malaysiakini logo
story-image
ADS

Bila Umno mula berbaik baik dengan PAS, istilah yang digunakan untuk menggambarkannya ialah “kerjasama “. Kalangan pemimpin kedua dua parti, pemerhati dan penganalis politik juga wartawan kerap menggunakan istilah itu.

Tapi ada juga yang menggunakan istilah “ gabung.” Antaranya Mohamad Sayuti Omar yang mengikuti perkembangan PAS berdekad lamanya. Malah beliau kerap, sejak awal lagi “menasihati” PAS bergabung dengan Umno tanpa berselindung berdasar tindak tanduk atau apa yang kedua dua parti itu lakukan.

Antara definasi “gabungan” yang diperolehi menerusi Google ialah “himpunan” dan “campuran”.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula pernah menampilkan istilah “cantum”. Definasi “bercantum” ialah “menjadi rapat ,bertaut semula” atau “menjadi sambung”.

Pencantuman juga membawa erti “penyatuan”. Namun gabung atau cantum agak berat untuk digunakan bagi menjelaskan apa yang Umno dan PAS lakukan.

Umno dan PAS bergabung atau bercantum membawa makna mereka disatukan. Daripada dua parti menjadi satu . Maka akan timbul pelbagai perkara yang mesti dibereskan.

Termasuk melahirkan satu perlembagaan baru sebagai panduan dan untuk digunapakai oleh sebuah parti baru. Dan tentunya juga bila dua parti jadi satu pengorbanan dalam pelbagai aspek amat diperlukan.

Cukup setakat itu. Hatta “kerjasama , cantum” dan “gabung” terus digunakan sehinggalah Mohamad Hassan , timbalan presiden Umno yang menjalankan tugas presiden parti tampil dengan istilah “kahwin”.

Ketika mengumumkan langkah Umno dan PAS merealisasikan kerjasama secara rasmi dan formal baru baru ini , beliau dipetik berkata “ kami sudah kahwin. Hantar cincin di Sungai Kandis ,bertunang di Seri Setia dan hari ini bersanding”.

Sungai Kandis dan Seri Setia yang dimaksudkan ialah dua pilihan raya kecil yang diadakan tahun lalu yang menyaksikan bibit bibit bentuk kerjasama Umno - PAS.

Jelas Mohamad atau di kalangan Umno dikenali sebagai Tok Mat berjenaka.

Isteri wajib taat suami

Menggunakan unsur jenaka untuk menghuraikan suatu langkah politik yang serius. Walau apa pun, bila cakap pasal kahwin timbul pertanyaan – siapa suami siapa isteri?

Ini memang penting kerana lazimnya si isteri wajib turut perintah si suami .Si suami ketua rumah. Dan bagi masyarakat orang Arab khususnya Arab Saudi bila berjalan sekali pun si isteri kena jalan di belakang suami.

Bukan sebaris berpegangan tangan. Ada orang pula kerap kahwin cerai. Cerai terus atau cerai kahwin lain. Dan oleh kerana Islam mengizinkan poligami ( tetapi dengan beberapa syarat tertentu) ada lelaki yang kahwin lebih daripada satu. Menikah dua, tiga malah empat isteri .

Seperkara lagi. Teringat laporan beberapa portal berita Februari lalu mengenai apa yang dikatakan setiausaha agung Umno Annuar Musa .

Beliau ketika itu mengulas satu cadangan pemimpin kanan parti yang mahu Umno dan PAS bernikah. Beliau tidak setuju.

Bercakap dengan loghat Kelantan , Musa berkata dalam perkahwinan “mesti ada jantan, ada tino" (ada lelaki ada wanita ).

Dan kata beliau , Umno dan PAS bagai adik beradik , sama sama anak jantan. Lantas kata Musa seterusnya “adik beradik , sama sama anak jantan , nak kahwin bagaimana ?”. 

Iya tak ya jugak. Takkan kahwin adik beradik. Sesama jenis pula. Same sex marriage kata orang putih. Nauzubillah min zalik.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen