malaysiakini logo
story-image
ADS

Kajian tentang Mat Indera yang bersifat pensejarahan pernah saya tulis dengan tajuk Mat Indera: Petualang atau Pejuang pada 2012.

Begitu juga tulisan Ismail Adnan dan Sahgidon Dirham dalam Abu Bakar A Hamid dan Md Ismail Zamzam (ed) terbitan Yayasan Warisan Johor pada 2004 bertajuk Pengukir Nama Johor.

Kesemua kajian tersebut berbentuk pensejarahan Mat Indera dan aspek-aspek pemikirannya langsung tidak disentuh.

Kajian lain tentang Mat Indera seperti oleh Ayub Kasim - bertajuk Peristiwa Bukit Kepong: Satu Post Mortem - terbitan Universiti Malaya, Kuala Lumpur (1973) pula lebih memfokus tentang peristiwa Bukit Kepong.

Kajian mengenai Mat Indera pula hanya bersifat sampingan.

Mat Indera - atau nama penuhnya Ahmad bin Indera - berasal dari keturunan Datuk Bentara Jubir Lela Pahlawan Siak Inderapura dan Datuk Bendahara Husin Lela Pahlawan Siak Seri Inderapura yang menjadi panglima kanan Sultan Sharif di Siak.

Anak kepada Datuk Bendahara Husin yang bernama Muhammad Salleh berhijrah ke Johor semasa Belanda berperang dengan orang Jawa serta penduduk di kepulauan Indonesia. Ayah Mat Indera dilahirkan di Johor.

Diajar guru agama terkenal

Ayahnya, Indera, berkahwin dengan Maimunah Daud, seorang wanita Melayu Johor dan dikurniakan tujuh orang anak termasuk Mat Indera.

Walaupun Mat Indera bukanlah zuriat pertama dilahirkan Maimunah, dia dianggap anak sulong selepas abangnya meninggal dunia semasa kecil.

Mat Indera dilahirkan pada 1920 di Kampong Gombak, Peserai, Batu Pahat namun dibesarkan di Muar.

Selepas ibu Mat Indera meninggal dunia, ayahnya berkahwin dengan wanita kelahiran Bukit Pasir, Muar yang berdarah dari Jawa, bernama Rokyah Dasuki. Mereka dikurniakan empat orang anak.

Dari segi pendidikan, Mat Indera mendapat bimbingan awal di Sekolah Melayu Bandar Maharani, Muar.

Pada petangnya dia belajar agama di Sekolah Agama Saadiah, Muar hingga tamat pada 1937 sewaktu berusia 17 tahun. Ada beberapa guru agama terkenal yang mengajarnya.

Antaranya, Cikgu Muhammad Yasin, seorang ulama terkenal di Muar. Mat Indera juga pernah belajar dengan Ibrahim Jubah di Sekolah Agama Tinggi di Dumpar, Tanjung Mas dan Kiyai Fadzil Bentan di Pontian yang merupakan penasihat kepada Sultan Ibrahim Johor.

Untuk seketika Mat Indera sempat menjadi guru agama di Parit Setongkat, Muar dengan gaji bulanan sebanyak RM20.00.

Dia lulus dengan cemerlang di peringkat Darjah Khas dan melayakkannya berkhidmat sebagai guru agama kerajaan. Mat Indera antara dua lulusan Darjah Khas yang diberi penghormatan dengan pengurniaan anugerah butang perak mengandungi lambang kerajaan negeri Johor kerana keputusan cemerlang tersebut.

Mat Indera berhenti mengajar semasa zaman pendudukan Jepun dan bekerja sebagai mandor gudang. Di sana dia terlibat dengan aktiviti kesatuan sekerja dan dipilih sebagai yang dipertua pertama Kesatuan Buruh Melayu, Lembaga Pelabuhan Muar.

Meraikan kelahiran nabi

Dia juga terpilih sebagai pegawai hal ehwal umum untuk Federation Of The Trade Unions Johor dan mengetuai Angkatan Pemuda Insaf (API) Muar.

Apabila British kembali selepas Jepun berundur - dan darurat dilaksanakan - Mat Indera menyertai gerakan gerila Parti Komunis Malaya cawangan Johor.

Pada masa sama dia terus berceramah walaupun telah menyertai gerakan gerila bagi menyampaikan mesej perjuangan mereka.

Setelah beberapa tahun dalam buruan Inggeris, akhirnya Mat Indera ditangkap dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bharu. Ketika itu dia baru berusia 33 tahun.

Pada 30 Januari 1953, hukuman gantung itu dijalankan dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Jampu, Taiping.

Ada sebuah manuskrip berisi ucapan Mat Indera dalam majlis Maulidur Rasul yang kebiasaanya diadakan masyarakat Melayu pada Syaaban bagi meraikan keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Biasanya majlis tersebut diisi dengan ucapan atau ceramah tokoh agama berkisar mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad.

Selain itu, lazimnya diadakan bacaan marhaban dan diakhiri dengan jamuan makan. Mat Indera memang sering memberi ceramah agama di sekitar Muar dan Batu Pahat pada sebelum dan selepas darurat.

Pendahuluan teks tersebut memaparkan kata-kata aluan sebagai mukadimah ceramah sebelum diikuti dengan perihal Nabi Muhammad ketika dipelihara Halimatun Saadiah hinggalah baginda diserahkan kepada ibunya, Siti Aminah.

Isi ketiga ialah tentang keadaan Muhammad di bawah jagaan ibunya hingga Siti Aminah wafat dan kemudian baginda dipelihara datuknya, Abu Mutalib.

Keempat, isinya ialah cerita sewaktu Abu Talib membawa Muhammad yang masih kecil berdagang ke Syam dan bertemu pendeta Nasrani.

Terakhir, ia berkisah mengenai Muhammad dan sahabatnya, Abu Bakar, berdagang ke Syam dan bertemu dengan pendeta Nasrani.

Tiada penjelasan diberikan

Mat Indera memulakan ucapan dengan memberi alu-aluan kepada yang hadir termasuk habib-habib yang ada dalam majlis tersebut. Habib ialah gelaran penghormatan kepada keturunan Sayidina Ali dan Fatimah, ataupun orang yang dikasihi.

Mat Indera terlebih dahulu memohon kemaafan jika semasa beliau berucap terdapat kesalahan dan kekurangan. Ungkapan itu merupakan kebiasaan penceramah agama sebagai adab.

Kemudian pada peringkat seterusnya, teks Mat Indera menerangkan tentang proses tumbesaran Muhammad, bermula dari usia sebulan hingga usia 10 bulan, Mat Indera menceritakan perkembangan psikomotor seorang bayi.

Walaupun ada beberapa penceritaan yang Mat Indera tidak ada dalam tulisan sejarawan Islam lain, secara umumnya naratif itu disampaikan dengan senang dan mudah.

Mat Indera menulis bahawa Halimatun Saadiah "terlalu senang dan mudah ia memelihara nabi kita Muhammad SAW. Keluarga ibu susu nabi, Halimatun Saadiah mendapat rezeki yang murah selepas nabi Muhamad S.A.W menyusu dengannya."

Mat Indera tidak menjelaskan apakah bentuk kemudahan yang diperolehi keluarga Halimatun Saadiah selepas dia menyusukan nabi.

Sedangkan dalam tulisan sejarawan lain, dihuraikan lebih lanjut bahawa susu badan Halimatun Saadiah penuh dan susu unta peliharaannya juga penuh. Sedangkan sebelum itu, Halimatun Saadiah dan unta peliharaanya kekurangan susu menyebabkan kehidupan mereka sukar.

Mat Indera menyebutkan bahawa Halimatun Saadiah mengembalikan Muhammad kepada Siti Aminah kerana takut "seteru-seterunya". Bagaimanapun Mat Indera tidak menjelaskan dengan lebih lanjut siapakah seteru itu.

Dalam bab Padang Pasir, Martin Lings ada menulis tentang kisah dua lelaki berbaju putih yang membaringkan dan membelah dada Muhammad.

Dinaungi awan putih

Peristiwa itu disaksikan oleh saudara susu nabi dan dia memaklumkan hal itu kepada Halimatun Saadiah bahawa ada "beberapa orang hendak melakukan sesuatu yang buruk" ke atas nabi.

Oleh sebab itulah Halimatun Saadiah berasa bimbang. Martin Ling tidak menyatakan bahawa kedua-dua lelaki itu sebenarnya malaikat sebagaimana banyak dinukilkan dalam sumber-sumber sejarah klasik.

Mat Indera mengandaikan Halimatun Saadiah berfikiran bahawa orang yang membelah dada nabi itu sebagai "seteru-seterunya".

Naratif Mat Indera yang terlalu ringkas boleh dianggap sebagai menggambaran bahawa dia tidak menguasai sejarah nabi dengan benar-benar mendalam.

Namun mungkin juga "seteru-seterunya" ditafsirkan Mat Indera itu sebagai eleman menakutkan. Ini kerana Halimatun Saadiah tidak dapat memahami hakikat di sebalik kisah tersebut.

Kisah pokok dan batu-batuan yang sujud kepada nabi dan awan menaungi baginda semasa dalam perjalanan ke Syam turut dinyatakan Mat Indera.

Katanya dalam ucapan itu: "…aku lihat apakala dia sampai di sini pokok kayu, batu-batu sekalian sujud kepada dia. Dan awan yang putih menaung akan dia. Tiada sujud tiap-tiap satu itu melainkan kepada nabi".

Kejadian itu merupakan pandangan umum sejarawan Islam termasuk dalam Raheeq-ul al-Makhtum, tulisan Syeikh Safy al-Rahman al-Mubarakfuriyy.

Kisah "pokok dan batu-batuan yang sujud" adalah unsur simbolik dan personafikasi. Sebahagian sejarawan Islam mentafsirkan ia sebagai suatu kiasan sahaja.

Mat Indera juga merakamkan dalam teks ucapan itu tentang kedatangan tujuh Yahudi yang mahu membunuh Muhammad tetapi dihalang oleh Buhaira dan membuatkan Abu Talib mengambil keputusan terus balik ke Madinah dan tidak berniaga di Syam.

Naratif ini tidak wujud dalam bab Bahira Si Rahib tulisan Martin Lings dan merupakan unsur tambahan dalam naratif Mat Indera.

Memetik sumber daripada Ibn Ishak, Martin Lings menceritakan bahawa Buhaira hanya menasihatkan Abu Talib supaya kembali ke Mekah dan berhati-hati dengan orang Yahudi yang akan cuba berbuat jahat terhadap anak saudaranya itu.

Bagaimanapun beberapa adegan dan dialog di antara Buhaira dengan Abu Talib versi Mat Indera hampir sama dengan kefahaman masyarakat pada masa itu.

Keimanan pendeta pada nabi

Ia termasuk dialog Buhaira dengan Abu Talib tentang "tetamu kecil" yang dirujuk kepada Muhammad.

Pada akhir teks Mat Indera, pengkaji mengalami kesukaran mengesan perkataan ditulis kerana terdapat bahagian manuskrip yang sukar atau tidak boleh dibaca langsung.

Secara umum pada bahagian itu Mat Indera menghuraikan kedatangan kali kedua Muhamad ke Syam yang ditemani Abu Bakar.

Seorang pendeta Nasrani bertanya kepada Abu Bakar tentang lelaki yang duduk di bawah pokok kayu bidara. Abu Bakar memberitahu bahawa lelaki itu ialah Muhamad bin Abdullah bin Mutalib.

Lalu, pendeta itu segera datang ke arah Muhammad dan mengucup kepala dan ibu kaki nabi.

Pendeta itu menceritakan bahawa Nabi Isa mengkhabarkan perihal Muhamad dan dia sendiri mengenali tanda-tanda kenabian tersebut.

Selepas itu pendeta terbabit menyatakan keimanan kepada nabi dan peristiwa itu menambahkan keimanan Abu Bakar.

Mat Indera menggunakan istilah "keimanan" pada pendita dan Abu Bakar, sedangkan dalam sejarahnya Muhamad belum diutuskan sebagai rasul pada ketika itu.

Keimanan tersebut lebih merujuk kepada kepercayaan dalam ajaran agama Nasrani tentang kedatangan nabi akhir zaman dan Muhamad ialah nabi yang dimaksudkan.

Naratif Mat Indera lebih ringkas sesuai sebagai pidatonya. Naratif Mat Indera disampaikan secara kronologi dan Mat Indera tidak membuat kupasan daripada sejarah tersebut.

Beberapa kekurangan dalam teks ucapan Mat Indera tidaklah menjejaskan seluruh perjalanan sejarah yang diceritakan.

Kesilapan atau kekeliruan itu kerana sejarah Islam tempatan yang terpengaruh dengan unsur-unsur penceritaan Israelliyat.

Pendidikan dan pengalaman beliau sebagai guru agama di Johor pada tahun 1936 hingga 1941 membentuk Mat Indera sebagai penceramah agama.

Manuskrip teks ucapan Mat Indera bukanlah satu-satunya hujah dalam mengukur kefahaman beliau terhadap Islam. Kajian tentang Mat Indera akan menjadi lebih menarik apabila kajian tentang buku catatan beliau dibuat. 


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen