malaysiakini logo
story-image
ADS

Sebenarnya antara pemimpin Umno yang awal awal mencadangkan Umno “kahwin” dengan PAS (dalam erti kata lain menggunakan istilah kahwin) ialah seorang yang dikenali sebagi “Datuk Rauf”.

Tidak dapat dipastikan samada “Rauf” yang dimaksudkan itu ialah bekas setiausaha kerja Umno atau “Rauf” yang lain.

Apa pun, cadangan itu ditolak oleh Setiausaha Agung Umno Annuar Musa. Seperti yang dihurai dalam artikel saya di ruangan ini dua minggu lalu.

Imbas kembali. Kata Musa beliau tidak setuju kerana “dalam perkahwinan mesti ada jantan (lelaki), ada tino (perempuan)” Umno dan PAS kata Annuar “bagai adik beradik dan sama sama anak jantan nak kahwin bagaimana?”

Namun itu tidak menghalang Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan daripada mengumumkan Umno dan PAS sudah kahwin.

Kini setelah hampir tiga minggu berlalu sejak pengumuman perkahwinan itu dibuat, presiden PAS Abdul Hadi Awang akhirnya bersuara.

PAS dan Umno kata beliau tidak boleh kahwin kerana “perkahwinan ” itu akan menjadi “sumbang mahram memandangkan kedua dua parti seperti adik beradik”.

Diakui ini semua hanya mengenai "istilah". Namun istilah yang tepat diperlukan untuk menggorak langkah seterusnya.

Kelantan lain, Terengganu lain

Mohamad baru baru ini mencadngkan pula pembentukan “kerajaan penyatuan ummah” di negeri yang diperintah Umno dan PAS. Seperti kita semua tahu Umno mentadbir Perlis dan Pahang manakala PAS membentuk kerajaan di Kelantan dan Terengganu.

Dalam lain, perkataan pembentukan “kerajaan bersatu” atau “unity government” atau UG - istilah yang digunakan untuk sekian lama. Malah digunakan sejak 2008 ketika kerajaan BN tumbang di Selangor.

Tetapi Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah pula dipetik berkata di Kelantan, Umno masih pembangkang.

Lantas beliau membayangkan Umno mungkin “jadi pembangkang yang mesra kerajaan” di Dewan Undangan Negeri Kelantan walaupun parti itu mengesahkan kerjasama dengan PAS.

Maksudnya Umno tetap pembangkang, bukan anggota kerajaan penyatuan ummah atau UG. Sekurang-kurangnya di Kelantan kerana Mohd Amar becakap mengenai negeri itu dan bukannya Terengganu.

Dalam pekembangan berkaitan pemerhati PAS dan penulis buku politik berpengalaman Mohamad Sayuti Omar tampil dengan cadangan menarik.

Menulis dalam blognya, Sayuti mengutarakan apa yang beliau panggil sebagai Formula 2,2,2,1 yang pada pandangannya boleh digunakan untuk kerajaan gabungan PAS-Umno.

Ini membabitkan rombakan barisan exco oleh PAS dan Umno di negeri mereka memerintah.

Di Kelantan kata Sayuti PAS boleh melantik dua (daripada lapan) Adun Umno menganggotai kerajaan negeri sebagai anggota exco. Untuk melihatkan PAS lebih terbuka, kata Sayuti mungkin “jawatan untuk Umno bukan sekadar anggota exco tetapi juga sebagai timbalan menteri besar.”

Pengorbanan besar

Begitu juga di Terengganu kata Sayuti PAS boleh memberi dua jawatan exco kepada wakil Umno. Umno ada 10 Adun di Terengganu. Untuk membuktikan keikhlasan, PAS disaran memberi portfolio penting kepada sekutunya itu.

Sementara di Pahang dan Perlis yang diperintah BN, Sayuti berkata, Umno pula mesti melakukan perkara yang sama dengan melantik dua Adun PAS menganggotai exco negeri.

Di Perlis cukup satu jawatan exco diberi kepada PAS berdasarkan jumlah kerusi DUN yang kecil. Itu kata Sayuti yang beliau maksudkan dengan Formula 2,2,2,1.

Namun untuk formula itu dilaksanakan pengorbanan besar diperlukan daripada Umno dan PAS.

Tidak dinafikan ia bukan sesuatu yang mudah dan kemungkinan besar akan menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan kedua dua parti khususnya mereka yang terbabit secara langsung.

Bukan senang untuk gugurkan anggota exco sedia ada dan digantikan oleh orang parti lain. Setakat ini tidak ada reaksi Umno mahu pun PAS terhadap cadangan itu.

Mungkin Umno yang harus mengambil langkah pertama di Pahang dan Perlis? Kerana cadangan mengwujudkan kerjaaan penyatuan ummah datang daripada Mohamad , pemimpin nombor satu Umno masa kini. Waullahualam.

Atau Umno dan PAS boleh menambah jumlah portfolio di Pahang, Perlis, Kelantan, Terengganu untuk “menampung” penambahan jumlah anggota exco.

Bagaimanapun ini akan menelan perbelanjaan besar - sesuatu yang membebankan kerajaan sekali gus rakyat.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen