menganggu orang yang lena tidur, yang tidak sedar-sedar malangnya sebuah bahasa.

Mesyuarat itu adalah mesyuarat pertama Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) di bawah kerajaan Pakatan Harapan. JKTBM ditubuhkan pada 23 Disember 1972 selepas termaterainya perjanjian antara Malaysia dan Indonesia.

Hussein Onn merangkap Menteri Pelajaran Malaysia mewakili kerajaan Malaysia dan Mahsuri S.H. sebagai Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonsia mewakili kerajaan Indonesia. Sudah lebih 40 tahun berada di persada negara. Kemudian Brunei menyertai jawatankuasa itu pada tahun 1985.

Tugasnya adalah merancang korpus bahasa Melayu seperti ejaan, istilah dan tatabahasa. Keduanya mengadakan kerjasama serantau (Indonesia dan Brunei) dan membuat perakuan yang difikirkan perlu mengenai dasar-dasar bahasa kepada Menteri Pendidikan Malaysia. Ini suatu amanah yang besar dan mencabar dalam suasana kebahasaan yang gersang dan malang.

Anggotanya adalah lantikan Menteri Pendidikan Malaysia yang terdiri daripada tiga ex officio daripada DBP dan dua lagi dari Kementerian Pendidikan Malaysia. Manakala sepuluh orang lagi daripada pelbagai bidang yang mempunyai iltizam tinggi untuk kemajuan bahasa Melayu.

Bahasa adalah kuasa

Paling utama JKTBM perlu mengembangkan sayapnya ke pohon rendang yang menjadi pasak dalam bidang kebahasaan. Menyelusuri perkembangan bahasa kebangsaan, banyak persoalan bahasa hanya berteduh atau berpijak pada dahan yang rapuh. Kebergantungan kepada ahli politik membawa gagasan utama bahasa bersifat sementara. Ada pasang surutnya.

Bahasa bukan sekadar persoalan budaya, identiti tetapi adalah persoalan kuasa. Bahasa Melayu tidak sekadar sebagai bahasa kebangsaan mengikut Perlembagaan Persekutuan tetapi seharusnya dibudayakan dan memiliki iltizam budaya yang kuat dalam kerangka negara.

Bahasa bukan juga sekadar persoalan kebahasaan dalam konteks tatabahasa, lingustik dan seumpamanya. Atas dasar kepentingan bernegara, persoalan kebudayaan disarankan dengan penuh serius supaya diangkat sebagai agenda utama negara.

Manakala kuasa tidak wajar disandarkan dengan orang politik semata. Bahasa itu sendiri adalah kuasa. Bahasa yang mempunyai tradisi panjang seperti bahasa Melayu sebenarnya memiliki kuasa dalam jiwa masyarakat.

Memisahkan diri dengan bahasa ibunda bermakna menceraikan keupayaan untuk jauh ke hadapan, bersaing dalam dunia yang mencabar.

Jiwa yang lemah dan separuh mati itu harus dibangkitkan dengan akal dan budi. Bukan dengan perasaan kemarahan dan romantisme. Sudah cukup meraung dan merengek. Lelah mendengarkannya.

Penjajahan dan kebekuan pemikiran antara sebab yang sangat menyukarkan seseorang bebas daripada ikatan sistem tinggalan penjajah yang membentuk kerangka politik dan pemikiran perkauman begitu tebal dan sukar untuk dipecahkan.

Meskipun sesetengah mereka bercakap di atas pentas dengan hujah demokrasi, keadilan dan kesaksamanan tetapi hakikatnya itu hanya retorik. Itulah manusia yang tiada bahasa dan jahil dalam memahami sejarah negara.

Kita perlukan masyarakat yang berbahasa.

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga.
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen