malaysiakini logo
story-image
ADS

Tahniah kepada BN kerana telah memenangi kerusi DUN Semenyih bagi pilihan raya kecil (PRK) kali ini. Walaupun jumlah majoriti tidak tinggi, tetapi kemenangan ini memberi signal yang jelas kepada pemerintah bahawa orang-orang Melayu sudah mual dengan perangai pemimpin, khususnya menteri yang ada.

Tahniah juga kepada PAS kerana bersedia mengenepikan perbezaan ideologi politik demi agama dan bangsa. Perpaduan PAS dan Umno ini terbukti mampu menghasilkan natijah yang positif kepada bangsa Melayu dan ini menakutkan bangsa lain.

Polarisasi kaum

Sekali lagi kita melihat bagaimana polarisasi kaum yang begitu ketara – majoriti orang Melayu kekal menyokong parti pembangkang manakala orang Cina dan India kukuh menyokong parti pemerintah.

Walaupun sudah merdeka lebih enam dekad, politik negara masih lagi gagal meyakinkan kita untuk bersatu dan melihat beyond races dalam memilih pemimpin negara. Trend ini akan berterusan untuk jangka masa yang lama.

Pentingnya suara majoriti

Apa yang jelas ialah majoriti orang Melayu telah menolak kerajaan sedia ada dan suara majoriti ini tidak boleh dipandang enteng oleh para politikus jika mahu berkuasa.

Secara umumnya, orang Melayu tidak nampak menteri-menteri sekarang sebagai pembela nasib bangsa dan penganut agama majoriti; iaitu Melayu dan Islam.

Cemuhan terhadap bangsa Melayu yang bertubi-tubi khususnya dari Mahathir Mohamad sendiri cukup memilukan dan menjelikkan seolah-olah tiada langsung kebaikan dan kehebatan dalam orang-orang Melayu.

Lebih memeritkan lagi, menteri-menteri pula dilihat lebih senang melayan bangsa lain berbanding bangsa sendiri.

Ini seolah-olah kuman di laut disantuni sedangkan gajah di depan mata dibiar mati.

Sikap pemimpin-pemimpin DAP

Sikap menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin DAP juga tidak kurangnya dalam memainkan peranan kepada penolakan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mereka dilihat seperti rakuskan kuasa sehingga bini pun boleh diangkut dalam majlis rasmi! Banyak lagi isu yang melibatkan pemimpin DAP yang membuatkan rakyat, terutamanya orang Melayu tidak berpuas hati. Hakikat ini sukar unduk diselindungkan lagi.

Sikap kerajaan terhadap isu-isu besar

Sikap kerajaan PH terhadap isu-isu besar seperti UEC, Icerd, kematian Adib, penghinaan terhadap Nabi Muhammad dan sebagainya benar-benar mengusik jiwa dan nurani orang-orang Melayu dan ini tidak mungkin dapat dilupakan.

Mereka melihat agensi kerajaan seolah-olah tidak berfungsi dan tidak berdaya untuk menjaga maruah orang Melayu dan kesucian agama Islam. Apa sebenarnya yang berlaku di peringkat atasan pun kita tidak tahu. Tetapi seolah-olah ada 'sesuatu' yang besar sedang berlaku.

Secara umumnya, orang Melayu merasakan bahawa mereka kini terpinggir dan ditolak ke sebuah tebing yang tinggi yang menunggu saat-saat untuk jatuh. Perasaan ini semakin hari semakin mendalam dan tidak ada tempat yang lebih baik untuk diluahkan selain dalam PRK yang telah dan akan diadakan.

'Blame game' terhadap kerajaan dulu sudah basi

'Blame game' dan penghinaan terhadap kerajaan terdahulu sudah basi kerana rakyat sudah muak dan mereka menunggukan perubahan-perubahan yang telah dijanjikan untuk Malaysia Baru ini.

Malangnya, sehingga kini Malaysia Baru yang dijanjikan hanya indah khabar dari rupa. Idealisme yang diperjuangkan hanya relevan semasa susah tetapi tatkala jawatan dan habuan harta melimpah ruah di depan mata. Maka, idealisme ini dibuang jauh ke dalam lautan.

Laungan-laungan 'rule of law', integriti, 'seperation of power' dan ketelusan hanya tinggal di dalam sudut almari yang buruk.

Konklusi

Jelasnya, rakyat rasa tertipu dan dipermainkan oleh pemerintah terutamanya orang Melayu yang teruk dilanda masalah ekonomi.

Kini mereka sudah nyatakan melalui peti-peti undi Terpulanglah kepada kerajaan sama ada mahu menerima hakikat ini atau masih mahu bermain-main dan bersandiwara lapuk yang hanya terpakai kepada manusia-manusia yang buta dan tuli pada realiti.


AMINUDDIN YAHAYA ialah Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen