Pengiklanan

    Mat Indera berkisah perihal nabi


    (Dikemaskini )

    Ada sebuah manuskrip tersimpan lama. Asalnya tiada siapa yang ingin mengetahuinya. Manuskrip itu ditunjukkan kepada saya awal 2012 dahulu.

    Sudah hampir enam tahun berlalu. Ia pernah diterbitkan dalam prosiding seminar manuskrip nusantara antarabangsa di Pontianak, Indonesia beberapa tahun lalu.

    Manuskrip itu dipercayai merupakan teks ucapan ditulis oleh Mat Indera dalam meriwayatkan pensejarahan Nabi Muhamad SAW.

    Manuskrip teks ucapan Mat Indera itu tersimpan di rumah neneknya yang bernama Long Kasmi Mohd Tahir di Kampung Peserai Lama, Batu Pahat.

    Manuskrip teks itu ditemui adik tiri Mat Indera, Baharom Shah Indera, pada awal 1970-an. Ia terletak dicelah kitab Minhaj al-‘Abidin ila Jannati Rabbil ‘Alamin karya Imam al-Ghazali kepunyaan Mat Indera.

    Kitab tasauf itu merupakan antara kitab yang wajib dipelajari di madrasah atau pondok-pondok agama Nusantara sejak sekian lama.

    Sebagai penuntut ilmu, Mat Indera belajar agama - termasuk tasauf - daripada guru-guru terkenal di Johor seperti Haji Ibrahim Jubah, Cikgu Hj Muhamad Yasin dan Kiai Fadzil Bentan.

    Asal Muar tapi berpindah

    Antara rakan sepengajian Mat Indera ialah Noh Beirut (datuk kepada Najib Razak) dan Tuan Guru Abu Bakar Muar.

    Terdapat sebuah lagi buku catatan milik Mat Indera ditemui pada waktu yang sama. Buku tersebut merupakan himpunan doa dan jampi.

    Pada kulit kitab dan buku catatan itu tertulis nama pemiliknya dalam bahasa jawi: Ahmad bin Indera.

    Kesemua itu masih berada di bawah simpanan Baharom.

    Asalnya keluarga Mat Indera tinggal di Muar tetapi mereka berpindah selepas darurat. Walaupun Mat Indera tidak tinggal di rumah tersebut tetapi beliau sering singgah ke situ.

    Kertas yang dikatakan sebagai teks ucapan Mat Indera itu berukuran 33.5sm x 21.2sm dan ditulis dengan huruf jawi Melayu biasa. Teks itu ditulis pada kertas putih bergaris.

    Pada muka hadapan ada sebanyak 36 baris ayat, manakala muka belakang pula sebanyak 20 baris ayat. Teks itu kemungkinan digunakan sebagai teks ucapan Mat Indera dalam majlis sambutan memperingati kelahiran Nabi Muhammad, ataupun juga dikenali sebagai Maulid Nabi.

    Sebelum menyertai gerila di hutan, Mat Indera merupakan seorang guru di sekolah agama dan sering dijemput memberikan ceramah di sekitar Muar. Hatta semasa dalam era gerila, Mat Indera bertindak sebagai salah seorang ahli propaganda gerila menggunakan medium ceramah untuk menyebarkan perjuangan mereka.

    Namun, kemungkinan teks itu ditulis sebelum beliau menyertai gerakan gerila pada 1948. Ini agakan sahaja. Agakan tiada nilai dalam penulisan sejarah.

    Ada kesan tompokan air

    Tulisan itu menggunakan dakwat berwarna hitam dan bentuk tulisan memperlihatkan kemahiran tulisan jawi yang halus dan kemas. Hanya terdapat dua kesalahan perkataan yang dibatal dengan contengan pada perkataan tersebut.

    Ini juga menunjukkan bahawa Mat Indera adalah seorang penulis jawi yang kemas dan teliti.

    Terdapat tompokan air di tengah-tengah helaian teks itu yang menyebabkan beberapa bahagian teks tersebut sukar dibaca.

    Kira-kira 80 peratus tulisan pada naskhah itu dapat dibaca. Bakinya tidak dapat dibaca akibat kesan tompokan air tersebut.

    Di bahagian kiri helaian itu juga mengalami kesan yang sama. Teks dan kitab itu masih disimpan oleh Baharom.

    Ada beberapa persoalan dalam proses pengesahan manuskrip itu milik Mat Indera. Tiada bukti atau keterangan kukuh yang membuktikan bahawa manuskrip itu milik dan ditulis oleh Mat Indera.

    Ia banyak bergantung kepada dakwaan keluarga Mat Indera. Kedua-dua adik tirinya - Johan dan Baharom - mengesahkan bahawa manuskrip itu adalah milik dan ditulis oleh Mat Indera.

    Mereka menyebutkan bahawa hanya Mat Indera sahaja dalam keluarga mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan agama yang luas.

    Nama jadi kontroversi

    Mereka juga mendakwa Mat Indera memang seorang yang berminat dalam menghimpun doa dan azimat. Dalam catatan lain, dinyatakan bahawa mereka menemui beberapa azimat sewaktu Mat Indera ditangkap.

    Itu pun belum cukup untuk membuktikan bahawa manuskrip tersebut tulisan dan milik Mat Indera.

    Begitu juga dengan catatan nama Mat Indera yang tertulis dalam sebuah buku. Ia bukan sandaran kuat untuk mengatakan bahawa buku tersebut milik Mat Indera. Ada banyak andaian. Ia mungkin ditulis oleh orang lain.

    Ada keperluan agar kajian tulisan tangan atau grafologi bagi memastikan psikologi penulis, atau tentang kajian tulisan tangan, bagi mengetahui ketulenan serta perkaitan antara satu teks dengan teks lain bagi mengesahkan tulisan itu adalah milik Mat Indera.

    Di samping itu, tulisan itu secara tidak langsung memberi gambaran umum tentang pengetahuan Mat Indera terhadap sejarah Nabi Muhammad.

    Ia adalah sebahagian daripada kajian tentang Mat Indera yang kurang disentuh oleh pengkaji.

    Mat Indera menjadi terkenal lebih kerana namanya menimbulkan kontroversi dalam sejarah penentangan penjajah, dakwaan sebagai pengkhianat negara dan seorang komunis.

    Kajian terhadap manuskrip teks ucapannya akan membantu para sarjana - terutama para sejarawan - terhadap pengetahuan agama Mat Indera.

    Kajian terhadap Mat Indera sebelum ini lebih merujuk kepada rekod-rekod kolonial dan kerajaan, keratan akhbar dan kenyataan ahli politik. Dokumen dan segala rekod kolonial jarang dipertikaikan keasliannya.

    Yang selalu dipertikaikan adalah kaedah mentafsir dokumen dan rekod tersebut.

    Istimewanya tulisan selepas ini ialah menceritakan tentang tulisan Mat Indera sendiri. Melalui tulisan ini, penerokaan kajian pemikiran dan ideologi Mat Indera boleh dianalisa lebih lanjut.

    Tulisan akan datang akan mengulas isi kandungan dalam manuskrip itu. Tunggulah.


    DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

    Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih