malaysiakini logo
story-image
ADS

Ada ratusan yang tiba di wad. Wajah-wajah simpati. Melihat yang datang ada terasa gembira. Bercampur dengan kesedihan. Saya tidak ingat siapa mereka. Saya tidak kenal siapa mereka.

Wajah-wajah itu tidak asing semuanya. Ada yang rasanya cukup kenal. Ada yang lama tidak bertemu. Berpuluh tahun.

Mulut herot untuk bercakap. Perlukan masa. Lupa. Perbendaharaan kata susah mahu ingat. Untuk buat ayat perlukan masa.

Mereka tetap datang. Bersusah payah.

Bagaimana mereka tahu keadaan saya.

Kami tidak memberitahu sesiapa. Tetapi berita sudah menjalar. Mengejutkan. Ramai yang menghampiri Hospital Serdang dengan payah. Sukar sekali untuk parkir. Berduyun datang. Masih tahu bagaimana untuk parkir.

Begitulah yang datang. Tidak hirau kesibukan. Mencari dan bertanya. Fudzail di mana? Bertambah rencam. Mencari kelas tiga bukan mudah. Ratusan pesakit. Masing-masing sibuk dengan hal masing-masing.

Saya duduk memerhati.

Keadaan meriah. Isteri, Azma binti Abdul Malek, jadi penyambung mesra. Dia tidak kenal siapa yang datang. Kawan-kawan saya menyambung bicara.

Berkenalan. Bersahabat. Semua orang-orang baik. Umur sudah masuk lima puluhan. Ingat mati.

Kawan-kawan Fudzail segera ditegur. Dibawa ke wad.

Saya berkongsi dengan empat orang pesakit. Ruangnya kecil. Isteri memilih wad kelas 3 sahaja. Mudah untuk berinteraksi.

Isteri memain peranan utama. Dia mengambil alih tugas. 100 peratus padanya. Saya jadi tidak keruan. Lemah. Hanya memandang. Suara terhenti.

Dari pemeriksaan lagi saya tak keruan. Doktor yang bersyif datang bertanya dan merawat. Waktu pagi mereka datang berkumpulan. Saya mendengar. Kurang faham. Enam orang semuanya. Seorang bercakap. Seorang jadi ketua. Empat orang diam.

Isteri yang banyak bertanya. Dia seorang doktor. Ijazah sarjana. Saya biarkan perbincangan. Banyak yang tidak tahu. Banyak yang tidak faham.

Apa sakit saya?

Isteri saya mula serius. Soalannya berat. Doktor mengambil masa untuk menjawab. Isteri lebih tahu. Dia banyak persoalan.

Ubat juga masalah besar. Saya perlu makan 8 pil. Tak tahu sebab apa. Saya ikut sahaja. Sarapan pagi dan makan malam. 16 kali.

Doktor menamakan ‘cerebrovascular accident’. Hemaparesis belah kanan. Lemah di bahagian kanan.

Tangan dan kaki kanan terbabit. Tidak boleh diangkat. Tidak boleh bergerak. Memerlukan bantuan. Semakin berat.

Saya mula rasa pelik. Bahagian kanan perlukan bantuan. Tidak bebas seperti sedia kala. Sakit. Mencabar minda.

Untuk buang air perlukan bantuan. Besar atau kecil. Doktor kemudian menyambung untuk buang air kencing. Melekat. Kadar yang tidak biasa. Memudahkan.

Saya kadang tercirit di atas perbaringan. Begitu sukar. Isteri saya bersihkan. Kesian dia.

Saya mula belajar tentang diri. Mula mengenal siapa saya.

Nama siapa?

Nama saya mudah dihafal. Fudzail. Tapi sejarah lalu. 54 tahun. Bukan mudah melupakan. Sedetik terus hilang. Apa saja rekod terpadam.

Saya kosong ingatan. Sifar. Belajar dari kawan-kawan yang datang. Belajar dalam senyap. Saya tidak boleh bercakap.

Saya mencari di hari pertama. Nama isteri pun saya lupa. Memanggilnya dengan nama kakak. Bertukar-tukar. Sekejap itu, sekejap ini.

Nama-nama anak. Saifullah di Kanada. Faidhi di Damansara Jaya. Muhaimin yang bercuti sepenggal dari Universiti Wellington seakan tahu sakit saya.

Saya lupa. Mereka risau.

Adik beradik dan saudara-mara turut terlupa.

Apa lagi nama sahabat. Tidak ingat. Mereka bercerita. Sedikit sedikit saya ingat.

Nasib ada telefon. Nama-nama dihafal. Melalui gambar-gambar. Melihat dan menatap. Belajar dari cerita.

Apabila tiada pelawat saya dengan telefon bimbit. Jadi kawan rapat.

Seminggu di Hospital Serdang ternyata menarik perhatian. Telefon bimbit semakin rapat. Dan pertama saya kenal, isteri saya dahulu!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Bahagian 1: Siapa saya?

Lihat Komen