malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Kita seharusnya tidak mudah memberi penghormatan kepada sesiapa pun. Raja ke, Sultan ke, Datuk Seri ke, mahupun Tun ataupun mufti. Penghormatan kita berikan kerana pencapaian sosok. Kita hormat kerana sumbangan sosok itu kepada kesejahteraan umat.

Bukan kerana dia anak si anu dan si anu maka kita wajib hormat. Bukan kerana dia Datuk atau Datuk Seri maka kita wajib hormat. Sayugia diberi tahu bahawa ketua kongsi gelap pun ada yang berdarjah Datuk atau Datuk Seri.

Mustahil masih ada lagi rakyat Malaysia - anak semua bangsa - yang tidak sedar bahawa darjah kehormat boleh dibeli. Ada yang dijual timbang kati. Ada yang dijual lelong. Justeru sampah tetap sampah.

Saya berikan tabik kepada Ellie Suriati. Minah ini dikatakan seorang pelakon. Saya tak kenal dengan minah ini. Saya tidak pernah pun melihat minah ini berlakon. Saya tidak memiliki TV. Kalau tak kenal dan tak pernah tengok kenapa dan bagaimana saya beri tabik?

Begini kisahnya. Bila Najib kena terajang. Bila Najib kena tangkap. Bila Najib dibawa ke mahkamah saya terbaca nama minah ini. Minah ini dilaporkan datang ke mahkamah Jalan Duta ketika Najib menerima tuduhan. Minah ini dilaporkan datang juga ‘berdemo’ di depan pejabat SPRM Putrajaya bila Najib ditahan.

Ellie Suriati

Malah mengikut laporan NST pada 25 Oktober 2018 - si minah ini jatuh murung selama satu minggu bila mendengar Najib dan Barisan Nasional kena terajang.

Aduh! Hebat minah ini.

Saya angkat tabik kerana inilah contoh kesetiaan jujur. Si minah ini percaya bahawa jantan yang bernama Najib ini adalah jantan suci, warak dan beriman. Najib tidak mencuri. Najib tidak terlibat dalam apa-apa kes bunuh. Najib tidak rasuah. Najib ini jantan yang bersih. Lagi bersih dari sabun Fab.

Minah ini menyokong Najib dengan setia. Ertinya minah ini memberikan kepada saya satu contoh orang seni yang memiliki kesetiaan jujur. Apakah ini bermakna ada kesetiaan yang tidak jujur?

Memang wujud kesetiaan yang tidak jujur. Kesetiaan sedemikian memualkan saya. Saya akan muntah sehingga keluar muntah hijau apabila saya bertemu dengan sosok sosok yang memiliki kesetiaan pura-pura.

Kesetiaan pura-pura ini apa?

Hah, hah! Ini namanya kesetiaan bodek. Kesetiaan ini sebenarnya kain samping untuk menutup perbuatan bodek. Inilah yang mahu saya huraikan.

Mustahil para pembaca tidak tahu apa itu bodek. Orang Pakistan dan India memberi istilah chamca. Mat salih pula beri istilah kiss ass. Dalam semua budaya perangai bodek ini wujud.

Saya telah banyak kali bersurah tentang budaya bodek. Budaya ini bersepah-sepah. Dalam politik wujud. Dalam tempat kerja budaya bodek wujud. Dalam penjara pun ada budaya ini.

Budaya seni melawan

Tapi di sini - kerana saya tabik pada Ellie Suriati - maknanya saya ingin bersurah tentang budaya bodek di kalangan para seniman dan segerawan. Opps tersilap, sasterawan kita.

Saya terdidik dalam budaya seni melawan. Bukan budaya bodek. Saya pendakwah yang membawa seni melawan. Berjuang untuk menumpaskan budaya bodek. Ketika belajar - kawan sedarjah semua mahu bangun melawan. Melawan menjadi pedoman kami.

Kami melawan maka kami wujud.

Jangan silap faham. Melawan ini bukan melawan United Malays Natioanl Organisation. Melawan ini bukan bermakna masuk parti politik untuk jadi calon. Melawan ini bukan hanya bermakna melawan kerajaan. Bukan. Bukan. Bukan. Jangan silap tafsir apa yang saya maksudkan sebagai melawan.

Leornardo da Vinci melawan. Dia mendobrak bingkai lama. Da Vinci melukis gambar orang biasa bukan hanya melukis potret wakil dari gereja. Bukan melukis hanya wajah yang bersangkutan dengan dengan agama. Gundik siapa agaknya si Mona Lisa itu?

Vincent van Goh melawan. Dia memecahkan bingkai lama. Membawa arus baru pasca impressionist melawan arus impressionist.

John Lennon juga melawan. Dia membawa muzik kiri. Mengagungkan kaum buruh dan mengajak anak muda bangun melawan imperialis Amerika. Justeru dia diwafatkan.

Quentin Tarantino

Guru saya mendidik kami untuk melakukan yang baru. Meninggalkan yang lama. Dalam seni filem imej klise yang telah dibuat akan diketawakan. Imej yang baru yang melawan imej lama akan dirayakan. Imej ganas garapan Quentin Tarantino dirayakan. Imej ganas buatan Sam Peckinpah kini menjadi rujukan.

Betapa bosannya melihat imej tanah perkuburan yang ‘masih merah’ sebagai tanda sedih. Penonton mual dan nak muntah melihat sosok dalam telekung sebagai imej warak. Poorah. Ini semua genre lama. Semua ini tidak melawan. Ini semua genre seni bodek.

Ellie Suriati bukan pembodek. Kalau dia pembodek bila Najib lingkup si minah akan akan senyap sebentar. Kemudian mula mencium tangan Mahathir. Kemudian beralih mencium tangan Azmin atau mula berselfie dengan Tian Chua.

Insiden 17 Mei tahun lalu ketika Mat Over menampar David Teo di depan Najib.

Para pembaca jangan lupa dengan sosok yang bernama Rosyam Nor. Jangan lupa dengan Mat Tampar. Jangan lupa dengan David Teo. Jangan sesekali lupa akan babak bodek membodek dan tampar menampar. Jangan lupa berita bodek OTT - over the top. Tapi itulah yang berlaku. Semua mahu membodek Najib.

Tetiba Rosyam Nor tidak muncul untuk berdemo di hadapan pejabat SPRM ketika Najib disoal siasat. Tetiba David Teo hilang entah ke mana. Yang Mat Tampar memang dah lama over.

Tak perlu cium tangan

Inilah hakikat seniman dan sasterawan kita. Inilah contoh para seniman kita. Pada hemat saya mereka ini tidak ada bakat. Jika mereka ada bakat mereka tak perlu cium tangan Najib. Jika mereka pelakon hebat mereka akan dilanggan oleh dunia. Jika mereka berbakat mereka akan berlakon dengan Bradd Pitt seperti Michelle Yeoh. Kalau mereka berbakat mereka tak perlu menyembah Astro atau RTM.

Begitu juga dengan para sasterawan. Jika mereka penulis besar buku garapan mereka yang berkali kali diulang cetak. Buku mereka akan diterjemah ke dalam seribu satu bahasa. Tak perlu tunggu Dewan Bahasa dan Pustaka. Tak perlu bodek untuk jadikan buku sebagai buku wajib beli di sekolah.

Bayangkan Isaac Bashevis Singer menulis dalam bahasa Yiddish. Ini bahasa yang hanya digunakan oleh 200,000 orang. Bukan seperti Bahasa Melayu bahasa ke enam terbesar dalam dunia. Tapi kerana garapan Isaac ini kukuh dan berseni maka ia diterjemah ke bahasa dunia. Pada tahun 1978 Isaac Bashevis Singer dianugerah Hadiah Nobel Sastera.

Tidak ada budaya bodek dalam garapan Isaac. Malah yang diajukan ialah budaya melawan.

Bagaimana dengan para pelukis kita? Pelukis pun sama juga. Lintas ke Pasar Seni akan terlihat kerja budaya bodek terpampang dinding. Muka Zahid Hamidi. Muka Rosmah. Muka Dolah Badawi. Mungkin tak lama lagi akan muncul potret Azmin Ali.

Kalau mereka seniman tulen seperti Van Goh yang hidup melarat tapi teguh dengan seninya. Atau seperti penyair Baudelaire yang merempat pindah randah di Paris tapi teguh dengan puisinya. Van Goh dan Baudelaire tidak membodek pak menteri untuk hidup. Mustahil Van Goh akan mencium tangan sultan.

Van Goh, Baudelaire atau Isaac tidak perlu kiss ass untuk mendapat Projek Cendana. Kerja seni mereka kukuh. Mereka berbakat bukan pembodek untuk mendapat Projek Cendana.

Projek Cendana. Poorah. Kerana itu saya angkat topi kepada Ellie Suraiti. Najib telah lingkup tapi minah ini masih setia.


Penjelasan Cendana berkaitan rencana ini


Pasti ramai bertanya – ke mana perginya para seniman, pelakon, pengarah filem dan TV, pelukis dan sasterawan yang berebut-rebut untuk rapat mengelilingi Najib satu ketika dulu.

Saya terbaca berita yang melaporkan bagaimana gempaknya para seniman ini. Mereka berasak-asak hendak mendengar Najib bersyarah tentang seni dan budaya. Mereka bertumbuk dan bergumpal untuk duduk di hadapan agar Najib melihat muka mereka. Pelik tetapi benar ke mana hilangnya para seniman yang bertelur dalam reban Projek Cendana.

Kerana ini saya angkat topi untuk Ellie Suriati. Ada cendana atau tak ada cendana si minah ini tetap bersama Najib.

Percayalah apa yang saya tulis ini. Saya jamin tidak lama lagi para pelakon, sasterawan atau pelukis ini akan muncul kembali. Ketika ini mereka menyorok sebentar. Ini perangai kaki bodek. Mereka tidak ada pendirian. Mereka tidak ada bakat.

Bayangkan kalau RTM tidak ambil mereka berlakon. Bayangkan kalau Dewan Bahasa tidak cetak buku mereka. Bayangkan kalau Utusan tidak beri mereka laporan. Mustahil CNN, BBC atau Holywood Reporter akan menemu bual mereka. Poorah.

Mula-mula mereka telefon YB PH

Saya meramalkan - mula-mula mereka akan menelefon para YB Pakatan Harapan yang baru menang. Kemudian dalam FB atau Twitter mereka mula menulis positif tentang kerajaan baru. Gambar lama dengan Najib dan Rosmah akan dilupus. Kemudian mereka datang hadir ke program Pakatan Harapan.

Hadir dalam program Pakatan Harapan untuk memperlihatkan muka dan untuk dapat bau-bau bacang. Kemudian mereka berkumpul - satu dua orang - konon membuat cadangan kepada kerajaan baru tentang tentang seni dan budaya. Kemudian bergambar dengan Tony Pua. Kemudian cium tangan Azmin Ali.

Kenapa Tony Pua? Kenapa Azmi Ali?

Tony Pua kini pemilik Projek Cendana. Azmin Ali dihebohkan akan menjadi perdana menteri. Lebih baik pasang perangkap jangka lama. Jangan silap faham para pembodek ini juga ada taktik dan tahu berstrategi dalam kerja bodek.

Hampir lupa - Projek Cendana ialah dana beratus juta ringgit yang ditabur oleh Najib sebelum PRU14. Ini bertujuan untuk memancing para seniman, para pelukis, para pelakon - yang terbukti tidak berbakat.

Projek Cendana ialah projek Najib mencari undi dari kaki bodek yang tidak berbakat. Poorah


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen