malaysiakini logo
story-image
ADS

Kalau tangan kita cedera, sama ada patah atau tergeliat atau apa-apa pun, apakah perkara yang kita tidak boleh lakukan?

Pertama, angkat barang tentunya. Dan sukan yang banyak menggunakan tangan, misalnya badminton, ping pong dan skuasy. Memang banyak perkara tak boleh atau sukar dilakukan apabila tangan cedera.

Tetapi ia bergantung juga pada tangan mana yang cedera. Kalau orang itu kidal, dan cedera di tangan kiri, susahlah dia nak buat kerja atau aktiviti lain. Jika tangan kanan yang kena, si kidal itu tak banyak masalah.

Kalau ada masalah pun, sedikit saja. Si Kidal memang jarang menggunakan tangan kanan untuk membuat kerja.

Begitu juga sebaliknya. Orang yang menggunakan tangan kanan - seperti kebanyakannya - akan kacau kalau tangan itu yang cedera. Kalau belah kiri, tiada masalah. Kerja seperti biasa.

Entahlah sejak kebelakangan ini saya teringat akan beberapa kawan lama yang kalau bercakap, dengan tangannya sekali 'bercakap'. Maksud saya bila mereka bercakap, tangan mereka turut digerakkan. Macam bersilat dan ada yang sepantas kilat.

Apatah lagi jika bercakap dengan penuh perasaan dan emosi, ketika berhujah menekankan sesuatu perkara.

Mereka ini kerap disakat oleh saya dan kawan-kawan lain. Kata kami, jika tangan diikat susahlah mereka sebab tak boleh bercakap. Atau tergagap-gagap.

Namun kami tidak benar-benar melakukannya - mengikat tangan mereka untuk lihat sama ada ia benar-benar begitu. Itu semua gurauan, hanya untuk menyakat.

Tetapi mungkin juga ada benarnya tanggapan kami itu.

Kerja tak jalan

Rupa-rupanya jika tangan patah atau cedera ada kemungkinan dia mengalami kesukaran untuk bercakap. Tidak boleh berhujah atau sukar meyakinkan orang lain yang mendengar hujah mereka.

Lalu mereka tidak boleh menjalankan tugas dengan berkesan apatah lagi jika mereka bekerja sebagai jurujual, pensyarah atau guru.

Semua pekerjaan ini memerlukan mereka bercakap dengan baik untuk meyakinkan mereka yang mendengar. Jadi bila terpaksa bercakap tanpa diiringi gerakan tangan, kepetahan mereka hilang.

Satu lagi golongan yang terjejas akibat pergerakan tangan terhad ini barangkali peguam.

Lalu jika mereka perlu ke mahkamah untuk mengendalikan perbicaraan, mereka terpaksa dan dengan berat hati meminta penangguhan. Sebabnya mereka sukar berhujah. Sakit tangan lidah kelu gamaknya.

Betulkah? Mungkin ya mungkin tidak. Kalau benar pun, bukanlah semua peguam begitu. Mungkin segelintir. Boleh jadi seorang sahaja.

Berkenaan dengan kawan saya yang bercakap "dengan tangan" itu, entah ke mana mereka sekarang. Sudah lama tak jumpa dan terputus hubungan.

Mungkin ada yang sudah jadi jurutera, juruterbang atau doktor. Mungkin juga ada yang jadi peguam.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen