malaysiakini logo
story-image
ADS

Apabila melihat perdana menteri New Zealand bertudung litup semasa datang melawat kelurga mangsa serangan pengganas tempoh hari, hati kita menjadi sedikit aman.

Simpati yng ditunjukkan beliau pada saat kita semua amat memerlukannya, membuatkan kita berasa bahawa masih ada tersisa kemanusian dalam kalangan orang banyak.

Begitu juga apabila ada orang perseorangan dan juga kumpulan manusia yang segera keluar menunjukkan sokongan.

Tidak kurang juga kalangan yang sudi memberikan perlindungan kepada orang Islam semasa menjalani rutin ibadat mereka.

Malah kumpulan samseng bermotosikal yang terkenal lasak, Mongrel Mob, turut menyatakan kesedihan atas kejadian di Christchurch tersebut.

Kemudian kita lihat pula seluruh rakyat New Zealand bersedih atas peristiwa tersebut. Dan sebagai tanda sokongan azan dikumandangkan sempena solat Jumaat kelmarin.

Begitu sebenarnya yang kita mahu. Tidak banyak, sekadar cukup untuk menenangkan hati kita yang sedang rawan ini. Tidak menambah luka seperti yang dilakukan oleh politikus dari Australia dan juga politikus bodoh dari DAP tempoh hari.

Api marak sepatutnya disiramkan air, bukan dipanaskan lagi dengan kata-kata dungu untuk kepentingan politik.

Teladan dari negara jauh

Tentu saja kita masih sedih dan marah apabila mereka - yang tanpa ada niat selain ke rumah tuhan untuk mengabdikan diri kepada-Nya - dibunuh begitu rupa.

Teramat pula kesedihan kita apabila anak-anak kecil yang tidak mengerti apa-apa dikorbankan dek kebencian yang meluap-luap kepada agama pegangan kita.

Seperti yang kami katakan dalam artikel lalu, kebencian kepada satu-satu bangsa hanya boleh dihapuskan apabila kita semua sudi hidup sebagai manusia.

Di mana pun kita berada - jika kita faham - tidak ada sesiapa pun yang ingin hidup dalam dendam, sentiasa curiga sesama sendiri dan saling menunggu peluang untuk menjatuhkan orang lain.

Bersegera masuk ke persekitaran aman tatkala bencana benci melanda merupakan jalan paling benar. New Zealand menunjukan caranya.

Terpulang kepada kita sama ada mahu mengikut contoh tersebut atau terus bergaduh siang dan malam.

Paling lahanat, kita ini seperti dikuasai oleh politik siang dan malam.

Politik hanya satu bab paling kecil dalam kehidupan. Ketepikan itu dan tentu sekali kita beroleh hidup tersangat aman.

Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kepada New Zealand yang mengambil jalan menjernihkan keadaan. Mereka membenamkan kebencian (kepada Islam) dengan cara - yang ironinya - diajar oleh Islam sendiri.

Apabila disakiti, bersegera mencari salah pada diri sendiri dan tidak tergesa-gesa menunding jari kepada orang lain.

Dituduh cuma wayang 

Kita di Malaya ini masih belum terlambat untuk sembuh daripada luka yang kita cipta sendiri. Kita diajar untuk berpuak dan disuruh untuk memperjuangkan hak puak kita melebihi puak lain.

Lupa kita kepada kesaksamaan yang dibawa oleh agama. Lupa bahawa iman dan takwalah yang nantinya menjadi pemisah kita sesama manusia.

Kami bukanlah sesiapa yang mahu memberitahu kamu semua perihal baiknya menjadi manusia aman. 

Cuma menjadi tanggungjawab kami untuk bersama mereka yang tidak memandang warna bulu, darah keturunan atau cerdik bodohnya seseorang sebagai alasan untuk mereka dipinggirkan atau diutamakan.

Lupakan agama Melayu, agama Cina atau seumpamanya. Berasa malulah dengan ada orang bukan Islam - yang tanpa mereka sedari - sedang mengamalkan saranan dianjurkan Islam ketika musibah datang kepada mereka.

Ada suara kecil yang mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan New Zealand adalah wayang bagi menutup kemarahan umat Islam.

Namun jika wayang itu boleh membawa kita semua kembali aman, apa salahnya?

Salam takziah kepada keluarga mangsa pengganas di New Zealand. Semoga mereka mendapat kerehatan yang abadi.

Takziah khas kami ucapkan kepada keluarga Muhammad Haziq Mohd Tarmizi yang turut terkorban dalam peristiwa malang di Christchurch tempoh hari.

Melalui artikel ini kami ingin menjemput semua untuk menghadiri acara seni yang diberi nama Fiesta Seni Peluang yang akan berlangsung pada 23 dan 24 Mac ini di 1686, Jalan Gajah 10, Kampung Kubu Gajah, 47000, Sungai Buluh, Selangor.

Acara yang disertai lebih 100 pengkarya seni akan bermula pada jam 11 pagi hingga 6 petang. Masuklah secara percuma.


ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis, penulis, penyair and all around good guy.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen