malaysiakini logo
story-image
ADS

Dari mula hingga akhir, kerjaya seorang pesawah akan sentiasa dibantu subsidi. Justeru subsidi sudah sebati dan mendarah daging. Ia berakar umbi selama berdekad-dekad.

Semasa proses pemilihan benih padi, petani dibantu mendapatkan benih yang baik. Jika mahu mendapatkan benih di pasaran luar, petani terpaksa berbelanja sekali ganda lebih tinggi berbanding harga subsidi ditawarkan syarikat memonopoli pembekalan benih.

Setelah benih padi ditabur, sementara menunggu ia membesar benih itu perlu dibaja dan diracun. Semua baja dan racun adalah baja dan racun subsidi.

Setelah tiba musim menuai, petani sekali lagi mendapat subsidi harga padi. Setiap tan metrik padi yang dikumpulkan, petani akan mendapat subsidi sebanyak RM360.

Kali ini, kadar itu meningkat RM60 berbanding apa diberikan kerajaan lama. Bagi petani, kenaikan harga subsidi padi itu tidak memberi makna besar.

Kenaikan itu diiringi dengan kenaikan pemotongan hasil padi hingga 20 peratus setan.

Pengurangan subsidi baja dan racun pada kali ini tidak boleh diterima, apa pun alasan yang diberikan oleh kerajaan.

Tiada bunga manggar atau kompang

Tengah hari itu, setiausaha sulit menteri pertanian menghubungi saya untuk memaklumkan Pak Menteri akan hadir ke tempat saya keesokan hari.

Katanya Pak Menteri sendiri mahu menjelaskan masalah baja subsidi kepada petani.

Sesekali saya tertanya juga: di mana media, jentera kerajaan dan fungsi serta keberkesanannya sehingga menteri sendiri perlu memberi penjelasan? Saya tanya saja.

Memang kami tidak perlu menyediakan bunga manggar atau pasukan kompang untuk menyambut Pak Menteri. Segala persiapan dilakukan oleh agensi kementerian.

Biasanya memang begitulah, arahan menteri ibarat mantera yang mesti dipatuhi oleh kakitangan kerajaan.

Demonstrasi petani beberapa hari sebelum itu mengesankan hati Pak Menteri. Apatah lagi ada video yang menyiarkan rayuan Mak Cik Sitah yang berusia 72 tahun itu yang mahu bertemu dengan Pak Menteri.

Mak Cik Sitah mahu menyatakan sendiri permasalahannya sebagai petani kepada Pak Menteri. Ia bukan lakonan atau dibuat-buat. Bukan juga sandiwara. Mak Cik Sitah seperti juga Wak Ibas dari Sungai Besar yang menyerahkan surat kepada Pak Menteri sewaktu pelancaran Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya.

Seminggu dua ini, saya berhubung sendiri dengan Pak Menteri dan pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang tentang isu baja dan racun subsidi.

Ketua-ketua kampong di Pasir Salak mengeluh. Panas telinga mereka di warung kopi mendengar kutukan dan kata perli anak-anak kampung.

Leman anak arwah Pak Lebai Din pun bercakap.

Antara orang ramai dan kakitangan kementerian yang hadir di majlis menteri

"Bang, takkan tak boleh tolong kitaorang? Kan menteri tu kawan abang?" kata Leman yang sekarang jadi ketua kampung berkongsi rasa dengan saya.

Begitulah perkiraan mudah orang biasanya. Asalkan rapat dengan menteri, segala-galanya akan jadi mudah. Keyakinan bahawa menteri adalah lampu Aladin sudah tertanam dalam benak masyarakat Melayu khususnya.

Jika bukan pun lampu Aladin, menteri itu boleh juga diibaratkan seperti karung duit dan malaikat pembawa rezeki.

Anehnya dalam era Malaysia Baru, menteri pula seakan kehilangan kuasa sakti yang dimiliki oleh menteri-menteri yang lalu.

Baju sudah basah

Pak Menteri tidak seangkuh dan seganas seperti yang dibayangkan dahulu. Pak Menteri ini sangat terbuka, diplomasi dan mesra.

Semua permintaan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan hendak dipenuhi. Itu tidak mungkin. Pak Menteri wajar bermantera sakti.

Tengah hari panas bahang itu, Pak Menteri berjalan dari pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Seberang Perak ke stor simpanan baja yang agak jauh.

Pak Menteri diiringi ketua setiausaha kementeriannya dan puluhan pegawai. Sekali pandang, macam rombongan hendak menghantar pengantin pun ada.

Dalam perjalanan itu Pak Menteri sempat singgah menyapa orang ramai yang berada di kedai berdekatan. Dia bersalaman dan bersembang. Memang begitulah cara ahli politik meraikan orang ramai.

Entah berapa kali Pak Menteri berhenti, bersembang sebelum sampai ke pentas utama. Pak Menteri periksa kampit baja yang baru sampai dari kilang Nafas di Gurun.

Baja itu mesti sampai ke situ sebelum Pak Menteri sampai. Yang berswafoto pun ada.

Penat saya memerhati. Basah sudah baju dengan peluh dek terik matahari.

Ini adalah kali kedua Pak Menteri datang ke tempat kami sejak kerajaan baru tertubuh. Kali pertama, dia datang selepas kami jemput. Kali kedua ini, Pak Menteri datang sendiri.

Ucapannya ringkas dan bersahaja, tetapi sarat dengan makna - kepada petani dan juga kepada dirinya sebagai menteri.

Beberapa jurugambar meletakkan kemera dan memfokuskan kepada setiap butir kata dan riak wajah Pak Menteri dan juga yang mendengar ucapan menteri.

Selepas itu ada majlis simbolik penyerahan baja dan racun sabsidi kepada wakil-wakil petani. Majlis diakhir dengan makan tengah hari. Ada ikan haruan dan udang galah. Tetapi itu bukan ikan dan udang dari kampung yang airnya sudah sarat dengan racun kimia.

Pakat ramai-ramai masuk bendang

Ia ibarat sebuah kehidupan yang hilang pertimbangan akal fikiran. Segalanya macam mahu dipolitikkan.

Seusai majlis itu, Pak Menteri mahu pergi tengok bendang Mak Cik Sitah. Lalu, berderetan kereta membuntuti kereta Pak Menteri, lalu di lorong tanah di tengah sawah Seberang Perak.

Bagai sukan lumba kereta di kampung. Berterbangan debu-debu. Memang filem Hindustan.

Pak Menteri keluar dari kereta ‘roti john’ hitam milik kerajaan dan menyingsing seluar. Dia tanggalkan stokin dan kasut kulit hitamnya.

Awalnya saya hanya tengok saja. Kemudian beberapa pegawainya pun mula buka kasut dan membenamkan kaki ke lumpur berselut. Seorang demi seorang.

Ramai juga yang mengambil foto adegan kaki berselut tanah bendang.

Saya pun rasa bersalahlah pula. Sebagai orang tempatan dan membesar di kelilingi bendang, tidak manis pula jika saya tidak turut turun menyapa selut.

Akhirnya saya beralah dan terpaksa turun bersama Pak Menteri dan para pegawainya.

Gambar fail

Tidak beberapa lama, foto Pak Menteri dan kami pun tular ke seluruh pemilik telefon pintar milik orang pintar dan tidak pintar. Segera dikomen dan dipuji dengan segala macam fikiran.

Ada sinis mengatakan bahawa itu hanyalah lakonan politik murahan. Ada yang kutuk lebih teruk. Ini kerana kita sudah lama diasah bakat dan kemahiran mengutuk dan memerli.

Tidak dinafikan wujud juga suara menghargai tindakan segera Pak Menteri yang ikhlas, tetapi pada masa sama ada juga membodek. Itu lumrah alam politik yang sarat kepura-puraan. Kehidupan yang organik semakin hilang.

Masyarakat petani kita berkembang hidupnya dengan baja subsidi sekian lama. Baja kimia. Bukan baja organik seperti digunakan Wan Empuk dan Wan Malini berhuma dahulu.

Gambar fail

Masyarakat petani kita membangunkan hidupnya dengan racun sabsidi sekian lama. Racun kimia. Bukan alang-kepalang racunnya.

Dibunuh segala rumput-rampai dan serangga perosak. Hingga sepat, keli dan haruan tidak lagi dapat bernafas dalam bendang yang jernih dan bening itu.

Masyarakat petani hidupnya dengan segala macam kemudahan yang pelbagai. Tuhan kurniakan tanah subur. Kerajaan bantu petani kerana merekalah benteng kedua pertahanan negara selepas tentera.

Sawah bendang masyarakat petani adalah kubu negara. Pengeluaran padi adalah persoalan keselamatan makanan negara.

Masyarakat Malaysia tidak mampu berjuang mempertahankan kedaulatan negara dengan perut yang kosong nasi. Perut masyarakat Malaysia adalah perut jenis nasi.

Masyarakat perlu dibina dengan kehidupan yang organik. Kembali kepada keupayaan diri sendiri. Tapi jangan dikerat subsidi mendadak.

Perut dan otak sabsidi memang begitu fikirannya.


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen