malaysiakini logo
story-image
ADS

Kami lihat ramai yang bersorak apabila ada dua tiga individu dibuang kerja atas sebab apa yang disebut sebagai menghina institusi diraja di negara ini.

Malang sebenarnya apabila seseorang terpaksa menanggung akibat buruk selamanya hasil dari kebodohan yang sesaat.

Mungkin benar apa yang dilakukan mereka itu salah dan membawa marah kepada sebahagian besar penyokong institusi beraja, namun tindakan membuang kerja serta-merta pada pandangan kami adalah tergesa-gesa.

Jika kita mahu melihat hal ini dari sisi lain ianya adalah satu bentuk amalan 'membeli jiwa'.

Bodek-membodek dan mencium bontot adalah perbuatan yang tidak bermoral.

Majikan yang menngambil tindakan itu mungkin mempunyai kepentingan lalu, tindakan memberhentikan pekerja yang melakukan kesilapan itu boleh kita lihat sebagai satu cara untuk melindungi syarikat mereka.

Sepatutnya siasatan perlu dilakukan dan setelah terbukti benar-benar pekerja berkenaan melakukan kesalahan, maka tindakan tatatertib hendaklah dikenakan.

Kononnya rasa dilukai

Ditahan kenaikkan gaji atau dihantar ke cawangan lain untuk disejukbekukan misalnya.

Izikan dia membuat permohonan maaf secara terbuka dan tunjukan belas kepadanya. Mengapa dibalas kejahatan dengan kejahatan apabila kebaikan adalah teladan yang baik?

Kita tidak melihat kesilapan yang dilakukan oleh orang lain sebagai suatu kekhilafan. Dengan satu hantaran saja maka kita mengandaikan yang dia itu jahat.

Tidak ada lagi kasih sayang yang tinggal dalam diri kita hanya kerana kita ini kononnya dilukai.

Mungkin dia yang diberhentikan kerja itu mempunyai keluarga yang harus ditanggung, dan dalam suasana ekonomi sekarang ini menjadi suatu beban baginya untuk meneruskan kehidupan.

Tentu saja tidak ada pihak yang mahu membela mereka kerana bimbang dituduh bersubahat dengan penderhaka, namun alangkah elok sekiranya pihak-pihak yang kononnya dihina itu sendiri mengeluarkan kenyataan membina, seperti yang dilakukan oleh Mahathir Mohamad yang memperakui bahawa kerajaan hari ini meraikan kebebasan bersuara.

Pada masa sama kita sendiri hendaklah lebih berhati-hati dalam meluahkan rasa tidak puas hati dalam apa hal sekalipun. 

Janganlah kita hingga memaki-maki dan mengeluarkan kata-kata yang melukakan mana-mana pihak.

Dalam hal lain, kita yang marah apabila raja-raja kita dihina ini harus juga memeriksa mengapa kita bangkit mempertahankan mereka.

Semua warga wajib bangga

Apakah kerana raja-raja kita adalah Melayu maka kita mempertahankan mereka, atau kita berbuat demikian kerana raja-raja kita adalah ketua negara yang selayaknya dihormati.

Kita bimbang kemarahan kita sebenarnya disebabkan oleh sikap prejudis kepada sesuatu bangsa.

Seluruh rakyat Malaya wajib berbangga dengan para sultan kerana mereka adalah raja kepada seluruh orang di negara ini.

Mereka tidak mewakili hanya satu kaum saja, bahkan adalah benteng pertahanan kita daripada segala kebobrokan ahli politik yang semakin mengarut kini.

Selama mana tidak membawa kemusnahan, maka menjadi tanggungjawab kita untuk menghormati mereka.

Artikel kali ini dihiasi oleh foto-foto dari pameran Rethinking Editions yang berlangsung di Our Art Project di Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur.

Untuk makluman, foto-foto yang menghiasi semua artikel kami tidak ada kena mengena dengan tulisan yang disiarkan.

Kami mengambil inisiatif untuk menyebarkan pameran lukisan yang kami hadiri di sini sebagai usaha memberi dorongan kepada para pembaca agar dapat melihat karya-karya seniman tempatan.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, penyair, dan pernah bersekolah dengan DYMM sultan Pahang yang baru.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen