Pengiklanan

    Tongkat dan Melayu


    (Dikemaskini )

    Kita gunakan tongkat apabila kita dalam keadaan lemah. Sukar berdiri. Tentunya ketika sakit kaki dan sukar berjalan. Apatah lagi berlari. Jika kita kehilangan kaki memanglah tongkat diperlukan. Itu tongkat secara literal.

    Bila kerajaan memberi bantuan khususnya untuk ekonomi orang Melayu istilah tongkat kerap digunakan. Antara rupa bentuk tongkat yang dimaksudkan biasiswa, sistem kuota, peluang pendidikan serta pekerjaan, pinjaman dan macam macam lagi, yang disenaraikan sebagai keistimewaan khas atau special privileges untuk orang Melayu.

    Tongkat itu mula diberi oleh kerajaan BN dulu yang Umno menjadi tunggaknya. Kerajaan Pakatan Harapan nampaknya meneruskan dasar itu. Tongkat masih ada.

    Namun baru baru ini perdana menteri mengingatkan orang Melayu akan tiba harinya kelak tongkat tidak akan wujud. Hakikatnya tongkat tidak boleh kekal untuk selama lamanya. Lalu Dr Mahathir Mohmad mahu orang Melayu bersedia dan berusaha keras untuk bergerak maju tanpa tongkat.

    Tongkat tidak dinafikan banyak membantu orang Melayu yang memerlukan. Tidak dinafikan juga ada orang Melayu yang terlalu bergantung kepada tongkat sehingga ia disalahhggunakan dan membawa kesan buruk. Tidak dinafikan juga bukan semua orang Melayu yang dapat tongkat.

    Hakikatnya tongkat juga ada melekatkan elemen negatif ke atas orang Melayu. Contoh, apabila orang Melayu naik pangkat persepsi umum khususnya di kalangan orang bukan Melayu ialah si polan si polan itu naik kerana dia orang Melayu. Jika si polan si polan berjaya dalam perniagaan kononnya sebab dia orang Melayu, bukan sebab dia bijak.

    Memang ada yang berjaya atau naik pangkat semata-mata kerana dia orang Melayu. Tetapi ada juga Melayu yang berjaya kerana mereka memang layak berjaya, kerana kebolehan dan kemampuan. Malangnya kelayakan mereka tidak diiktiraf. Sebaliknya dituduh berjaya kerana semata-mata orang Melayu.

    Bercakap secara peribadi, rasa ramai yang setuju, jika saya dinaikkan pangkat saya ingin percaya saya dinaikkan oleh bos kerana saya benar benar layak dan bukannya kerana saya orang Melayu.

    Saya pernah menulis mengenai topik ini pada tahun 2016 untuk siaran akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily. Antara komen yang diterima daripada orang Melayu sendiri ialah Melayu mesti berani bersaing dengan semua bangsa untuk memperbetulkan keadaan – jika tidak Melayu tidak akan maju.

    Dan ada juga orang Melayu yang memberi pandangan bahawa “mindset “ Melayu ialah berlagak bagai tuan yang gemar tongkat dan tanpa tongkat semuanya tidak akan bergerak walaupun realitinya keadaan boleh bergerak.

    Presiden Melayu

    Berbalik kepada kisah Umno. Ketika memerintah Malaysia parti itu tidak pernah lupa untuk mengingatkan orang Melayu jika mereka tidak beri tongkat orang Melayu akan susah dan jadi hamba di tanah air sendiri.

    Dan untuk “memperkukuhkan” hujah, Umno gemar menggunakan Melayu Singapura untuk memomokkan Melayu Malaysia.

    Melayu Singapura mereka gambarkan sebagai golongan tertindas. Tujuannya kita semua tahu, jadi tak perlulah dibincangkan.

    Maka persoalannya ialah adakah benar Melayu Singapura tertindas dan ditindas?

    Saya tidak boleh nyatakan secara pasti. Jawapan sebenar mungkin hanya boleh diperoleh menerusi siasatan dan kajian mendalam. Itu pun apa pun hasilnya akan dipertikai pelbagai pihak.

    Tapi hakikatnya memang ada rasa ketidakkepuasan hati. Umpamanya saya ada baca laporan mengenai permintaan orang Melayu Singapura supaya mereka menerima kesaksamaan dalam semua sektor angkatan bersenjata Singapura. Ini seolah olah mencermin ada rasa tidak yakin atau percaya pemerintah terhadap orang Melayu.

    Ada juga saya baca akan laungan peluang pekerjaan penuh untuk wanita Melayu termasuk yang bertudung –mendesak layanan dan peluang sama rata.

    Ketika “meneliti” keadaan itu perdana menteri Singapura Lee Hsien Loong pada tahun 2016 mengumumkan di parlimen pilihanraya. presiden Singapura yang dijadualkan tahun berikutnya iaitu 2017 akan dikhaskan untuk calon di kalangan orang Melayu. A reserved election katanya.

    Maknanya hanya orang Melayu boleh bertanding. Tentulah Melayu yang berkelayakkan. Pertandingan khas untuk Melayu. Ini untuk memastikan orang Melayu akan menjadi presiden Singapura setelah 46 tahun berlalu sejak allahyarham Yusof Ishak memegang jawatan berkenaan.

    Dalam erti kata lain jawatan presiden Singapura akan dihadiahkan kepada orang Melayu.

    Bagaimanapun ini antara reaksi Melayu Singapura terhadap hadiah kerajaan kepada mereka ketika itu.

    Bekas wartawan Straits Times Singapura Ismail Kassim menulis di laman Facebooknya:

    “Terima kasih PM atas hadiah yang tidak diminta. Kami tidak mahu dan tidak perlukannya. Tidakkah kamu sedar hadiah itu hanya mengukuhkan imej negatif ke atas kami dan menjejaskan kemajuan yang kami telah jalin.”

    Bagi Ismail, pilihan raya khusus untuk Melayu adalah langkah ke belakang dalam kepelbagaian masyarakat, meritokrasi dan demokrasi”.

    Di samping komen Ismail, satu artikel di akhbar Straits Times Singapura ditulis warga republik itu bernama Nizam Idris menarik perhatian saya.

    Momok Melayu Singapura

    Saya kemudian mendapat tahu Nizam ialah seorang ahli ekonomi dan ketua strategi pasaran di sebuah bank antarabangsa berpusat di Singapura.

    Kata Nizam beliau dibesarkan pada era “kami orang Melayu diajar untuk menjagai diri sendiri di sekolah dan dalam kerjaya seperti rakyat Singapura yang lain.”

    Katanya pada mulanya memang ada rasa bimbang bersaing kerana melihat orang Melayu di beberapa negara di rantau ini yang bergantung kepada dasar ras untuk maju. Tetapi “kami keluar daripada sejarah bergantung harap terhadap tongkat”.

    Dan itu kata Nizam menjadi sumber kebanggaan dan motivasi buat masyarakat Melayu yang membuktikan “kami boleh berdiri di atas kaki sendiri”.

    Bagi Nizam itu semua adalah hasil tindakan berani pemimpin terdahulu yang “membuat kami bersaing di atas pentas sama rata”.

    Pun begitu dalam konteks pilihan raya presiden, Nizam mengakui ramai orang Melayu yang tidak boleh menolak hadiah demi memastikan ada di kalangan mereka dipilih sebagai presiden Singapura .

    Itu sememangnya sifat manusia tetapi katanya lebih memuaskan jika seorang presiden Melayu dipilih berdasarkan kemampuan dan kebolehan bukan berdasarkan apa bangsanya.

    Perlu diingat dan ulangi pandangan berkenaan dibuat sebelum “all Malay election" diadakan pada tahun 2017. Seperti kita tahu Halimah Yaacob menjadi presiden Singapura kelapan setelah muncul calon tunggal yang menerima sijil layak bertanding.

    Walaupun pandangan awal, Halimah dilihat menjalankan tugas dengan baik dan kini dihormati ramai.

    Kesimpulan hujah Ismail dan Nizam ialah Melayu Singapura mahu berjaya tanpa jalan pintas, tanpa jalan senang, tanpa tongkat.

    Di Malaysia ,walaupun Umno sudah hilang kuasa, Melayu Singapura akan terus dijadikan bahan momokan. Dan tongkat akan banyak diperkatakan.


    MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

    Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih