malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Seorang kawan lama menghantar satu laporan BBC kepada saya tempoh hari sambil berkata “macam pernah dengar benda ni kan?”.

Laporan BBC itu memetik Sarah Sanders , setiausaha akhbar White House memberitahu satu rangkaian televisyen agama bahawa “Tuhan mahu Donald Trump jadi presiden” (Amerika Syarikat ).

Menurut BBC, Sanders berkata demikian pada wawancara dengan Christian Broadcasting Network. Dan kata beliau lagi “ itulah sebabnya Trump memegang jawatan presiden”.

Kumpulan evangelis atau Evangelical Christians di Amerika menyokong kuat Trump walaupun mengakui presiden Amerika itu bukanlah seorang yang berpegang kuat kepada agama .

Menurut mereka Trump telah melaksanakan apa yang perlu kerana beliau “ialah juara tuhan dan tuhan memerlukan seorang pahlawan “(untuk melaksanakan perintah-Nya).

Menurut The Washington Post, pada pilihan raya presiden 2016, Trump meraih 80 peratus undi masyarakat kulit putih evangelis.

Baru-baru ini Trump menyatakan sokongan terhadap rancangan beberapa negeri di AS supaya pengajian bible dijadikan sebahagian daripada pendidikan sekolah awam.

Sebagai negara sekular Amerika tidak mengizinkan pengajian keagamaan termasuk Kristian diserap ke dalam kurikulum pendidikan sekolah awam.

Pelbagai pihak membidas Trump dan mengingatkan beliau “sekolah awam ialah untuk pendidikan bukan untuk menyemai unsur agama".

Agama untuk dapatkan undi

Soal agama sebenarnya ialah soal mendapat kuasa memerintah. Trump punyai kuasa dan tahu jika mahu mengekalkan kuasa beliau perlu dapat sokongan aktivis konservatif sosial and terus bercakap mengenai perlunya mengembalikan nilai Kristian dalam kerajaan AS.

(Trump akan cuba mendapat penggal kedua presiden pada pilihanraya yang akan diadakan tahun depan).

Ketika kempen menentang Hillary Clinton pada 2016, untuk jawatan presiden Trump cekap menggunakan isu agama dan bangsa.

Antaranya beliau menyokong undang undang anti pengguguran yang dialu-alukan pihak proagama khususnya Kristian.

Selain isu Kristian, Trump mencorak orang asing atau pendatang sebagai momok untuk menakutkan rakyat Amerika khususnya orang kulit putih kononnya pendatang akan atau sudah ambil alih pekerjaan mereka di samping mahu mengubah cara hidup mereka.

Trump mahu mendirikan dinding untuk menghalang kemasukkan pendatang. Dan selaku presiden beliau pernah menghalang kemasukan rakyat beberapa negara Islam ke Amerika.

Hakikatnya Trump tahu agama dan bangsa mudah dipergunakan untuk mendapatkan undi.

Ramai khususnya orang kulit putih percaya akan momok-momokan yang diutarakannya. Lantas beliau menewaskan Hillary Clinton walaupun ramalan awal mengatakan Trump akan kalah.

Tapi sejak menginap White House pentadbiran Trump masih belum dalam stabil. Pelbagai krisis timbul, pelbagai tuduhan dilemparkan. Amerika dalam keadaan tidak selesa .

Berbalik kepada kata-kata kawan saya yang dinyatakan pada permulaan artikel ini. “Macam pernah dengar benda ni kan," kata kawan saya. 

Maksudnya apa yang dilaporkan terutama mengekplotasi agama dan bangsa pernah berlaku di Malaysia.

Jawapan saya: Opkos. Malah masih berlaku. Cuma sama tapi tak serupa. Serupa tapi tak sama.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen