Pengiklanan

    Akar Bangsa Malaysia


    (Dikemaskini )

    Ini adalah suatu penulisan tentang pemaknaan hidup bernegara. Tulisan ini akan memfokuskan persoalan pembinaan bangsa dan negara. Tulisan ini mempunyai latar belakang berbeza yang memerlukan pengamatan dan pemahaman yang berlainan. 

    Ini kerana kerja menulis untuk satu naratif nasional memerlukan masa yang panjang. Sesekali memaksa perubahan beberapa tafsiran terhadap fakta atau hujah yang digunakan. 

    Selain daripada peranan penulis penting dalam wahana ini, peranan pembaca juga penting. Agar wujud pentafsiran kolektif dan berakar ke tengah pemikiran masyarakat.

    Idea bernegara mengalami evolusi yang mempertimbangkan perubahan yang berlaku di sekeliling. Politik hanyalah satu petunjuk daripada beberapa petunjuk lain yang turut memainkan peranan sama. 

    Oleh itu pendekatan silang disiplin dan kelompok akan menjadikan suatu idea itu sifatnya lebih menyeluruh dan kukuh.

    Sejak berkembangnya idea negara bangsa dalam pemikiran masyarakat moden, konsep tersebut dijadikan asas utama dalam pembentukan negara yang baru bebas dari cengkaman penjajahan. 

    Pembentukan identiti dan falsafah negara tidak berlaku dalam masa yang singkat atau bertempoh. Ia satu proses berterusan dan berpanjangan. 

    Peranan sejarah

    Akar bangsa yang menjalar dan menunjang ke perut bumi adalah analogi suatu masyarakat yang maju yang mengalami pelbagai pengalaman dan ingatan hidup bernegara.

    Istilah bangsa mempunyai pelbagai makna yang tersendiri. Makna itu bergantung kepada kedewasaan dalam berfikir tentang pengalaman masa lampau yang dilalui. 

    Sejarawan Prof Dr Ahmat Adam menyatakan bahawa pengalaman dan ingatan yang ada itulah untuk mengenali diri sendiri. Pengalaman dan ingatan yang dikongsi dalam satu-satu masyarakat sangat penting kerana tunas kewujudan satu masyarakat berputik dan merimbun.

    Di sinilah letak peri pentingnya sejarah dalam pembinaan negara bangsa. Tanpa ilmu sejarah, kita akan gelap memahami sifat dan bentuk negara yang ada pada hari ini. 

    Sejarah bukan belajar hal-hal yang telah mati semata-mata sahaja. Ilmu sejarah bertujuan memahami kehidupan yang ada. Antara kehidupan adalah persoalan negara yang mempunyai pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya seperti Malaysia. 

    Interaksi antara kaum, agama, bahasa dan budaya berlaku sepanjang kehidupan bermasyarakat. Salah faham mengenai isu-isu kaum sangat berkait rapat dengan kejahilan mengenai proses sejarah pembinaan negara bangsa.

    Ini bukan soal politik sahaja. Ini adalah soal budaya. Soal ilmu. Pencerahan sejarah adalah salah satu elemen penting dalam memupuk rasa tanggungjawab sosial pada negara baru ini.

    Peralihan kuasa imperialis

    Sejarah Malaysia tidak boleh dipisahkan dengan sejarah serantau dengannya. Sejarah Malaysia bukan bermula pada 1957 atau 1963 dengan pembentukan Persekutuan Malaysia. 

    Sejarah Malaysia adalah sejarah serantau. Rantau yang lebih luas yang dikenali sebagai Nusantara mempunyai sejarah pertalian antara satu sama lain yang sangat rapat. 

    Persamaan budaya dan hubungan geografi telah membentuk satu naratif besar peradaban rantau ini. Oleh itu, sejarah Malaysia harus difahami dengan sejarah jiran tetangganya seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Filifina dan Thailand. Kecuali Thailand, semua negara tersebut adalah negara baru yang wujud selepas era kolonial runtuh.

    Kemerdekaan negara-negara tersebut yang diperolehi secara pelbagai pendekatan politik telah mewujudkan kesukaran dalam memahami secara tepat pensejarahan di rantau ini termasuklah Malaysia. 

    Kemunculan gagasan politik baru selepas Perang Dunia Kedua seperti ‘Melayu Raya’ atau ‘Indonesia Raya’ yang dipelopori oleh Tan Malaka (beliau menyebut Indonesia Raya), Sukarno, Ibrahim Yaacub, Burhanuddin al Helmy dan rakan-rakannya dalam gerakan politik kiri mencabar gagasan politik kuasa imperialis. 

    Ternyata kemerdekaan yang diperjuangkan oleh golongan politik kanan (khususnya Umno) lebih beruntung kerana kemerdekaan adalah satu peralihan kuasa imperialis kepada mereka.

    Seterusnya gerakan oleh Kesatuan Melayu Muda (1937) dan Parti Kebangsaaan Melayu Malaya (1945) dan kerjasama politik All Malaya Council of Joint Action (AMCJA) melalui Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) sehingga terbitnya Perlembagaan Rakyat 1947 adalah salah satu memoir penting sejarah pembinaan negara bangsa. 

    Bagaimana Perlembagaan Rakyat 1947 itu mentakrifkan bangsa Melayu adalah suatu yang mengejutkan. Namun dari beberapa perkara lain masih boleh dibahaskan.

    Begitu juga dengan gerakan Parti Komunis Malaya yang wujud sejak 1930an ternyata juga tercicir dalam pensejarahan negara. Sejarah Parti Komunis Malaya tidak boleh dipisah dengan sejarah dalam pembinaan negara bangsa. 

    Persoalan perbezaan politik dan idealogi tidak boleh dijadikan asas penyisihan pensejarahan mereka. Apa yang ada pada hari ini adalah hasil yang berlaku pada masa lalu.

    Situasi masa kini yang merupakan penghasilan proses politik yang telah melahirkan sebuah negara baru Persekutuan Malaysia sejak sebelum merdeka. 

    Memahami sejarah sebenar dan menyeluruh akan memberi kompas tepat dalam mewujudkan masyarakat yang terbuka dan tidak cauvinis. Bangsa Malaysia yang ada pada hari ini masih rapuh dan sering dicemari oleh tindakan yang tidak memahami pensejarahan negara. 

    Ataupun mereka yang mempunyai kepentingan di luar konteks pembinaan negara bangsa.

    Bangsa Malaysia

    Kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU ke-14 dijadikan satu batu loncatan sesetengah pihak bangun membuat perubahan drastik. Setelah lebih setengah abad, ada yang cuba merubah pensejarahan negara yang meminggirkan sejarah mereka. 

    Masing-masing cuba mewujudkan versi sejarah mereka sendiri. Hal ini telah mewujudkan ketegangan dan rasa tidak puas hati pada sesetengah pihak lain. Forum, wacana dan acara-acara umum yang mencabar status quo pensejarahan lama mula tumbuh sedikit demi sedikit.

    Perubahan politik yang berlaku didorong dengan perkembangan pesat teknologi maklumat menyebabkan limpahan idea-idea yang rencam dalam masyarakat. 

    Ini tidak termasuk lagi dengan lambakan yang berulang-ulang tentang wacana yang sampah, penuh dengan prejudis dan sarat dengan kebencian. Perubahan politik mewujudkan seribu satu perubahan yang memerlukan persiapan yang sewajarnya. 

    Jangan sampai perubahan membawa padah. Biarlah perubahan itu terarah kepada pembaikan pembinaan negara bangsa yang sudah sedia wujud.

    Melalui sejarah sebenar yang bersifat menyeluruh, generasi baru akan lebih memahami dan menghargai negara bangsa yang ada. Identiti bangsa bagi negara Malaysia adalah bangsa Malaysia. 

    Nama negara kita adalah nama bangsa kita. Bangsa yang diikat dengan asas, nilai sama dan impian yang bersama. Bangsa Malaysia adalah suatu ikatan yang diterjemahkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

    Bangsa Malaysia bukan suatu bangsa yang berasaskan kaum, warna kulit dan agama. Bangsa Malaysia adalah suatu bangsa baru. Bangsa yang wujud selepas merdeka. 

    Bangsa yang diwujudkan atas persetujuan sama dengan kaum-kaum yang hidup bersama sewaktu merdeka. Itulah yang dinamakan kontrak sosial. 

    Meskipun tiada tertulis perjanjian tersebut, ia termaktub dalam sepanjang persejarahan negara kita dibina. Hal ini hanya difahami melalui sejarah. Sejarah yang terbuka dan tulus.

    Walaupun negara mendapat kemerdekaan bukan melalui peperangan besar seperti Indonesia, hakikatnya kemerdekaan ini menuntut pengorbanan yang sangat tinggi. 

    Sejarah tidak boleh diubah. Yang sudah berlalu, akan terus pergi. Sejarah adalah ibrah. 


    DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

    Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.