Pengiklanan

    C, kala agamawan Melayu serupa ulama Nigeria


    (Dikemaskini )

    Maka bahang perkauman pun menyala. Maka agamawan pun datang menyumbukan apinya. Maka agamawan pun membohongi umat tentang hak-hak kemanusiaan yang memang pernah disabda Nabi. Maka ada agamawan yang menegaskan mengahwini kanak-kanak itu keperluan. Maka segelintir agamawan yang lain pun disibukkan hal-hal pengikut mengenai hukum tertelan air mani suami, atau ditakuk mana harus dipotong leher zirafah, atau melarang umat mengucap Selamat Hari Natal, atau menghujah kugiran yang kebetulan dilanda air besar tsunami sebagai penghujung mati yang nista. Senarai ‘pencapaian’ para agamawan ini panjang.

    Demikianlah agamawan menutup 2018.

    Pada tahun 1985, Ibraheem Sulaiman dalam jurnal Inquiry menulis mengenai ulama di Nigeria; ‘Will the Nigerian Ulama Please Stand Up?’. Beliau merenung masa depan Nigeria di tangan agamawan. Petikan terjemahan nukilan Ibraheem berbunyi begini:

    “Ulama di Nigeria, sebagai simbol pandangan sebahagian besar rakyat Nigeria memegang kunci untuk masa hadapan negara. Adakah mereka dapat melaksanakan tugas yang amat besar dan mulia ini bagi mengilhamkan orang ramai untuk menguasai nasib mereka dan mewujudkan semula negara? Berdasarkan sikap mereka yang gemar melibatkan diri dengan konflik dan pertelingkahan, walaupun sehingga ke peringkat keganasan mengenai perkara kecil, dan berdasarkan sikap mereka – dengan beberapa kekecualian yang nyata – terhadap golongan penindas di kalangan pemerintah dan masyarakat perniagaan; kekurangan perhatian terhadap orang miskin dan golongan teraniaya selain daripada sikap tidak mengambil peduli terhadap hal-hal sosial dan politik pada umumnya, adalah ditakuti bahawa ulama tidak mempunyai cukup kelengkapan untuk memainkan peranan mereka yang sebenar terhadap masyarakat.”

    Menurut Ziauddin Sardar yang kemudian memetik Ibraheem dalam sebuah artikel pendeknya yang diterjemahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam buku Masa Hadapan Islam: Bentuk Idea Yang Akan Datang terbitan 1990, Ziauddin mengulas Ibraheem:

    “Melainkan Iran, peranan ulama terbatas hanya pada kegiatan membuat kenyataan menentang Barat, mengeluarkan fatwa remeh-temeh yang tidak berkaitan dengan realiti masa kini dan pada umumnya menyeru ke arah kegemilangan Islam masa lampau dengan penuh nostalgia. Dalam kebanyakan negara, golongan ulama sebenarnya bekerjasama dengan pihak pemerintah untuk mengekalkan sistem yang tidak adil.”

    Jelasnya, perangai agamawan Nigeria pada tahun 1985, dan tingkah laku agamawan Melayu pada tahun 2018, yang dijarakkan oleh rentang masa 33 tahun; malangnya adalah sama.

    Agamawan kita, masih belum cukup canggih. Kita masih tercari-cari agamawan yang dapat separas dengan tokoh perbandaran Islam, Gulzar Haider yang menghujahkan idea alam sekitar menurut Islam itu harus berasaskan kewajaran alam sekitar, integriti morfologi dan kejelasan simbolik.

    Agamawan kita, masih belum cukup canggih. Kita masih tercari-cari agamawan yang dapat separas dengan tokoh, katakan ahli ekonomi Syed Nawab Haider Naqvi yang menyaran dalam Ethics and Economics: An Islamic Synthesis bahawa objektif polisi asas bagi sistem ekonomi Islam adalah dengan mengasingkan “keadilan sosial, pendidikan universal, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan guna tenaga.”

    Agamawan kita, masih belum cukup canggih. Kita masih tercari-cari agamawan yang dapat separas dengan tokoh, katakan pejuang hak asasi manusia Dr Mudawi Ibrahim Adam, yang kerjanya mendedahkan pencabulan hal di Darfur, Sudan dan menegaskan bahawa hak asasi manusia adalah mengenai kesetaraan, keadilan, kebebasan dari ditekan, tentang hak untuk hidup, hak untuk memperoleh kediaman dan hak untuk makan.

    Meskipun kita tidak dapat mengatakan pendekatan dan kaedah, atau gagasan Gulzar, Dr Mudawi dan Syed Nawab itu betul, dan terpakai di sini; kita harus mengangkat tabik yang mereka bersiaga dan bergelumang turun untuk menujah dan memainkan isu-isu besar yang melanda umat.

    Kita belum ada agamawan Melayu yang secanggih nama-nama di atas. Agamawan kita masih dalam rangka agamawan Nigeria tahun 1985. Jika kita meninjau gejala yang dipelopori oleh agamawan Nigeria, kita akan menemukan nama Sheikh Abu Bakar Mahmud Gumi yang menidakkan hak politik dan kepimpinan kaum bukan Islam (dalam hal Nigeria; Kristian). Tidak begitu banyak bezanya dengan nada agamawan tradisionalis yang ada di sini. Kebetulan Gumi adalah penerima dana dari Saudi, wang Petro-Islam yang banyak, sehingga menjadikan beliau sangat berpengaruh.

    Sukar mencari ulama tradisional yang ‘progresif’ di dunia Sunni seperti Ayatullah Yusuf Sanaei di dunia Syiah. Meskipun Ayatullah Sanaei masih dalam lingkungan konservatif, tetapi ijtihad beliau bahawa kaum bukan Islam boleh digauli, dan diangkat sebagai pemimpin kerana mereka bukan penentang agama Islam harus menjadi panduan. Fatwa beliau ini banyak bezanya dengan marja Syiah yang lain, yang seperti ulama tradisional Sunni, ikut mengesampingkan bukan Islam. Sanaei adalah lain dari yang lain, dan antara spesis langka.

    Saya juga telah menulis banyak mengenai agamawan yang berpihak kepada kaum elitis. Agamawan kita adalah agamawan yang bekerja untuk istana. Sebagai contoh Raja Ali Haji. Di istana Riau, beliau menggunakan kapasiti kealiman beliau untuk meminjam, Achmad Syahid, dalam tesis doktoratnya, “Pemikiran Politik dan Tendensi Kuasa Raja Ali Haji” membangunkan ‘rejim kebenaran’ yakni (sebuah pemerintahan autoritarian atas nama agama). Raja Ali Haji tidak lain tidak bukan adalah pelakon politik (political actor) yang menunggang konsep ẓillu’Llāh fi al-arḍ bahawa penguasa adalah bayang-bayang yang hanya wujud dengan kewujudan pemilik bayang-bayang yang hakiki iaitu Allāh Ṣubhānahu wa Ta‘ālā.

    Satu perkara yang mesti diingati ialah meskipun terdapat agamawan yang menggembleng massa atau murbawan, mereka, kaum murbawan atau rakyat tidak semestinya wajib membalas ajakan atau usaha agamawan ini. Tambahan pula jika agamawan menjual, apa yang pernah disebutkan oleh ulama besar Indonesia, Almarhum Gus Dur sebagai ‘otoritas syurga’, yakni memperagakan kebenaran dan syurga demi mendapatkan kekuasaan dan legitimasi daripada rakyat.

    Gus Dur (yang juga figur langka dari dunia Sunni) menyatakan, jika ada agamawan yang berpihak kepada rakyat, makanya itu sudah cukup bagus tetapi belum tentu rakyat mesti menyahut apa yang diketengahkan oleh mereka:

    “Memang kebetulan ada sejumlah pastor atau kiyai yang mengusahakan proses perubahan masyarakat dari bawah, dan kita bisa belajar dari para agamawan itu. Tetapi bagi masyarakat lapisan bawah itu, tidak ada keharusan mereka belajar dari para agamawan itu. Mereka ini merupakan penjumlahan dari pengalaman total manusia yang menderita, yang mengalami sendiri masalah itu.”

    Sementara itu, Ayatullah Taleghani, seorang ulama besar Iran pernah menyatakan bahawa pemerintahan zalim raja-raja jika digantikan dengan pemerintahan hukum-hakam para agamawan jauh lebih tragis. Sayang, beliau tidak hidup panjang melampaui tahun-tahun 1980an untuk menyumbang lebih banyak gagasan dan wacana yang mungkin sahaja akan bertingkah dengan pandangan Wilayatul Faqih yang dipelopori Imam Khomeini:

    “The most dangerous of all forms of oppression are laws and restrictions forcibly imposed on people in the name of religion. This is what the Monks, through collaboration with the ruling classes, did with all the people in the name of religion. This is the most dangerous of all impositions, because that which is not from God is thrust upon the people to enslave and suppress them and prevent them from evolving, depriving them of the right to protest, criticise and be free. These very chains and shackles are the ones which the Prophet [Muhammad] came to destroy. Islam is an invitation to peace and freedom. Let us keep aside opportunism, group interests, forcible imposition of ideas and, God forbid, dictatorships under the cover of religion. [Let us] raise our voices with the toiling, oppressed, the deprived masses. Islam as we know it, the Islam which originates from the [Qur’an] and the traditions of Prophet, does not restrict freedom. Any group that wants to restrict people’s freedom, [the freedom] to criticise, protest, discuss and debate, does not comprehend Islam.”

    Sukar kita mencari agamawan yang waras. Hari ini ada sekumpulan agamawan, malah mereka bukan pun agamawan, sebaliknya Islamo-fasis yang tergila-gilakan Malaysia sebagai negara Islam. Huruf C yang mereka ketengahkan boleh jadi ‘crazy’.

    Kita tidak pasti apakah mereka memahami sejumlah kaedah fikah, antara lain ‘tas-harruful imam ‘alarra’iyyah manutun bil mashlahah’ yang bermakna; “kebijaksanaan pemerintah harus mengikuti kesejahteraan rakyat”.

    Makanya, kita berasa khuatir dengan hala tuju umat di bawah bayang-bayang agamawan yang tidak banyak bezanya dengan kaum agamawan Nigeria pada tahun 1985.


    FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

    Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.