malaysiakini logo
story-image
ADS

Peristiwa menyayat hati kematian Sdr Muhammad Adib Mohd Kassim dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariaman mengundang pelbagai persoalan. 

Integriti dan ketelusan kerajaan juga dipersoal oleh rakyat. Beberapa isu yang membimbangkan rakyat:

  • Sikap menteri perpaduan yang mempertahankan kuil walaupun sudah ada keputusan mahkamah dan telah dibayar ganti rugi.
  • Kenyataan Adun yang mengaitkan ini sebagai isu agama.
  • Perangai menteri agama yang menjulang tangan pentadbir kuil seolah-olah menyokong pembunuhan ini.
  • Sikap peguam negara yang membisu dan menolak siasatan polis yang telah siap dan orang disyaki telah dikenal pasti tetapi kini mengarah diadakan inkues,
  • Kenyataan pihak kuil yang mengatakan Adib mati kerana dilanggar.
  • Tindakan pemaju yang membayar orang-orang Melayu untuk pergi ke kuil tetapi kini tidak diambil apa-apa tindakan.

Semua ini melambangkan ada sesuatu yang tidak kena kepada sistem pentadbiran negara. 

Seolah-olah ada perkara yang ingin disembunyikan dari rakyat.

Persoalannya kenapa?

Apa status suspek?

Pada tarikh 24 Disember 2018, dilaporkan bahawa pihak polis, melalui kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid bahawa empat orang suspek telah dikenal pasti dan telah disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh. 

Hasil siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut. 

Namun anehnya pada 10 Disember, suspek-suspek tersebut telah dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah dan jaminan polis.

Kini, kita tidak tahu di mana suspek ini berada?

Kenapa perlunya inkues?

Asas utama untuk melakukan siasatan inkues adalah apabila suspek tidak dikenal pasti tetapi dalam kes ini suspek telah ditangkap. 

Tetapi keputusan peguam negara untuk mengadakan inkues adalah sesuatu yang menimbulkan tanda tanya.

Apa yang membimbangkan bukan saja inkues ini akan mengambil masa yang panjang malah ia mungkin akan berakhir dengan open verdict (keputusan terbuka), yang hakim akan mengatakan bahawa sebab kematian bukan kerana dipukul tetapi disebabkan perkara-perkara lain. 

Sudah terdengar teori yang mengatakan Adib mati dilanggar bukan sebab dipukul!

Konklusi

Di mana pejuang-pejuang hak asasi manusia yang sebelum ini lantang bersuara?

Di mana menteri-menteri Muslim yang sepi membisu?

Perlu dijelaskan juga bahawa peguam negara yang ada ini bukanlah seorang yang pakar dalam kes-kes jenayah tetapi hanya kes sivil. 

Adakah beliau faham apabila membaca laporan siasatan polis yang telah diserahkan? 

Apakah beliau tahu bawah seksyen mana harus dikaitkan apabila laporan inkues dikeluarkan nanti?

Saya yakin semua laporan-laporan ini ditulis dalam Bahasa Malaysia dan kita tahu beliau tidak pandai berbahasa kebangsaan. 

Apakah akan berlaku blunder dalam keputusan beliau nanti?

Akhirnya, adakah nanti allahyarham Adib akan dapat keadilan yang sebenarnya atau hanya menjadi mainan politik jalanan!

Wallahu 'alam


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen