Pengiklanan

    Sebelum dimakan ulat

    (Dikemaskini )

    Kita tidak nampak apa yang berlaku di Chirstchurch, New Zealand, sebagai apa yang mungkin akan berlaku di tempat kita. Kita berasakan peristiwa malang sebegitu hanya akan berlaku di negara jauh.

    Keyakinan bahawa kitalah bangsa yang paling berhak ke atas tanah ini adalah benih yang akan membentuk fikiran yang nantinya akan menghasilkan manusia seperti lelaki yang tanpa rasa bersalah membunuh lebih 40 orang yang sedang beribadat di masjid New Zealand itu.

    Saban hari kita jeritkan bahawa kitalah empunya negara ini. Betapa datuk nenek kitalah pembuka tanah ini. Kita masih asyik dalam mabuk kegemilangan masa lalu, sedang negara ini sudah berubah.

    Negara kita kini didiami manusia dari seluruh alam dan memanggil ini tanah air mereka. Semua orang memberi sumbangan dalam membangunkan negara ini.

    Kami tidak saja bercakap mengenai Melayu semata-mata. Bangsa lain yang duduk diam dalam negara ini juga harus faham bahawa mengagungkan bangsa sendiri adalah tapak untuk benih pelampau mula diternak.

    Kami jadi tidak faham apabila sebuah negara yang kononnya mahu bersatu masih lagi mendewakan partai-partai politik mengikut suku, mengikut bangsa.

    Berlagak tak tentu fasal

    Mengapa selepas lebih 60 tahun merdeka kita masih tidak berani dan menjadi penakut untuk duduk dalam politik yang tidak memandang bangsa?

    Kita masih berbangga dengan empayar Melaka. Masih leka mendabik dada dengan dinasti Ming, padahal kamu langsung tidak ada apa apa sumbangan atas kejayaan mereka kecuali hak untuk berbangga-bangga saja.

    Bodohnya kamu adalah seperti seorang perempuan yang bangga dilahirkan cantik. Berlagak dengan sesuatu yang langsung tidak diusahakan.

    Tidak habis-habis kita bertekak tentang Kuala Lumpur siapa yang punya. Yap Ah Loykah atau Sultan Puasakah. Seolah-olah seperti itu teramat sangat pentingnya.

    Kamu ingat Parameswara dan Maharaja Ming peduli pejuangan kamu menaikkan nama mereka? Yap Ah Loy, Sultan Puasa, Parameswara dan Maharaja Ming sedang sibuk dengan urusan masing-masing dalam kubur masing-masing. Tidak penting langsung perjuangan kamu kepada mereka.

    Akan sentiasa tegak orang yang termakan dek kata-kata politikus bahawa ada satu bangsa lebih mulia daripada bangsa lain dan mereka ini kemudiannya - sedikit demi sedikit - akan yakin bahawa mempertahankan hal bangsa mereka adalah perjuangan suci.

    Mereka rela membunuh kerananya. Itulah yang berlaku di New Zealand kelmarin.

    Semua dikaitkan dengan bangsa

    Hari ini telah ada orang yang - kerana benci kepada sesuatu bangsa - dengan terbuka menghina agama sekian-sekian bangsa. Kebencian itu datang daripada rasa tidak puas hati kerana berasakan sekian bangsa itu diberi keutamaan melebihi bangsa lain.

    Masing-masing berasa dianiaya. Masing-masing berasa malang kerana tinggal dalam negara ini. 

    Maka masing-masing menjerit biar suara bangsa mereka didengar untuk mendapat sedikit keuntungan sambil tidak mahu peduli akan sihat sakitnya negara ini.

    Mungkin benar, datuk nenek kamulah yang memerdekakan negara ini dan besarlah jasa mereka itu. Namun selepas itu, apa?

    Hampir semua masalah di negara kita ditunjangi perasaan bangga akan bangsa. Semua mengaku hero dalam semua hal, dan politikus menjadikan ia sebagai modal untuk memenangi hati kamu.

    Seperti yang kami katakan tadi, ada sebilangan orang akan benar-benar termakan dek sentimen perkauman itu dan mengambil serius peri pentingnya satu-satu bangsa di atas bangsa yang lain.

    Jika ini tidak dibendung hari ini, maka percayalah, sedikit hari nanti kita akan melihat apa yang berlaku di Christchurch itu terjadi pula di negara kita.

    Berhentilah berbangga dengan bangsa kamu. Melayukah, Cinakah, Indiakah, Kadazankah. Akhirnya kamu semua adalah makanan ulat dalam tanah.

    Tidak ada siapa yang peduli setelah kamu semua menjadi bangkai.

    Yang penting ialah hari ini. Hari yang sedang kamu lalui. Mahukah kamu sentiasa hidup dalam dendam tidak sudah hanya kerana kamu berasakan bangsa kamu lebih berhak kepada sesuatu, malah lebih lagi?

    Hiduplah dalam aman. Pedulikan bangsa dan jadilah manusia.

    Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa-mangsa serangan pengganas di Christchurch.

    Artikel kali ini dihiasi oleh foto-foto yang diambil semasa kami ke Fort Kochi di Kerala, India, bagi menghadiri acara Kochi Biennale.

    Biennale adalah acara dwitahunan satu-satu acara seni catan.


    ABDULLAHJONES ialah rakyat Malaya yang percaya bahawa hidup ini cuma sementara, dan yakin akhirat adalah abadan abada. 

    Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih