malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
ADS

Saya dari keluarga suku perut Biduanda Negeri Sembilan. Konsep suku dan perut muncul dari adat Perpatih. Perut dan suku bertujuan untuk mengenal asal usul keturunan.

Biduanda ialah suku orang asal Negeri Sembilan. Sesiapa dari perut suku Biduanda bermakna asal usul mereka adalah dari Orang Asli suku Semang, Sakai atau Jakun.

Ada 11 lagi suku yang wujud di Negeri Sembilan. Kesebelas suku ini merupakan suku pendatang. 

Suku Tiga Nenek, Paya Kumboh, Sri Melenggang, Batu Belang, Sri Lemak, Anak Acheh, Batu Hampar, Mungkal, Anak Melaka, Tanah Datar dan Tiga Batu - semuanya berasal usul keturunan dari Tanah Seberang.

Kami menggunakan konsep Tanah Seberang. Bukan Sumatera atau Indonesia. Sumatera dan Indonesia ini adalah konsep baru dan moden. Ini bukan perkataan yang saya dengar ketika saya membesar.

Datuk Undang mesti berdarah Orang Asli

Dari kecil-kecil lagi saya telah diajar oleh arwah nenek saya tentang bezanya kami - orang Melayu dengan 'Rayat'. Perkataan 'Rayat' ialah panggilan orang Negeri Sembilan untuk Orang Asli suku Sakai, Semang dan Jakun. 

Nenek saya menerangkan kami menerima Muhammad sebagai penghulu. Nenek saya menggunakan perkataan penghulu untuk memberi kefahaman. 

Ini konsep tempatan yang mudah difahami. Perkataan nabi tidak memberi apa-apa makna kepada kami Orang Sakai.

Di Negeri Sembilan hanya mereka yang lahir dari suku Biduanda - dari darah Orang Asli - yang boleh menjadi Datuk Undang. Empat orang Datuk Undang ini - Jelebu, Rembau, Johol dan Sungai Ujung - berhak untuk melantik Yang DiPertuan Besar.

Justeru, Yang DiPertuan Besar ini bukan raja dan bukan sultan. Sosok ini dipertuankan mengikut adat istiadat Perpatih. 

Adat istiadat suku dan Datuk Undang telah mula dirakamkan secara bertulis semenjak 1700. Ini lama sebelum Mat Salleh masuk menjajah Tanah Melayu.

Apa yang menarik di sini adalah sikap sebelas suku pendatang yang menghormati Orang Asli. Mengikut jumlah angka pasti suku pendatang dari Tanah Seberang ini lebih ramai dan lebih maju adat istiadatnya.

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni

Malah Adat Perpatih datang dari Tanah Seberang. Tetapi kesebelas suku pendatang ini menobatkan suku Orang Asli - Suku Biduanda - menjadi kepala memilih sosok yang akan DiPertuankan oleh semua.

Apa tujuan saya merakamkan sejarah dan adat istiadat ini? Apa sangkut pautya dengan politik hari ini? 

Ada apa kisah ini bersangkut dengan pembunuhan di New Zealand? Ada kaitan apa adat lama dengan zaman pasca moden?

Sebenarnya di belakang konsep suku dan adat Perpatih ini ada ajaran terbaik daripada datuk nenek-moyang kita. 

Ke bukit sama didaki ke lurah sama dituruni. Bulat air kerana pembetong bulat manusia kerana muafakat. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. 

Ajaran - bumi dipijak dan langit dijunjung ini - menjadi azimat kepada saya ketika saya merantau dan berkelana di merata tempat dalam dunia ini. 

Pada hemat saya ajaran ini masih tepat untuk dipakai oleh anak semua bangsa dan bangsa semua agama dalam dunia yang dilihat semakin kacau.

Saya sampai ke Belgium pada awal 1980’an sebagai pelarian politik. Di Belgium saya bertemu dengan warga dari India, Pakistan, Ghana dan Nigeria yang sama memohon suaka politik.

Bergantang-gantang mereka datang dari India, Nigeria, Iran dan Pakistan. Semua mendakwa mereka diseksa dan dianiayai oleh kerajaan mereka. 

Hakikatnya satu dunia tahu ada di kalangan mereka ini bukan pelarian politik dalam erti kata sebenar. Mereka ini bukan aktivis parti tapi datang untuk mencari kerja di Eropah. Mereka pelarian ekonomi.

Negara kafir sekular

Negara seperti Sweden, Norway dan Denmark ditakrif sebagai negara kafir sekular. Negara sekular ini telah membuka pintu negara mereka kepada ramai pelarian. 

Negara sekular kafir laknat ini dengan baik hati menyambut pendatang baru dengan hati terbuka. Ahlan wa sahlan.

Semua kemudahan disediakan. Dari pengalaman saya sendiri, dalam masa tiga minggu sesudah menjejakkan kaki ke Belgium, saya telah mendapat dokumen perjalanan dibawah Perjanjian Bangsa Bersatu 1955.

Saya mendapat hak belajar. Saya mendapat dana untuk hidup dan belajar bahasa Perancis serta masuk universiti. Saya mendapat hak sama seperti warga Belgium kecuali saya tidak dibenarkan pulang ke Malaysia.

Semua ini disediakan oleh negara kapir laknat. Kerajaan kafir ini tidak mengambil kira apa agama kamu, percaya pada tuhan atau tidak percaya pada tuhan, apa bahasa kamu, apa keberahian seks kamu - suka lelaki atau suka perempuan - atau apa yang kamu makan dan minum.

Yang penting dan menjadi dasar sosial dalam negara seperti Sweden, Jerman, United Kingdom adalah kebajikan pendatang baru. Kerajaan sekular ini memastikan kebajikan pendatang baru ini dijaga dan diberi perhatian. Amin.

Hak kebajikan ini menjadi besi berani yang menjemput puluhan ribu pendatang baru ke benua Eropah. Semuanya mengaku sebagai orang pelarian. Ada yang sahih sebagai pelarian politik tetapi majoritinya pelarian ekonomi.

Sesudah Perang Teluk kita lihat semakin ramai orang pelarian menerbus masuk ke Eropah. Mereka ialah mangsa perang di Afghanistan, Iraq, Syria, Libya, Somalia. Mereka menuju ke negara kafir - ke negara sekular Eropah.

Seharusnya sikap pendatang baru ini wajib sama saperti sikap pedatang dari Tanah Seberang lima ratus tahun dahulu yang diterima baik oleh Orang Asli Sakai, Jakun dan Semang di Negeri Sembilan. 

Maknanya mereka mengamalkan budaya di mana bumi dipijak di sana langit dijunjung. Tetapi, tidak semua pendatang baru dan orang pelarian ke negara Eropah ini faham dan bersedia mengamalkan budaya di mana bumi dipijak di sana langit dijunjung.

Membersihkan aib

Justeru kita terbaca bagaimana Fadime Sahindal telah dibunuh oleh ayahnya di Sweden pada tahun 2002. Kesalahan anak gadis ini kerana dia ada kekasih. 

Ayahnya pendatang dari Kurdistan yang membawa budaya kolot - mengurung anak perempaun di dalam rumah. Kerana ada kekasih maka anak gadis sendiri dibunuh.

Warga kafir Sweden pada 14 Julai 2017 telah terperanjat apabila media melaporkan bagaimana Ramin Sherzaj telah diculik dan dibunuh. 

Anak muda dari Timur Tengah ini dibunuh kerana dia menjalin hubungan cinta dengan isteri orang yang kemudiannya menjanda.

Pembunuhan genre ini dinamakan - membersihkan aib (honour killing). Ini budaya Arab. Ini budaya India. Ini budaya Pakistan. 

Ini bukan budaya kafir Sweden. Budaya kolot ini sah bukan budaya Jakun dan Sakai dari Negeri Sembilan walau pun kami satu ketika dulu makan tupai dan babi.

Benih fikiran ekstremis

Mengikut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 2000 seramai 5000 perempuan telah menjadi mangsa ‘membersihkan aib' di Timur Tengah, India dan Pakistan. 

BBC telah melaporkan data statistik dari tahun 2010 - 2014, terdapat 11,744 kes jenayah membersihkan aib ini berlaku di United Kingdom.

Apa makna perkara yang saya tulis ini?

Maknanya ini merupakan manifestasi akibat daripada kehadiran pendatang baru orang pelarian ini gagal mengamalkan budaya di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Cuba bayangkan: Pada satu ketika tiba-tiba masyarakat Cina di Malaysia ini enggan menerima bani Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu. 

Mereka mentakrif bahawa kita semua pendatang atau tidak mahu menerima bahasa Melayu sebagi bahasa negara ini.

Maka akan bersuaralah Perkasa. Akan bertempiklah Isma. NGO Melayu akan mengumpul kekuatan. Maka akan muncul gerakan ekstremis anti bani Cina. Suara-suara ekstremis ini mahu bani Cina dihantar pulang ke tanah asal usul mereka - Tanah Besar China.

Sebenarnya benih dan fikiran ekstremis ini sentiasa wujud. Prejudis dan prasangka dan bencikan orang asing ini wujud dalam semua masyarakat negara bangsa. 

Di Timur, di Barat, di Eropah atau di Timur Tengah - sekular atau bukan sekular - perasaan bencikan ‘yang lain yang asing’ ini wujud.

Justeru - yang menyuburkan benih ekstremis ini ialah ‘orang lain - the other’. Kesampaian orang lain ini menjadi biduk yang memecahkan kiambang. Perangai dan tingkah laku - orang lain dan pendatang baru ini - yang amat berlainan dengan budaya tempatan membajai fikrah ekstremis ini.

Di Malaysia - orang luar - pelawat dan pelancong - yang datang melawat Masjid Negara diminta menggunakan pakaian yang sopan. Bila masuk ke masjid wajib membuka kasut.

Kalau kita ke negara Arab kita juga wajib memakai pakaian yang bukan mendedahkan badan. Ini adat tempatan. Anak semua bangsa wajib menghormati tata susila tempatan.

Maka dalam konteks yang sama kita jangan marah - menuduh si Mat Saleh dan si Minah Saleh rasis apabila kita membaca laporan agensi berita pada 23 Ogos 2016. 

Berita melaporkan tentang polis Perancis telah memaksa dua wanita membuka burka mereka ketika mandi di pantai Nice. Kerajaan Perancis melarang penggunaan burka di tepi pantai milik mereka.

Bogel, tayang buah dada

Kita wajib bercelana pendek dan berbikini jika mandi-manda di pantai Laut Tengah. 

Ada yang berbogel dan ada yang menayangkan buah dada. Ini budaya Eropah. Ini tata susila tempatan. Kita wajib menghormati budaya di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Kalau warga kafir boleh berjubah ketika melawat Masjid Negara, kenapa sesiapa yang mahu ke pantai Nice Peranchis tidak mahu memakai seluar pendek atau baju mandi. Kalau tak mahu memakai pakaian mandi jangan datang mandi-manda ke pantai mereka.

Ini sama dengan kita. Jika kamu tidak suka memakai jubah untuk melawat Masjid Negara jangan melawat. Khalas.

Kini dengar pula ada ura-ura untuk memunculkan hukum syariah di United Kingdom. 

Jika tidak suka undang-undang yang membenarkan lelaki kahwin lelaki dan perempuan kahwin perempuan, atau tidak suka budaya LGBT di United Kindgom, kenapa kamu gila-gila hendak berpindah dari Pakistan ke Manchester? Kenapa kamu tidak pindah ke Arab Saudi?

Atau kenapa kamu gila-gila nak masuk belajar ke Oxford atau Cambridge?Pergilah belajar ke Libya, Sudan atau Pakistan.

Datuk nenek-moyang saya Orang Asli dengan bijak telah melahirkan adat untuk ikutan anak cucu cicit. Adat ini dipatuhi bukan kerana dijanjikan perempuan cantik lagi bergetah sebagai hadiah. Jika adat ini tidak dipatuhi tidak pula dirotan atau dipancung lehernya.

Kepada pendatang dan ‘yang lain - the other’ mereka patut menghayati budaya di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Ini untuk kesejahteraan umat dalam dunia yang makin berasak-asak.

Saya beri ingatan ini kerana ada hantu raya sedang menunggu untuk membuat kacau. Siapa hantu raya ini? Tunngu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen