malaysiakini logo
story-image
ADS

Baru-baru ini, perdana menteri sekali lagi mengingatkan betapa pentingnya kesetiaan terhadap negara – dan bukannya kepada individu atau parti politik. Ini adalah pernyataan yang kelihatan sederhana dan mudah namun hakikatnya sangat penting serta teras dalam perubahan yang sedang dibawa oleh kerajaan.

Setelah lebih 60 tahun Malaysia sejak Merdeka, dengan penyertaan langsung yang kuat oleh parti politik dalam pentadbiran, kita berasa sukar untuk membezakan antara negara, kerajaan dan parti pemerintah. 

Sebahagiannya pastilah berpunca daripada amalan neo-feudalisme yang telah berakar lama dalam masyarakat kita. Namun, sikap ini juga disumbangkan juga oleh amalan tidak menghormati sistem birokrasi negara yang ditegakkan melalui keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Jentera kerajaan dengan sewenang-wenangnya menjadi jentera parti pemerintah dan banyak agensi kerajaan digunakan untuk kepentingan politik kepartian.

Maka kenyataan perdana menteri untuk memastikan agar kesetiaan itu hanya kepada negara adalah manifestasi untuk mengembalikan pentadbiran negara untuk berpaksikan kepada kedaulatan undang-undang.

Kenyataan ini bukan hanya bersifat politik atau retorik semata-mata. Kerajaan telah memperkenalkan beberapa perubahan struktural penting yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini bagi menjamin kedaulatan undang-undang ini.

Bermula dengan pengisytiharan harta oleh ahli parlimen dan juga ahli kabinet, kemudian diikuti dengan meletakkan kembali badan-badan penting seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Audit Negara di bawah Parlimen serta memberi komitmen terhadap kebebasan media di negara ini. 

Ini antara reformasi penting yang tidak boleh diperlekehkan oleh mana-mana pihak dengan mengatakan “siapa pun kerajaan sama sahaja!”

Apakah barangkali ada sebahagian kita lupa bagaimana jawapan kepimpinan kerajaan terdahulu apabila diajukan dengan cadangan pengisytiharan harta ini.

“Mengisytiharkan harta dan aset milik menteri dan ahli keluarga terdekat mereka kepada orang ramai adalah sesuatu yang tidak patut dilakukan kerana boleh membahayakan mereka,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Nazri Abdul Aziz.”

“Saya tidak akan isytihar apa yang saya ada, kerana jika saya berbuat demikian, saya bimbang anak-anak atau isteri saya mungkin diculik. Semua benda boleh berlaku. Perompak boleh sasarkan kami,” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor.  

Syukur, sehingga kini, tidak ada lagi yang menculik atau ‘menimbulkan bahaya’ kepada mana-mana pemimpin di negara ini yang telah mengisytiharkan harta mereka. Perisytiharan harta dan lain-lain perubahan struktural dalam politik ini adalah penting ke arah Malaysia yang lebih baik.

Mengapa perubahan struktural ini penting?

Pertama sekali, perubahan yang dibawa ini membolehkan kita mula mengalihkan wacana umum orang ramai daripada politik berteraskan individu kepada politik mengenai dasar dan tata kelola kerajaan. 

Sebelum ini, kita bergelut sesama kita bertegang urat membahaskan siapa yang lebih zuhud dan siapa yang lebih boros. Kemudian apabila jelas-jelas pula nampak kemewahan si polan itu, bertingkah hujah pula punca kemewahan si polan itu sama ada dari usahanya, harta karun tinggalan nenek-moyangnya atau sedekah jariah orang lain. 

Semua perbahasan ini hanya melelahkan dan tidak akan membawa kita jauh, malah tidak pun mendatangkan untung kepada khalayak. Korupsi terus juga berleluasa – balak tetap ditebang.

Kini kita tidak perlu bergantung kepada kemampuan ahli politik itu menghafal surah atau mencari korelasi bilangan lilitan serban dengan sikap amanah seseorang mahupun kelazimannya makan di gerai tepi jalan. 

Wacana kita tidak lagi sentris kepada individu – kita hanya perlu melihat kesungguhan beliau terhadap ketelusan pemilikan harta peribadi serta komitmen terhadap ketelusan urusan kerajaan. Kini kita tidak lagi perlu membahaskan kemurahan hati seorang tok Arab mahupun mana-mana tauke kedai.

'Amar makruf dan nahi mungkar'

Tanggungjawab mencegah kemungkaran ini sering diulang-ulang oleh ramai orang – termasuk ahli politik sendiri. Namun tidak ramai yang menyanggupi amalan ini dikenakan ke atas dirinya. 

Dengan membebaskan badan penting seperti SPRM dan audit negara serta menjadikan tata kelola kerajaan lebih telus kepada orang ramai, kerajaan telah mula menterjemahkan slogan amar makruf dan nahi mungkar kepada perlaksanaan dasar.

Ya, ahli politik sama sahaja, mereka insan yang punya iman dan nafsu. Jika dibiar bersekedudukan dengan kuasa dan harta tanpa periksa, maka maksiat akan berlaku. Maka dengan adanya sistem yang lebih telus dan bertanggungjawab, lemah mana sekalipun iman seseorang penjawat awam itu, dia tidak akan berani menyalahgunakan pangkatnya. 

Inilah yang dimaksudkan dengan mencegah kemungkaran; memperkenalkan dasar yang mengekang terjadinya rasuah dan penyelewengan, bukannya hanya bertindak setelah berleluasa hingga parah.

Oleh itu, saya sesekali tidak berminat untuk berbahas moral ahli parti mana yang lebih baik, kerana hal moral ini begitu subjektif dan sebahagiannya bersifat peribadi yang bukan dalam jangkauan urusan kita.

 Namun dalam soal bernegara, moral ini dapat kita lihat dan nilai berdasarkan sistem yang lebih telus dan bertanggungjawab ini – suatu yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

Wajarkah kita berpuas hati?

Demikian, sungguhpun saya hormat akan harapan tinggi orang ramai terhadap kerajaan, namun memperlekehkan usaha kerajaan dengan hanya menumpukan kepada kekurangan yang ada dan dengan semudahnya terjun kepada kesimpulan “tidak ada beza apa pun,” saya mohon untuk berbeza pandangan.

Ya, saya insaf bahawa kerajaan kini jauh dari impian yang kita cita-citakan, akan tetapi, perubahan struktural ini adalah langkah besar yang akan mengubah politik negara – maka manfaatkanlah kesempatan ini untuk mengajukan dasar yang lebih baik untuk kesemua, bukan terperangkap bersama mereka yang mahu menangguk di air keruh.

Sekali lagi, saya ingin mengulang nasihat perdana menteri, jangan letakkan kesetiaan terhadap individu, tetapi kepada negara yang dimanifestasikan dalam bentuk kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan – setialah kita kepada agenda reformasi ini untuk menguntungkan rakyat terbanyak dan teruslah memeriksa ahli serta parti politik, di belah mana pun. 

Kami wajib dipantau!


SHEIKH ‘UMAR BAGHARIB ALI ialah anggota Dewan Undangan Negeri Paloh merangkap pengerusi jawatankuasa penerangan, pembangunan keusahawanan, koperasi dan ekonomi kreatif.

Atikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen