malaysiakini logo
story-image
ADS

Seminggu berlalu ada parubahan ketara. Walau masih belum dapat mengingat sepenuhnya, sedikit sebanyak dapat memahami keadaan. Mula faham keadaan.

Mulanya untuk perkenalkan diri. Siapa saya. Agak lama juga. Memerhati dengan mulut herot bukan mudah. Orang ramai yang bertalu memendekkan masa untuk berkenalan dengan diri sendiri.

Antara berkenalan dengan diri dan berkenalan dengan tetamu bercampur-aduk. Bukan mudah. Masih tidak ingat. Masih tidak berdaya. Entah ingat entah tidak. Sekadar senyuman sudah cukup.


Baca: Ke mana hilangnya Fudzail?


Ia mengambil masa. Seminggu di hospital agak memadai untuk mengetahui diri sendiri. Banyak perkara mula disingkap dari hati. Dari sekecil-kecilnya. Saya mula kenal diri sendiri.

Masuk minggu kedua.

Tetamu tetap datang. Berpusu-pusu. Seorang demi seorang. Saya menghafal. Mereka cuba yakinkan siapa mereka. Saya cuba mengingat. Ada saya ingat. Ada saya lupa.

Mereka berjenaka. Saya ketawa. Saya bersedih atas ingatan mereka. Air mata membasahi. Kawan-kawan tentu tahu isi hati. Berpelukan. Mengingati masa lalu.

Masa lalu mendekatkan siapa kita. Masa lalu memesrakan. Apatah hubungan yang intim. Mencepatkan rasa kasih.

Kawan-kawan sekolah. Kawan-kawan universiti. Kawan-kawan sekerja. Kawan-kawan pergaulan. Jiran-jiran. Peminat-peminat.

Ratusan. Bukan mudah untuk mengingat semua. Tetapi tidak mengapa. Perlahan-lahan.

Ada yang datang bersusah-payah. Parkir satu perkara sukar. Hospital ini besar. Ribuan yang datang setiap hari. Saya hanyalah pesakit kecil. Tidak signifikan. Masalah yang lebih besar dan kompleks. Masalah yang lebih rumit.

Melihat pesakit yang datang dengan pelbagai alasan. Lebih teruk dari saya. Kadang bersyukur dengan takdir Allah. Sedikit yang tuhan beri. Ujian mereka amat besar.

Saya sempat memerhati mereka yang datang. Ada yang meninggal. Di kelas tiga tersebut. Sebelah katil saya. Tidak sempat berbicara. Ada menangis. Dua kali peristiwa yang sama berlaku.

Saya terkejut. Tidak berdaya. Tangan dan kaki kanan lumpuh. Ingatan belum pulih. Melihat yang mati di waktu malam menakutkan. Bagaimana saya menemui ajal. Bersediakah saya dengan segala kekurangan.

Tuhan mematikan sesiapa sahaja. Saya bersyukur atas kehidupan ini. Tuhan maha mengetahui, mahu mengajar lebih lagi. Ini adalah perjalanan. Rezeki telah ditentukan.

Kematian mengajar saya erti kehidupan. Setiap sesuatu ada hadnya. Tidak lebih. Tidak kurang. Setiap sesuatu ada memori. Ada kawan-kawan. Yang akhirnya hanya kebaikan menjadi kawan.

Saya insaf. Tanpa mengenal diri sendiri sepenuhnya. Tanpa kenal kawan-kawan yang datang. Semuanya ilusi. Kembali mengenal hati sendiri.

Saya akur. Pesakit yang mati menyedarkan. Saya ambil keputusan di kelas tiga lebih untung. Dapat melihat pelbagai pesakit. Dapat merasakan susah payah mereka yang datang.

Pakcik pengawal dan jururawat mula bertanya. Kenapa orang ramai. Mereka meminta saya dipindah ke kelas satu. Lebih privasi. Tetapi isteri saya lebih suka di tempat awam.

Duduk di kelas pertama ada kelainan sedikit. Mudah berbicara. Tetapi bila malam kesunyian. Bayangkan.

Saya mula mengingat kawan-kawan. Satu-satu mula namanya diingat. Makin ramai yang datang menghiburkan. Dalam keletihan ada hiburan. Sedikit-sebanyak memberi saya hiburan yang saya rindukan.

Terima kasih pada kawan-kawan. Ratusan yang datang. Amalan kalian tetap dikenang!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Bahagian 1: Siapa saya?
Bahagian 2: Minggu pertama selepas hilang ingatan

Lihat Komen